Oleh Normah Awang
7 Jun 2023, 21:15

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Shah Alam – Sebanyak 32 orang pelajar Tahun Tiga, Program Kesihatan Persekitaran dan Keselamatan Industri, Fakulti Sains Kesihatan (FSK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Kampus Kuala Lumpur telah menyertai program “Fit Seminar” yang diadakan di Pusat Inovasi 3M Malaysia Sdn. Bhd., Bukit Jelutong, Shah Alam yang bertujuan memberikan pendedahan kepada para pelajar tentang pelbagai jenis kelengkapan perlindungan diri (PPE) terkini yang dihasilkan agensi berkenaan.

Para pelajar diiringi oleh lima orang kakitangan program termasuklah seorang pensyarah yang merupakan Penyelaras Kursus Higen Industri, iaitu YBrs. Profesor Madya ChM. Dr. Normah Awang.

“Seminar yang diadakan ini adalah amat penting kepada pelajar kerana maklumat mengenai penggunaan, penjagaan dan penyelenggaraan PPE seperti respirator, pelindung pendengaran peribadi dan pelindung mata akan disampaikan oleh penceramah,” kata Penyelaras Kursus Higen Industri, YBrs. Profesor Madya ChM. Dr. Normah Awang ketika berucap dalam “Fit Seminar” tersebut.

Penyelaras Kursus Higen Industri, YBrs. Profesor Madya ChM. Dr. Normah Awang ketika menyampaikan ucapan alu-aluan dalam program “Fit Seminar”.

“Pihak 3M Malaysia Sdn. Bhd. amat berbesar hati menerima kunjungan daripada para pelajar. Dengan adanya penyertaan seperti ini menunjukkan bahawa pihak universiti menyambut baik dan memberikan sokongan kepada penghasilan produk PPE baharu yang dihasilkan oleh pihak kami,” kata Pakar Jualan Kanan 3M Malaysia Sdn. Bhd., Encik Fahriszaki Paimon.

Seminar yang berlangsung selama dua jam itu telah membincangkan empat topik utama berkaitan dengan PPE, iaitu respirator, pelindung pendengaran peribadi, pelindung mata dan PPE untuk bekerja di tempat yang tinggi dan pada masa yang sama, para pelajar turut diajar cara yang betul tentang penggunaan, penjagaan dan penyelenggaraan bagi kesemua PPE tersebut.

Pelajar diajar tentang kaedah pemakaian palam telinga yang betul.

 

Ujian padan (fit testing) pengedap bunyi (ear muff) dilakukan terhadap salah seorang pelajar.

 

Pelajar mempraktikkan cara pemakaian abah-abah badan (body harness) yang betul.

Selain itu, para pelajar juga berkesempatan melawat pavilion yang menempatkan pelbagai produk termasuklah PPE yang telah dihasilkan oleh pihak 3M Malaysia Sdn. Bhd. bagi menjamin keselamatan diri, terutamanya pekerja yang sentiasa terdedah kepada pelbagai bahaya.

Dengan adanya program seumpama ini, para pelajar akan lebih memahami mengenai cara penggunaan, penjagaan dan penyelenggaraan setiap PPE di samping mendapat pelbagai kemahiran dalam menggunakan beberapa jenis PPE yang biasa digunakan oleh pekerja dan pengguna.

Penyampaian sijil penghargaan kepada Pakar Jualan Kanan 3M Malaysia Sdn. Bhd., Encik Fahriszaki Paimon (kanan) daripada Penyelaras Kursus Higen Industri, YBrs. Profesor Madya ChM. Dr. Normah Awang (kiri).
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.