6 Jun 2023, 17:39

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Ledakan teknologi dengan percambahan pelbagai jenis peranti digital ataupun gajet dalam pasaran menyebabkan setiap daripada kita, tanpa mengira lapisan umur, tidak terlepas daripada penggunaannya dalam kehidupan sehari-hari. Kebergantungan pada teknologi ini adalah sangat tinggi, terutamanya dalam fasa pandemik COVID-19 dan berterusan hingga kini akibat pendigitalan aktiviti pembelajaran, pekerjaan, perniagaan dan sebagainya.

Penggunaan gajet dalam jangka masa panjang kerap dikaitkan dengan isu mata penat atau tegangan mata digital (digital eye strain). Tegangan mata digital lazimnya memberikan kesan seakan-mata mata kering dan penat selepas menggunakan gajet dalam tempoh tertentu.

Kajian menunjukkan bahawa golongan dewasa, terutamanya anak muda mempunyai prevalens pelaporan mata kering akibat penggunaan gajet hingga 80 peratus. Tegangan mata digital terjadi kerana mata akan terus terfokus kepada skrin dan mengurangkan kadar kelipan mata semasa penggunaan gajet tersebut.

Gejala dan Tanda Tegangan Mata Digital

Simptom mata yang dikaitkan dengan tegangan mata digital ialah kerengsaan pada mata, kekeringan, ketidakselesaan dan mungkin memberikan rasa sensitif terhadap cahaya. Gejala lain termasuklah penglihatan kabur, keletihan mata, sakit mata, sakit kepala, penglihatan berganda atau diplopia dan kesukaran untuk memfokuskan gajet yang dilihat dengan baik.

Pemeriksaan kesihatan mata menggunakan alat yang dipanggil slit lamp.

Kebanyakan gejala ini ialah masalah biasa yang dilaporkan oleh pesakit. Namun begitu, tanda klinikal pada mata seperti kadar kelipan mata yang berkurangan dan penandaan pendarfluor kornea yang menunjukkan kawasan kekeringan pada mata boleh dikesan dengan pemeriksaan oleh ahli optometri.

Keadaan mata dengan pandangan mata kasar.

 

Keadaan mata di bawah pemerhatian slit lamp yang menunjukkan kawasan kering pada mata melalui penandaan pendarfluor (titik hijau pada kornea).

Oleh itu, pemeriksaan mata komprehensif perlu dijalankan untuk mengesan masalah tegangan mata digital bagi mendapat rawatan yang bersesuaian dengan masalah ini.

Langkah Pencegahan dengan Kaedah 20-20-20

Kaedah 20-20-20 boleh dijadikan sebagai panduan untuk membantu mengurangkan ketegangan mata dan ketidakselesaan yang disebabkan oleh penggunaan gajet seperti komputer, telefon pintar dan tablet yang berpanjangan.

Secara ringkasnya, kaedah 20-20-20 ini menggalakkan pengguna gajet untuk kerap berehat dan sesekali mengubah fokus kepada objek yang jauh untuk mengekalkan kesihatan mata semasa penggunaan gajet.

Seseorang itu perlu mengalihkan pandangan daripada skrin gajet sekurang-kurangnya selama 20 saat kepada objek yang jauh sekurang-kurangnya 20 kaki selepas setiap 20 minit penggunaan gajet secara berterusan.

Kaedah ini membantu mengurangkan ketegangan otot yang mengawal pergerakan mata semasa melihat pada jarak dekat dan membantu memfokuskan semula pandangan mata untuk mengelakkan keletihan, kekeringan dan ketidakselesaan mata.

Selain kaedah 20-20-20, terdapat langkah lain yang boleh diamalkan untuk mengelakkan masalah tegangan mata digital ini. Pencahayaan sekitaran semasa menggunakan gajet perlu diambil perhatian agar silau pada skrin gajet dapat dikurangkan.

Penggunaan komputer, tablet atau telefon pintar perlu berada pada jarak dan sudut yang selesa daripada mata. Beberapa pelarasan teknikal seperti kecerahan, kontras dan saiz huruf paparan juga boleh dilakukan untuk mengurangkan simptom ketegangan mata digital.

Langkah pencegahan lain yang boleh diamalkan termasuklah berkelip dengan kerap dengan kelipan mata penuh serta menggunakan ubat titisan mata pelincir untuk membantu mengurangkan kekeringan dan kerengsaan mata.

Menggabungkan kesemua kaedah ini dalam rutin harian membantu memastikan mata kekal sihat dan selesa walaupun dengan penggunaan gajet yang berpanjangan. Namun begitu, jika anda mengalami gejala yang berterusan, anda disarankan berunding dengan ahli optometri berhampiran untuk mendapatkan nasihat tentang cara mengurangkan ketegangan mata dan mendapatkan pilihan rawatan yang sesuai.

Sebagai kesimpulannya, ketegangan mata digital ialah masalah mata yang semakin kerap dilaporkan pada masa ini dan boleh menjejaskan produktiviti. Walau bagaimanapun, dengan mengamalkan kaedah 20-20-20 untuk mendapatkan rehat berkala, melaraskan tetapan gajet dan mengamalkan kesihatan mata yang baik, anda boleh mengurangkan ketegangan mata dan meningkatkan keselesaan mata anda secara keseluruhan.

 

Dr. Mizhanim Mohamad Shahimin, Pensyarah Kanan dan Ketua Program Optometri dan Sains Penglihatan, Pusat Kajian Kesihatan Komuniti (ReaCh), Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Kebangsaan Malaysia.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.