30 Mei 2023, 09:46

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Sebanyak 32 orang pelajar Ijazah Sarjana Muda Kesihatan Persekitaran dan Pekerjaan, Fakulti Sains Kesihatan (FSK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bersama-sama dua orang pegawai pengiring telah mengadakan lawatan akademik ke Bahagian Kawalan Penyakit dan Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Balas Krisis (CPRC) di Ibu Pejabat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Putrajaya bagi memperoleh pengetahuan dan pendedahan lebih lanjut tentang fungsi bahagian berkenaan.

Bahagian Kawalan Penyakit ialah satu daripada lima bahagian yang terletak di bawah Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Kementerian Kesihatan Malaysia, selain Bahagian Pembangunan Kesihatan Keluarga, Bahagian Perkembangan Kesihatan Awam, Bahagian Pendidikan Kesihatan dan Bahagian Pemakanan.

Secara umumnya, Bahagian Kawalan Penyakit bertanggungjawab dalam menyelaras aspek pengurusan kawalan penyakit berjangkit dan penyakit tidak berjangkit yang berlaku di negara ini pada peringkat kebangsaan, manakala CPRC pula berperanan sebagai penyelaras, pusat arahan dan koordinasi bagi aktiviti kesiapsiagaan dan tindak balas terhadap kejadian wabak penyakit berjangkit, kecemasan, krisis dan bencana (DOCE) pada peringkat kebangsaan.

Kewujudan dan peranan CPRC tersebut mula dikenali dan mendapat perhatian daripada orang ramai berikutan wabak COVID-19 yang melanda dunia dan negara ini sekitar tahun 2020.

Lawatan akademik pelajar Ijazah Sarjana Muda Kesihatan Persekitaran dan Pekerjaan, FSK, UKM bersama-sama dua orang pegawai pengiring ke Bahagian Kawalan Penyakit, KKM.

Sesi taklimat dimulakan dengan penerangan ringkas berkenaan dengan sejarah aktiviti kawalan penyakit di Malaysia yang bermula seawal tahun 1960-an sehinggalah kewujudan Bahagian Kawalan Penyakit tersebut pada peringkat kebangsaan yang disampaikan oleh Pegawai Kesihatan Persekitaran daripada Sektor Informasi dan Dokumentasi, Encik Azhar Ismail.

Seterusnya, sesi taklimat tersebut juga menerangkan berkenaan dengan fungsi dan peranan khusus Bahagian Kawalan Penyakit dalam aspek pengurusan kawalan penyakit berjangkit seperti Human Immunodeficiency Virus (HIV) atau sindrom kurang daya tahan penyakit (AIDS), tibi, hepatitis C, kusta, penyakit kaki tangan dan mulut, demam campak, denggi, malaria, leptospirosis dan penyakit tidak berjangkit seperti penyakit jantung, diabetes, darah tinggi dan kanser.

Taklimat tentang fungsi dan peranan Bahagian Kawalan Penyakit, KKM yang disampaikan oleh Pegawai Kesihatan Persekitaran daripada Sektor Informasi dan Dokumentasi, Encik Azhar Ismail.

Sesi taklimat kedua yang disampaikan Pegawai Kesihatan Persekitaran daripada Sektor Kawalan Tembakau, Puan Hajjah Ummi Nadiah Yussof pula menjelaskan tentang tugas dan peranan Pegawai Kesihatan Persekitaran, khususnya di Bahagian Kawalan Penyakit, KKM bagi memberikan kefahaman dan pengetahuan kepada para pelajar yang bakal menjawat jawatan tersebut setelah tamat pengajian kelak.

Taklimat berkenaan dengan peranan Pegawai Kesihatan Persekitran di Bahagian Kawalan Penyakit, KKM yang disampaikan oleh Pegawai Kesihatan Persekitaran daripada Sektor Kawalan Tembakau, Puan Hajjah Ummi Nadiah Yussof.

Pegawai Kesihatan Persekitaran daripada Sektor Kawalan Zoonosis, Puan Rabiatul Jannah Mohamad pula berkongsikan maklumat tentang isu semasa epidemiologi dan kawalan penyakit semasa yang sedang berlaku di negara ini dan mendedahkan statistik kejadian penyakit berjangkit dan penyakit tidak berjangkit yang telah dilaporkan bagi tahun semasa serta menunjukkan perbandingan kadar kejadian penyakit berbanding dengan tahun yang lalu dalam sesi taklimat tersebut.

Menurut beliau, perbandingan kadar kejadian penyakit adalah penting untuk melihat corak dan trend kejadian sesuatu penyakit bagi menilai faktor risiko yang berkemungkinan berlaku dan seterusnya membolehkan perancangan yang sewajarnya dilakukan bagi membolehkan langkah kawalan dilaksanakan dengan segera.

Taklimat tentang isu semasa epidemiologi dan kawalan penyakit semasa yang sedang berlaku di Malaysia yang disampaikan oleh Pegawai Kesihatan Persekitaran daripada Sektor Kawalan Zoonosis, Puan Rabiatul Jannah Mohamad.

Semasa lawatan tersebut, para pelajar berpeluang melawat ke CPRC yang berperanan dalam merancang pembangunan sumber insan, peralatan perlindungan diri, ubat-ubatan dan vaksin agar mencukupi sambil diselia oleh Pegawai Kesihatan Persekitaran daripada Sektor Pengurusan Wabak, Bencana, Krisis dan Kecemasan, Encik Muhammad Lutfi Ahamad Pudzi.

CPRC turut menjalankan aktiviti penilaian risiko, penilaian pantas dan tindak balas pantas yang beroperasi selama 24 setiap hari dan hanya wujud pada peringkat kebangsaan dan peringkat negeri, manakala pusat arahan dan kawalan kejadian bencana, wabak, krisis dan kecemasan pada peringkat daerah dinamakan sebagai Bilik Gerakan.

CPRC berfungsi dalam dua mod, iaitu pasif dan aktif, yakni semasa berada dalam mod pasif, aktiviti lebih tertumpu kepada penilaian risiko, kesiapsiagaan, survelan, komunikasi risiko dan latihan, manakala semasa dalam mod aktif, aktiviti CPRC lebih tertumpu kepada pusat arahan, tindakan dan koordinasi kejadian bencana, wabak, krisis dan kecemasan.

Dalam keadaan pasif, CPRC beroperasi selama 24 jam. Daripada pukul 8.00 pagi hingga 5.00 petang, operasi adalah di CPRC, manakala semua panggilan akan dijawab oleh pegawai yang bertugas secara atas panggilan selepas pukul 5.00 petang.

Lawatan pelajar Ijazah Sarjana Muda Kesihatan Persekitaran dan Pekerjaan, FSK, UKM ke CPRC, Ibu Pejabat KKM.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.