Oleh Abd Razak Osman
31 Mei 2023, 18:42

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Sik – Penganjuran Program Kesedaran mengenai Larangan Pembakaran Terbuka dan Pengurusan Buangan Elektrik dan Elektronik anjuran Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Kedah dan Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) yang berlangsung di Kolej KEDA Rimba Taqwa Perangin, Sik, Kedah bertujuan mendidik masyarakat agar menjadi lebih bertanggungjawab dan berhemah dalam menjaga kelestarian alam sekitar.

Para peserta sedang mendengar ceramah dalam Program Kesedaran mengenai Larangan Pembakaran Terbuka dan Pengurusan Buangan Elektrik dan Elektronik.

Program tersebut diadakan berikutan masih terdapat banyak pihak yang tidak bertanggungjawab melakukan pembakaran terbuka sehingga menyebabkan pencemaran udara.

“Menerusi program seumpama ini, para peserta mendapat ilmu tambahan mengenai kesan buruk daripada pembakaran terbuka dan pembuangan bahan elektrik dan elektronik sama ada pembuangan tersebut dilakukan di tepi rumah, di dalam sungai dan kawasan lain,” kata salah seorang urus setia program tersebut, Puan Yusniza Yusop.

Sepanjang program berkenaan berlangsung, para peserta berpeluang menimba pengetahuan menerusi ceramah yang disampaikan oleh Penolong Pegawai Pertanian Negeri Kedah, Puan Naziroh Nayan, Penolong Pengarah Kanan (Operasi) JAS Negeri Kedah, Encik Mohd Faizal Ab Jalil dan Penolong Pegawai Kawalan Kanan JAS Negeri Pulau Pinang, Puan Faizah Md Arshad.

Penolong Pegawai Pertanian Negeri Kedah, Puan Naziroh Nayan.
Penolong Pegawai Kawalan Kanan JAS Negeri Pulau Pinang, Puan Faizah Md Arshad.

“Pembakaran terbuka dan pembuangan bahan elektrik dan elektronik yang mengandungi toksik tanpa pemantauan mendorong masyarakat terdedah kepada pelbagai risiko kesihatan dan setiap aktiviti yang dilaksanakan oleh JAS bagi menangani masalah itu perlu diberikan sokongan sepenuhnya,” ujar Timbalan Pengurus Besar Operasi KEDA, Encik Khairul Azmeer Abu Bakar ketika merasmikan program tersebut.

Pada masa yang sama, penanaman pokok buluh madu di beberapa buah lokasi termasuklah di Campsite Damai, Lubuk Badak, Rimba Rekreasi Lata Mengkuang dan KEDA Resort Bendang Man telah diadakan.

Penolong Pengurus Pembangunan Komuniti KEDA, Puan Nor Juhaini Jamaludin (tengah) menyampaikan cenderamata kepada Penolong Pengarah Kanan (Operasi) JAS Negeri Kedah, Encik Mohd Faizal Ab Jalil (kiri).

Sebanyak 210 orang peserta yang terdiri daripada usahawan, petani, pelajar dan peserta di bawah wilayah selian KEDA telah menyertai program tersebut bersempena dengan Sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia 2023.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.