26 Mei 2023, 18:03

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Langkawi – Selari dengan pelaksanaan pelbagai aktiviti yang direncanakan di bawah Program Eksplorasi Angkasa Malaysia 2030 (MSE2030), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) melalui Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) telah memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Jabatan Perhutanan Sabah (JPS) bagi memperkasakan kerjasama penggunaan teknologi angkasa dan penderiaan jauh dalam pengurusan sumber hutan secara lestari, khususnya di kawasan Hutan Simpan Negeri Sabah.

Skop kerjasama tersebut adalah merangkumi pemantauan dan pemetaan kawasan berhutan di seluruh negeri Sabah berteraskan teknologi angkasa yang merupakan satu pendekatan baharu dalam pengurusan sumber hutan dan pendigitalan maklumat perhutanan.

Berdasarkan kenyataan media yang dikeluarkan oleh MYSA, beberapa pakej Sistem Aplikasi telah dibangunkan melalui kerjasama ini untuk membantu pihak JPS dalam pengurusan sumber hutan, iaitu Sistem iForSABAH bagi pengurusan dan pemantauan litupan hutan serta Sistem e-PESISIR yang memfokuskan pemantauan kawasan pesisiran pantai negara.

Dalam membantu pihak JPS dalam membuat pemetaan dan pengemaskinian litupan hutan secara tepat dan berkala setiap dua tahun sejak tahun 2010, penggunaan teknologi angkasa sangat memberikan impak yang penting dalam pengurusan sumber hutan.

Sementara itu, pengoperasian sepenuhnya sistem aplikasi yang dibangunkan juga telah mengurangkan kos operasi di lapangan hingga 40 peratus dan menjimatkan masa pelaksanaan kerja.

Dalam majlis pemeteraian MoU berkenaan, Ketua Pengarah MYSA, YBrs. Gs. Haji Azlikamil Napiah dan Ketua Konservator Hutan Sabah, YBhg. Datuk Frederick Kugan telah menyempurnakan acara menandatangani dokumen MoU tersebut.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.