Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangJabatan Meteorologi Malaysia meramalkan negara akan berdepan dengan fenomena El Nino hingga September ini. Fenomena ini mengakibatkan jumlah hujan yang turun akan berkurangan serta cuaca menjadi panas dan kering.
Keadaan ini dikhuatiri memberikan kesan terhadap tahap kesihatan orang ramai. Tambahan pula, baru-baru ini seorang kanak-kanak telah dilaporkan meninggal dunia akibat strok haba. Oleh sebab itu, orang ramai harus didedahkan tentang penyakit berkaitan dengan haba, termasuklah punca, faktor risiko dan langkah pencegahannya.
Kelesuan Haba dan Strok Haba
Kelesuan haba dan strok haba ialah dua keadaan utama yang tergolong sebagai penyakit berkaitan dengan haba. Kedua-dua keadaan ini berlaku apabila seseorang individu terdedah kepada suhu yang tinggi secara berterusan sehingga menyebabkan dehidrasi.
Sekiranya keadaan ini tidak dirawat segera, seseorang yang mengalami kelesuan haba berisiko untuk mendapat strok haba, iaitu apabila suhu badannya meningkat secara drastik hingga melebihi 41 darjah Celcius.
Kedua-dua keadaan ini terjadi apabila seseorang itu terdedah kepada kombinasi beberapa faktor risiko secara berpanjangan. Melakukan aktiviti fizikal ketika cuaca panas dan kering dalam tempoh yang lama merupakan punca utama penyakit berkaitan haba.
Di samping itu, kelesuan dan strok haba turut dikaitkan dengan umur seseorang. Kanak-kanak berusia empat tahun dan ke bawah serta warga emas adalah lebih berisiko kepada kedua-dua keadaan tersebut.
Bukan itu sahaja, kemungkinan mengalami penyakit berkaitan dengan haba meningkat sekiranya seseorang itu menghidap penyakit seperti diabetes, hipertensi dan sakit jantung atau sedang mengambil ubat-ubatan yang mudah menyebabkan dehidrasi.
Selain itu, individu yang berlebihan berat badan, merokok atau mengambil alkohol secara kronik juga berisiko lebih tinggi mengalami kelesuan atau strok haba. Masalah fungsi hati dan buah pinggang juga merupakan faktor risiko bagi sesetengah individu lain.
Penggunaan Ubat yang Meningkatkan Risiko Penyakit Berkaitan dengan Haba
Sesetengah ubat berkemungkinan menyebabkan kesan peningkatan suhu badan melalui beberapa mekanisme tindakan. Peningkatan suhu badan boleh terjadi akibat kesan sesuatu ubat terhadap pusat pengawalan suhu badan di otak, keluaran jantung (cardiac output), vasodilasi atau vasokonstriksi, kadar perpeluhan, fungsi buah pinggang serta status hidrasi dan elektrolit tubuh.
Walau bagaimanapun, kesan peningkatan suhu badan turut dipengaruhi oleh faktor persekitaran atau tahap kesihatan seseorang. Bahkan, terdapat juga kemungkinan bahawa penyakit berkaitan dengan haba boleh berlaku walaupun seseorang itu tidak mengambil sebarang ubat-ubatan.
Antara ubat yang berisiko menyebabkan peningkatan suhu badan termasuklah ubat daripada kumpulan diuretik, penghalang beta (beta blocker) dan penghalang saluran kalsium (calcium channel blockers). Ubat-ubatan ini digunakan dalam rawatan hipertensi dan penyakit kardiovaskular yang lain.
Ubat kumpulan diuretik berpotensi menyebabkan dehidrasi, manakala ubat penghalang beta dan penghalang saluran kalsium memberikan kesan terhadap denyutan nadi dan kemampuan jantung untuk mengepam darah.
Selain ubat diuretik, dehidrasi mungkin berlaku kepada individu yang mengambil ubat sembelit atau julap secara berpanjangan. Hal in terjadi kerana ubat jenis ini menyebabkan penyingkiran air secara berlebihan daripada badan.
Selain itu, risiko mengalami penyakit berkaitan dengan haba turut dipengaruhi oleh pengambilan ubat-ubatan yang bertindak terhadap sistem saraf pusat. Antaranya termasuklah ubat kumpulan antipsikotik, benzodiazepina serta ubat antikemurungan seperti lithium, selective serotonin reuptake inhibitor dan tricyclic antidepressants.
Kebanyakan ubat daripada kumpulan ini memberikan kesan kepada pusat pengawalan suhu badan di otak dan mempengaruhi cara badan bertindak terhadap perubahan suhu badan. Kedua-dua kesan ini memperlahankan proses penyejukan secara semula jadi oleh badan.
Alkohol dan ubat kumpulan antihistamin juga berkemungkinan meningkatkan suhu badan. Alkohol yang diambil secara berlebihan dapat mengganggu daya penumpuan dan kebolehan seseorang mentafsirkan rangsangan haba serta menyebabkan pengembangan salur darah.
Antihistamin yang sering digunakan untuk gejala alahan dan selesema pula akan menyebabkan kesan penguncupan salur darah dan seterusnya melambatkan proses penyejukan semula jadi badan.
Selain ubat-ubatan, pengambilan produk untuk penurunan berat badan seperti karnitina dan ekstrak teh hijau pula berupaya meningkatkan penghasilan haba dalam badan. Kesan ini terhasil akibat peningkatan kadar metabolisme badan.
Nasihat kepada Pesakit dan Orang Awam
Walaupun beberapa jenis ubat diketahui dapat meningkatkan risiko penyakit berkaitan dengan haba, pengambilan ubat-ubat tersebut masih perlu diteruskan mengikut arahan doktor atau ahli farmasi.
Pesakit tidak sepatutnya mengurangkan dos atau berhenti mengambil ubat secara sendiri, terutamanya bagi ubat-ubatan penyakit kronik. Sekiranya terdapat kerisauan tentang kemungkinan mengalami penyakit berkaitan dengan haba, pesakit dinasihatkan supaya berbincang dan mendapatkan pandangan doktor yang merawat.
Di samping itu, pesakit disarankan untuk mengambil langkah pencegahan bagi mengurangkan risiko mendapat penyakit berkaitan dengan haba. Antara perkara utama yang boleh dilakukan termasuklah memastikan tahap hidrat badan sentiasa mencukupi.
Selain air kosong, minuman isotonik tanpa gula boleh dijadikan pilihan kerana minuman ini membantu mengembalikan elektrolit dan mineral yang diperlukan oleh badan. Pengambilan minuman manis, berkafein dan alkohol hendaklah dikurangkan.
Pesakit juga dinasihatkan agar mengehadkan atau mengurangkan tempoh dan intensiti aktiviti luar yang hendak dilakukan. Jika boleh, jadualkan aktiviti tersebut pada waktu yang lebih redup.
Sekiranya perlu keluar dari rumah, penggunaan produk pelindung suria sangat digalakkan. Krim pelindung cahaya matahari dengan SPF15 atau lebih misalnya, membantu melindungi kulit daripada terik cahaya matahari.
Sapukan krim kepada bahagian tubuh yang terdedah dengan cahaya matahari sebelum keluar daripada rumah. Penggunaan secara konsisten dapat memberikan kesan perlindungan yang lebih efektif. Selain itu, penggunaan payung dan topi juga digalakkan.
Sebagai kesimpulannya, selain faktor persekitaran dan keadaan badan, penyakit berkaitan dengan haba boleh terjadi akibat pengambilan sesetengah ubat tertentu. Sehubungan dengan itu, individu yang sedang mengambil ubat-ubat ini hendaklah mendapatkan pandangan ahli profesional kesihatan untuk memastikan ubat dapat diambil untuk rawatan penyakit, di samping mengurangkan risiko penyakit berkaitan dengan haba.
Sekiranya terdapat pertanyaan lanjut tentang penggunaan ubat-ubatan, pesakit atau orang awam boleh menghubungi Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (NPCC) melalui talian 1800-88-6722. Talian dibuka pada setiap hari Isnin hingga Jumaat, bermula pukul 8.00 pagi hingga 5.00 petang (kecuali pada cuti umum).
Penulis: Mohd Shahiri Abd Ghapar, Pegawai Farmasi, Bahagian Amalan dan Perkembangan Farmasi, Program Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia.
Disemak oleh: Siti Nurul Fathiah Baharudin, Ketua Penolong Pengarah Kanan, Cawangan Penggunaan Ubat Berkualiti, Bahagian Amalan dan Perkembangan Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia.