5 Jun 2023, 13:03

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kangar – Pemangku Raja Perlis, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menzahirkan ucapan syabas dan tahniah kepada Jabatan Perhutanan Negeri Perlis kerana menganjurkan program Perlis Green Hour 2023.

Program penanaman pokok secara besar-besaran dalam tempoh satu jam ini melibatkan seluruh penduduk di negeri Perlis yang melibatkan pelbagai kumpulan.

Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mengingatkan kepada semua yang terlibat, khususnya agensi yang berkaitan supaya tidak menjadikan aktiviti penanaman sebanyak 150 354 pokok baru-baru ini sebagai aktiviti sekali saja.

Sebaik-baiknya, aktiviti menjaga, menyiram dan membaja pokok tersebut perlu diteruskan supaya matlamat program Penghijauan Malaysia untuk memperbaik ekosistem dan biodiversiti negara dapat dicapai.

Demikian titah DYMM Tuanku Syed Faizuddin Putra selepas berkenan berangkat mengetuai program MAIPs Peduli Khas bersempena dengan Sambutan Hari Hutan Antarabangsa Peringkat Negeri Perlis Tahun 2023 dan Hari Ulang Tahun Keputeraan DYMM Tuanku Raja Perlis Ke-80 yang dianjurkan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dan Jabatan Perhutanan Negeri Perlis.

Pemangku Raja Perlis, DYMM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menyampaikan sumbangan dalam program MAIPs Peduli Khas di Kangar. 

Sebagai simbolik, Baginda juga berkenan menanam pokok kemuning di hadapan Dewan Serbaguna Bukit Ayer.

 

Menurut Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Perlis, Awang Shaffie Awang Ahmadni, kemuning atau nama saintifiknya Murraya paniculata ialah pokok yang sering dijadikan pokok landskap kerana bentuk silaranya yang menarik dan mudah dibentuk.

“Kayu pokok ini pula gemar dijadikan hulu dan sarung keris kerana mempunyai urat yang cantik sebagai corak semula jadi,” jelasnya lagi,

Sebelum memulakan program, DYMM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail turut berkenan melancarkan perkhidmatan kenderaan serba rupa bumi (ATV) di Kompleks Ekopelancongan Sungai Batu Pahat yang dikendalikan oleh Aziz Man Enterprise hasil kerjasama dengan Jabatan Perhutanan Negeri Perlis.

Pemangku Raja Perlis, DYMM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menaiki kenderaan serba rupa bumi di Kompleks Ekopelancongan Sungai Batu Pahat .

Syarikat yang berpusat di Taman Eko-Rimba Bukit Ayer tersebut turut menyediakan trem mini dan basikal elektrik untuk kemudahan para pengunjung.

Sementara itu, Jabatan Pertanian Negeri Perlis Timbalan Pengarah Pembangunan Industri dan Pengembangan, Jabatan Pertanian Negeri Perlis, Mohd Nizam Abdul Aziz mempersembah maklum kepada DYMM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bahawa pada masa ini jabatannya sedang dalam usaha untuk membangunkan lapan jenis durian kampung yang terpilih untuk dijadikan sebagai Durian Kampung Premium Perlis.

Menurutnya lagi, bagi menyelesaikan masalah sumber air dalam industri penanaman durian, Jabatan Pertanian Negeri juga membantu para petani dalam pembinaan perigi tabung.

Selain itu, Jabatan Pertanian Negeri mengeluarkan baja organik yang dipanggil Vermikompos yang boleh memberikan kesuburan kepada tanah dan pokok, meningkatkan imuniti pokok, melawan serangan serangga perosak dan penyakit serta nutrien tersedia yang mudah diserap terus oleh tumbuhan.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.