7 Jun 2023, 17:24

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Malaysia ialah satu daripada negara pengeluar minyak kelapa sawit yang terbesar di seluruh dunia. Oleh hal yang demikian, pelbagai inisiatif telah dirancang dan dijalankan untuk meningkatkan produktiviti penghasilan minyak kelapa sawit.

Namun begitu, terdapat sesetengah ladang kelapa sawit cenderung menggunakan racun kawalan makhluk perosak di dalam ladang supaya kuantiti kelapa sawit dapat dijaga untuk menghasilkan buah kelapa sawit yang berkualiti tinggi. Racun yang digunakan untuk mengawal makhluk perosak, sama ada racun serangga ataupun racun rumpai mempunyai bahan kimia yang berbahaya kepada kesihatan manusia.

Racun yang sering digunakan di ladang kelapa sawit ialah racun rumpai. Kesan pendedahan pekerja ladang kelapa sawit kepada racun rumpai dalam tempoh masa yang panjang boleh menyebabkan kerosakan asid deoksiribonukleik (DNA).

Penggunaan racun rumpai merupakan satu daripada teknik kawalan rumpai di ladang selain cara mekanikal dan biologikal. Namun begitu, pendedahan pekerja kepada racun rumpai berpotensi memberikan kesan genotoksik, iaitu kerosakan DNA.

Racun rumpai merupakan campuran bahan kimia yang digunakan untuk mengawal pertumbuhan rumpai, pokok renek dan pokok berdaun lebar. Semua racun rumpai akan dicampurkan dengan air terlebih dahulu sebelum disemburkan kepada rumpai.

Racun rumpai yang dijual di pasaran boleh didapati dalam pelbagai jenis. Secara ringkasnya, racun rumpai terbahagi kepada tiga jenis, iaitu racun pra-cambah (pre-emergence), racun sentuh dan racun sistemik.

Di Malaysia, racun rumpai yang biasa digunakan do ladang kelapa sawit ialah racun rumpai jenis glifosat dan paraquat seperti racun Roundup dan CS Paraquat 13. Racun rumpai ini sentiasa dikendalikan oleh pekerja di ladang kelapa sawit semasa proses penghantaran, penyimpanan, pencampuran dan penyemburan.

Racun CS Paraquat 13.
Racun Roundup.

Pendedahan racun rumpai terhadap pekerja ladang kelapa sawit berlaku melalui tiga cara, iaitu melalui liang kulit, saluran pernafasan atau udara dan melalui pengingesan ketika makan atau minum. Sebagai contohnya, apabila aktiviti semburan racun dijalankan, pekerja yang terlibat ataupun mana-mana individu yang berada di sekitar kawasan tersebut akan terdedah kepada semburan racun dan terkena pada badan, terutamanya apabila semburan dijalankan pada arah bertentangan angin.

Semburan racun rumpai juga boleh terbias pada permukaan makanan atau minuman yang tidak ditutup rapi dan terlalu dekat dengan kawasan semburan. Hal ini akan menyebabkan masalah keracunan melalui pengingesan.

Selain itu, permukaan kulit juga boleh terdedah kepada racun rumpai apabila terdapatnya tumpahan pada pakaian atau secara langsung kepada kulit.

Kerosakan DNA adalah lebih tertumpu kepada ketidaknormalan bilangan dan struktur kromosom manusia seperti perubahan kromosom, pertukaran kromatid serta pembentukan mikronukleus. Perubahan bilangan kromosom ialah kesan daripada proses mitosis yang berlakunya pemisahan kromosom, manakala perubahan struktur kromosom pula berlaku akibat pembaikan serta pemulihan secara tidak betul pada DNA yang telah rosak.

Perubahan kromosom seperti perubahan struktur dan perubahan bilangan adalah berkait rapat dengan pembentukan tumor dan kemungkinan menyebabkan kanser. Pendedahan kepada racun rumpai dalam tempoh masa yang lama berpotensi menyebabkan kerosakan DNA dan mengakibatkan masalah penyakit kronik seperti kanser.

Satu kajian telah dijalankan di Ladang Kelapa Sawit ASPA, Pekan, Pahang dengan mengumpulkan sel bukal pekerja ladang kelapa sawit untuk mengesan kerosakan DNA melalui asai mikronukleus. Pembentukan mikronukleus menunjukkan keralatan berlaku pada saat mitosis semasa anafasa. Jadi, peningkatan frekuensi mikronukleus per 1000 sel menunjukkan peningkatan kesan kerosakan DNA.

Proses pembentukan mikronukleus.

Hasil kajian tersebut menunjukkan bahawa pekerja yang bekerja di ladang mempunyai frekuensi mikronukleus yang lebih tinggi berbanding dengan pekerja di pejabat. Hal ini disebabkan oleh kadar pendedahan pekerja ladang kepada racun rumpai adalah lebih tinggi berbanding dengan pekerja pejabat. Jadi, kajian ini membuktikan pendedahan kepada racun rumpai boleh menyebabkan kerosakan sel DNA yang berkemungkinan menyebabkan kanser.

Tahap dedahan kepada racun rumpai ini dapat dikurangkan dengan membaca label pada botol racun secara teliti sebelum digunakan. Selain itu, pekerja perlu mematuhi Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (AKKP 1994) yang telah diwajibkan kepada semua pekerja untuk memakai alat perlindungan diri yang sesuai dan lengkap seperti memakai sarung tangan getah, penutup mulut dan hidung, baju berlengan panjang, kasut getah, pelindung mata seperti gogal dan apron plastik sepanjang proses pengendalian racun rumpai.

Pemakaian lengkap alat perlindungan diri.

Penyemburan racun rumpai juga mestilah dilakukan dengan mengikut arah tiupan angin supaya tidak terkena pada badan atau pakaian. Pakaian yang digunakan dalam aktiviti ini perlu dibersihkan dengan segera. Racun rumpai juga perlu disimpan dalam ruang yang berkunci serta disimpan jauh daripada makanan dan orang ramai.

Sebagai kesimpulannya, majikan perlu memastikan bahawa pekerja ladang kelapa sawit seharusnya mengurangkan tahap dedahan kepada racun rumpai bagi mengurangkan risiko kerosakan DNA yang boleh memberikan kesan kesihatan jangka masa panjang seperti penyakit kanser.

 

Profesor Madya ChM. Dr. NormahAwang dan Dr. Nurul Farahana Kamaludin, Pusat Kajian Toksikologi dan Risiko Kesihatan, Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Kebangsaan Malaysia, Kampus Kuala Lumpur.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.