31 Mei 2023, 13:09

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Apabila mendidik generasi muda zaman kini, antara elemen yang tidak dapat ditolak untuk diterapkan dalam aktiviti seharian mereka ialah pemikiran kreatif dan kritis. Kedua-dua elemen ini merupakan unsur penting bagi membentuk masyarakat yang berinovasi. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, inovasi bermaksud sesuatu yang baru diperkenalkan seperti kaedah, sistem adat dan lain-lain.

Inovasi amat penting dalam perkembangan zaman yang sentiasa berlakunya perubahan dengan cepat. Antara perkara utama bagi memupuk inovasi termasuklah minda dan ilmu.

Dalam buku Think and Grow Rich karya Napoleon Hill, perkara yang paling utama dalam pembentukan inovasi ialah minda dan pemikiran seseorang. Jadi, guru boleh bermula dengan menerapkan kaedah yang sesuai kepada pelajar untuk mereka berinovasi. Apabila pelajar didedahkan dengan kaedah yang betul, mereka akan mampu berdaya saing pada masa hadapan.

Dewasa ini, kita dapat melihat beberapa perusahaan yang terkemuka di dalam mahupun di luar negara sentiasa berinovasi untuk menghasilkan produk yang menepati cita rasa pelanggan. Tanpa inovasi, sesebuah syarikat berpotensi besar untuk ketinggalan jauh ke belakang. Oleh sebab itu, tidak salahlah jika sejak awal remaja lagi, anak-anak mula didedahkan dengan konsep pemikiran reka bentuk atau design thinking.

Konsep pemikiran reka bentuk telah terbukti memberikan keuntungan kepada beberapa syarikat besar di dunia seperti Apple, Google, Samsung dan Ford. Antara nama besar yang berkaitan dengan konsep ini termasuklah Richard Buchanan, Tim Brown dan Bill Moggridge.

Konsep pemikiran reka bentuk beerti cara berfikir yang membantu menginovasi dan menyelesaikan masalah seperti mereka bentuk produk yang dapat menyelesaikan masalah pengguna dan selamat untuk digunakan.

Dalam slot awal pengajaran inovasi, guru boleh menunjukkan contoh rekaan syarikat tertentu yang mengaplikasikan konsep pemikiran reka bentuk. Guru digalakkan untuk mendapatkan maklum balas daripada pelajar tentang pembaharuan yang telah dibuat terhadap produk yang terbaharu di pasaran.

Kepentingan pemikiran reka bentuk harus didasarkan kepada tiga perkara utama, iaitu manusia, keusahawanan dan teknologi. Untuk manusia, pelajar harus difokuskan terhadap pengalaman pengguna kerana perkara ini menjadi tunjang dalam memenangi hati manusia sebagai pelanggan untuk membeli dan menggunakan sesuatu produk.

Keusahawanan pula menjurus kepada persaingan dan kajian pasaran bagi memastikan produk yang dihasilkan bertahan lama. Teknologi harus dilihat sebagai sesuatu yang memudahkan tugas manusia dan seelok-eloknya perkara ini berkaitan dengan Revolusi Perindustrian 4.0.

Terdapat pelbagai model pemikiran reka bentuk dalam pendekatan inovasi. Antaranya termasuklah Stanford d.school Design Thinking, Zurb Design Thinking Model,  The Google Design Spirit Process dan sebagainya.

Pada pandangan penulis, Stanford d.school Design Thinking sesuai digunakan untuk pelajar peringkat menengah. Dalam aspek ini, guru boleh menggunakan contoh masalah yang sesuai dengan tahap pemikiran pelajar.

Rajah 1 Model pemikiran reka bentuk Stanford d.school yang boleh digunakan untuk pelajar sekolah menengah. Sumber: https://lx.uts.edu.au/inspiringteaching/2018/04/26/432/design-thinking/

Terdapat lima proses pemikiran reka bentuk, iaitu empati, mengenal pasti atau menentukan masalah, pembentukan idea, prototaip dan pengujian. Untuk proses empati, pelajar perlu meletakkan diri mereka sebagai pengguna untuk merasai pengalaman sebagai pengguna produk itu sendiri. Proses pertama ini juga memberikan tumpuan kepada penyelidikan berpusatkan pengguna

Proses penentuan masalah pula melibatkan analisis daripada pemerhatian daripada peringkat pertama. Mentakrifkan masalah dan pernyataan masalah mesti dilakukan dengan berpusatkan manusia.

Dalam proses yang keempat, yakni pembentukan idea, pereka perlu bersedia menjana idea dan mencari penyelesaian yang tepat. Pereka perlu melihat masalah dari perspektif yang berbeza dan memikirkan penyelesaian inovatif untuk pernyataan masalah yang dikemukan.

Selepas itu, proses prototaip perlu dijalankan dengan membangunkan satu model atau objek bagi memastikan adakah idea tersebut dapat menyelesaikan masalah pengguna. Dalam aspek ini, faktor kos perlu dititikberatkan dan penggunaan konsep smart adalah amat digalakkan.

Yang terakhir, iaitu proses pengujian pula merangkumi pengambilan data ketika menjalankan ujian. Pengujian membantu memberikan keputusan sama ada produk yang dicipta itu dapat menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh pelanggan.

Contoh aktiviti pemikiran reka bentuk yang boleh dilaksanakan oleh pelajar menengah rendah. Beberapa kumpulan pelajar diberikan set Lego dan mereka dikehendaki membuat satu prototaip menggunakan kaedah pemikiran reka bentuk  Aktiviti seringkas ini boleh memupuk budaya inovasi dalam kalangan pelajar sekolah.

Ketika sesi pembentangan produk inovasi, guru digalakkan untuk menyediakan senarai semak persembahan pemikiran reka bentuk yang meliputi lakaran produk, tujuan produk dibina, pernyataan masalah, penyelesaian masalah, kumpulan sasaran pelanggan, struktur kos dan keunikan produk yang dibina berbanding dengan produk lain di pasaran.

Setiap nilai yang dibentangkan perlu disertakan dengan pernyataan yang kukuh supaya pelajar benar-benar memahami setiap nilai yang terdapat dalam inovasi yang dibangunkan. Guru juga harus menggalakkan pelajar lain untuk memberikan pandangan. Pelajar juga perlu belajar untuk menerima kritikan dan berusaha membuat penambahbaikan kerana ciri ini terkandung dalam nilai seorang penginovasi.

Diharapkan dengan kaedah pemikiran reka bentuk ini dapat menjadikan anak-anak Malaysia lebih kritis, kreatif dan membantu pembangunan Malaysia untuk menjadi sebuah negara pengeluar dan bukannya negara pengguna semata-mata.

Harus diingatkan bahawa kaedah pemikiran reka bentuk turut mempunyai beberapa kelemahan, namun pada peringkat permulaan seperti golongan pelajar dan golongan yang ingin membuka permulaan perniagaan (startup business), elemen ini merupakan langkah yang tepat untuk diamalkan sebagai pendekatan penyelesaian masalah!

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.