23 Mei 2023, 19:41

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur  – Pengeluaran makanan di negara ini masih mencukupi dan tidak terjejas walaupun negara mengalami fenomena El Nino, namun jika terdapat masalah berkaitan dengan sumber air, pengeluaran makanan berisiko terjejas.

Demikian kupasan yang diberikan oleh Pengarah Bahagian Kawalan Racun Perosak dan Baja, Jabatan Pertanian Malaysia (JPM), Encik Mat Iesak Ngathinee dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia (SPM), pagi tadi.

Pengarah Bahagian Kawalan Racun Perosak dan Baja, Jabatan Pertanian Malaysia (JPM), Encik Mat Iesak Ngathinee (kiri) ketika ditemu bual bagi membincangkan topik “Sekuriti Makanan semasa El Nino” dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia.

“Berikutan Malaysia mengalami cuaca panas yang ekstrem dan mampu menjejaskan kesihatan para petani dan pengeluaran hasil tanaman pada masa ini, JPM mengambil langkah berjaga-jaga bagi memastikan bekalan makanan sentiasa terjamin dan mengelakkan kerugian hasil tanaman,” kata Encik Mat Iesak Ngathinee ketika ditemu bual dalam rancangan SPM tersebut.

Menurut beliau lagi, serangan makhluk perosak dan taburan hujan yang tidak menentu menyebabkan hasil tanaman terjejas kerana tanaman sangat memerlukan jumlah air yang mencukupi bagi memastikan kesuburan tanah itu sentiasa berada pada tahap yang tinggi.

Antara kesan cuaca panas terhadap tanaman termasuklah peningkatan penyejatan kepada tumbuhan yang menyebabkan kekurangan kelembapan tanah dan penyerapan nutrien, tanaman mengalami tekanan air, aktiviti akar berkurangan serta pH tanah turut terjejas sekali gus mengakibatkan keadaan tanah beralkali yang mengurangkan ketersediaan nutrien untuk diserap oleh tanaman.

Terdapat beberapa langkah mitigasi yang sedang diusahakan oleh JPM bagi memastikan hasil pertanian tidak terjejas, iaitu membina telaga tiub, menyelenggara telaga tiub yang sedia ada, membina empangan di saliran yang kecil di sungai, menggunakan kaedah sungkupan ke atas tanaman bagi mengelakkan pengaliran air yang berlebihan, menggunakan sistem pengairan titis serta melaksanakan aktiviti pertanian dalam persekitaran yang terkawal dengan menggunakan penyesuaian teknologi berdasarkan faktor cuaca serta mempergiatkan aktiviti pengembangan pertanian.

Tambah beliau, bagi perancangan untuk jangka masa panjang pula, JPM akan memperkukuh pembinaan teknologi moden, bercadang untuk mendapatkan satu sistem ramalan cuaca berketepatan tinggi yang boleh dirujuk dalam bidang pertanian, membangunkan penggunaan varieti tanaman yang toleransi terhadap cuaca serta bekerjasama dengan jabatan lain atau pihak swasta dalam memperkasakan inovasi tanaman.

JPM juga memperkenalkan satu Sistem GeoTanaman bagi membantu pengusaha tanaman dapat berdaftar dengan sistem ini dan membolehkan mereka merancang pengeluaran tanaman mengikut suatu kawasan agar selari dengan keperluan pasaran melalui data semasa yang terdapat dalam sistem berkenaan.

Sebelum mengakhiri sesi temu bual tersebut, beliau turut memaklumkan bahawa JPM akan melaksanakan Seminar Pelaburan Sektor Makanan dalam Agromakanan Malaysia bagi menangani kestabilan dan kesejahteraan bekalan makanan negara pada 25 Mei 2023 (Khamis).

Seminar ini akan menerangkan hala tuju Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan dan dasar pelaburan agromakanan negara, menjelaskan pendekatan yang dilakukan oleh JPM dalam memastikan keterjaminan makanan serta membincangkan lokasi sektor pertanian di negeri yang berpotensi untuk melakukan pelaburan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.