25 Mei 2023, 17:31

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Sesi perbincangan bersama-sama penyelidik daripada pelbagai negara Asia Tenggara anjuran Pusat Kajian Penuaan Sihat dan Kesejahteraan (H-Care), Fakulti Sains Kesihatan (FSK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sebagai satu daripada usaha untuk meningkatkan jaringan kerjasama dengan negara luar bagi intervensi gaya hidup pelbagai domain untuk menurunkan risiko demensia dalam kalangan warga emas telah diadakan, semalam.

Sesi perbincangan yang dipengerusikan oleh penyelidik utama “AGELESS Trial” merangkap Dekan FSK, UKM, YBrs. Profesor Dr. Suzana Shahar bertujuan membincangkan suatu program intervensi bagi mengurangkan dan melambatkan risiko demensia serta menghasilkan bukti penyelidikan saintifik terhadap pengurangan risiko demensia dan penuaan sihat dalam kalangan warga emas.

Sesi perbincangan untuk mengurangkan dan melambatkan risiko demensia dalam kalangan warga emas yang dipengerusikan oleh penyelidik utama “AGELESS Trial” merangkap Dekan FSK, UKM, YBrs. Profesor Dr. Suzana Shahar di Berjaya Resort Hotel, Kuala Lumpur.

AGELESS Trial” ialah projek penyelidikan yang ditaja oleh Kementerian Pengajian Tinggi melalui Geran Penyelidikan Jangka Panjang dan diadaptasi daripada kajian “FINGER Trial” di Sweden mengikut budaya tempatan dalam kalangan warga emas di Malaysia.

Sesi perbincangan dimulakan dengan penerangan tentang keberkesanan program intervensi selama dua tahun dalam mencegah kemerosotan kognitif melalui perubahan gaya hidup oleh penyelidik utama “FINGER Trial”, YBrs. Profesor Dr. Francesca Mangialasche.

Seterusnya, YBrs. Profesor Dr. Suzana Shahar berpeluang membentangkan dapatan kajian awal daripada Malaysia, iaitu “AGELESS Trial” yang melaporkan terdapat peningkatan fungsi kognitif dan fizikal dalam kalangan warga emas yang menghidap keuzuran kognitif selepas enam bulan program intervensi ini dijalankan.

Bukan itu sahaja, dapatan kajian ini turut dikongsikan dari semasa ke semasa melalui penerbitan makalah dalam jurnal tempatan dan antarabangsa serta persidangan di dalam negara dan luar negara.

“Program intervensi seumpama ini seharusnya dilakukan di negara jiran untuk kemaslahatan komuniti sekali gus dapat mengurangkan beban dalam kalangan penjaga, komuniti dan sistem penjagaan kesihatan di negara masing-masing,” kata YBrs. Profesor Dr. Suzana Shahar dalam program tersebut.

Selain itu, program berkenaan juga mengadakan sesi perkongsian pandangan oleh para penyelidik yang hadir daripada setiap negara tentang isu yang berlaku, terutamanya kemerosotan atau keuzuran kognitif dalam kalangan warga emas pada peringkat komuniti dan klinikal.

Berdasarkan sesi perkongsian tersebut, didapati bahawa terdapat beberapa kekangan yang dihadapi dalam melaksanakan program intervensi ini, misalnya dari segi dana untuk menjalankan program tersebut, kekurangan tenaga kerja, penyeragaman alat saringan dan penilaian yang digunakan serta isu hak cipta terhadap alat yang digunakan.

Walau bagaimanapun, barisan perwakilan daripada setiap negara telah memberikan beberapa cadangan yang boleh dilakukan agar program intervensi tersebut dapat dilaksanakan di negara masing-masing mengikut budaya tempatan, yakni dengan menubuhkan sebuah organisasi yang dinamakan sebagai “FINGERS -Asia Tenggara”.

Melalui kerjasama antara “FINGERS” dengan negara Asia Tenggara ini, keseragaman data untuk negara di Asia Tenggara akan dilakukan dan kajian saintifik berkaitan dengan kemerosotan kognitif dalam kalangan warga emas dapat dihasilkan dengan lebih banyak pada peringkat antarabangsa.

Hal ini sekaligus dapat memperkasakan kesejahteraan penuaan yang sihat dari segi minda dan fizikal serta mendokong aspirasi dalam melahirkan warga emas yang berdikari selari dengan Dasar Warga Emas Negara.

Turut hadir dalam program tersebut ialah penyelidik daripada Neuroscience Research Australia, YBrs. Profesor Dr. Kaarin Jane Anstey dan penyelidik daripada Karonlinska Institute, Stockholm, Sweden, YBrs. Profesor Dr. Francesca Mangialasche, para penyelidik dan profesional penjagaan kesihatan daripada Indonesia, Brunei, Singapura, China, Filipina, Vietnam dan Thailand bagi berkongsikan pendapat tentang strategi yang dilakukan oleh negara masing-masing sebagai persediaan dalam menghadapi jumlah populasi warga emas dan kelaziman demensia yang dijangkakan semakin meningkat.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.