21 Mei 2023, 14:56

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Air membentuk sebahagian besar daripada berat badan. Selain kehilangan air melalui air kencing, peluh dan najis, badan manusia sentiasa kehilangan air melalui kulit dan udara yang dihembus.

Air penting untuk mengawal suhu badan, menyokong pergerakan otot dan mengekalkan jumlah darah. Oleh sebab itu, keupayaan untuk melaksanakan semua fungsi ini semasa melakukan senaman bergantung pada pengambilan cecair yang mencukupi.

Senaman yang berpanjangan dengan intensiti yang tinggi akan mengakibatkan kehilangan cecair yang lebih tinggi melalui peluh. Oleh sebab itu, seseorang yang bersenam mesti memastikan bahawa mereka menghidrat semula badan melalui pengambilan air.

Jika badan tidak dihidratkan semula, badan akan mengalami tahap penyahhidratan yang teruk hingga mampu menyebabkan kelemahan atau kekeliruan. Dalam kes yang serius, keadaan tersebut boleh mengakibatkan masalah buah pinggang, kerosakan otak dan kematian.

Satu daripada ujian penghidratan yang paling biasa untuk melihat sama ada seseorang itu mengalami penyahhidratan atau tidak adalah dengan memeriksa warna air kencing. Jika air kencing berwarna kuning cerah, maka tahap penghidratan adalah normal. Walau bagaimanapun, jika warnanya lebih gelap, hal ini bermakna bahawa badan kita memerlukan lebih banyak cecair.

Warna air kencing boleh digunakan untuk mengenal pasti tahap penghidratan badan manusia.

Minuman Elektrolit

Jika anda pernah menonton rancangan sukan, anda mungkin pernah melihat atlet menghirup minuman berwarna terang sebelum, semasa atau selepas pertandingan. Minuman itulah yang dipanggil minuman sukan (sports drink) atau lebih dikenali sebagai minuman elektrolit.

Hal ini adalah serupa sekiranya anda mengalami gejala penyahhidratan. Anda disarankan untuk meminum air elekrolit. Namun begitu, adakah minuman elektrolit merupakan pilihan yang tepat untuk kita?

Bahan Utama Minuman Elektrolit

Air ialah bahan utama di dalam minuman elektrolit selain mengandungi bahan seperti karbohidrat dan elektrolit seperti natrium, kalium, magnesium dan kalsium. Karbohidrat di dalam minuman ini selalunya dalam bentuk gula seperti glukosa, sukrosa dan fruktosa. Pada kebiasaannya, minuman elektrolit mengandungi sebanyak enam peratus hingga lapan peratus karbohidrat, larutan lain sebanyak enam peratus dan kira-kira 14 gram karbohidrat bagi setiap 240 mililiter cecair.

Walau bagaimanapun, sesetengah minuman elektrolit mengandungi sumber karbohidrat yang rendah atau sifar karbohidrat untuk menarik minat mereka yang mahukan air dan elektrolit tanpa kalori tambahan.

Antara jenama popular bagi minuman elektrolit termasuklah Gatorade, 100 Plus, Revive, Lucozade dan lain-lain. Secara umumnya, minuman elektrolit berfungsi membantu menambahkan air, elektrolit dan tenaga yang hilang semasa bersenam.

Minuman elektrolit ini selalunya mengandungi sumber karbohidrat untuk meningkatkan bekalan tenaga di dalam badan. Selain itu, elektrolit yang terdapat di dalam minuman ini membantu mengembalikan kembali keseimbangan natrium, kalium, magnesium, dan kalsium. Glukosa pula dapat membekalkan tenaga tambahan yang boleh mengurangkan keletihan dan kelesuan semasa dan selepas bersenam.

Oleh hal yang demikian, minuman elektrolit kebiasaannya dipasarkan sebagai produk yang mampu meningkatkan prestasi sukan dengan mengembalikan semula tahap penghidratan badan, mengembalikan semula elektrolit yang hilang melalui peluh dan meningkatkan semula paras gula di dalam darah semasa dan selepas aktiviti fizikal.

Sumber Tenaga Utama

Mengapakah minuman elektrolit boleh membantu seseorang semasa bersenam? Sebelum kita memilih untuk minum minuman elektrolit, kita perlu memahami perkara yang berlaku semasa senaman.

Terdapat dua sumber tenaga utama semasa bersenam, iaitu lemak dan glukosa. Glukosa juga dirujuk sebagai gula atau karbohidrat.

Jenis sumber tenaga yang digunakan dan jumlah tenaga yang diperlukan adalah bergantung pada tempoh dan intensiti senaman. Kebanyakan orang bersenam pada tahap ringan hingga sederhana. Pada tahap ini, sumber tenaga yang digunakan semasa senaman merupakan campuran antara lemak dengan glukosa.

Lemak ialah sumber tenaga yang membekalkan lebih daripada dua kali ganda jumlah kalori bagi setiap gram berbanding dengan glukosa, iaitu satu gram lemak bersamaan dengan sembilan kalori berbanding dengan satu gram glukosa bersamaan dengan empat kalori.

Purata berat badan seseorang mengandungi antara 20 peratus hingga 40 peratus lemak. Oleh sebab itu, simpanan lemak untuk penghasilan tenaga boleh bertahan lama. Walau bagaimanapun, proses metabolisme lemak lebih perlahan berbanding dengan proses metabolisme glukosa yang lebih cepat.

Semasa seseorang itu melakukan senaman yang berintensiti tinggi, glukosa menjadi sumber tenaga utama. Walau bagaimanapun, simpanan glukosa, terutamanya yang terdapat di hati dan otot adalah terhad.

Simpanan glukosa seseorang mungkin habis selepas 90 minit hingga 120 minit bersenam. Oleh sebab itu, senaman yang berterusan akan menyebabkan badan kehabisan sumber glukosa untuk penghasilan tenaga dan perlu digantikan.

Kebaikan Minuman Elektrolit

1. Menggantikan elektrolit

Kelebihan minuman elektrolit berbanding dengan air biasa ialah kandungan elektrolit itu sendiri. Apabila kita berpeluh, kita cenderung kehilangan elektrolit seperti natrium, kalium, fosfat, kalsium, magnesium dan klorin. Oleh hal yang demikian, apabila kita berpeluh dengan lebih banyak, paras elektrolit di dalam badan berkemungkinan besar akan menurun dan menjadi terlalu rendah.

Keadaan ini berpotensi menyebabkan kekejangan otot, pening dan kekeliruan. Menggantikan cecair yang hilang dengan air kosong semata-mata biasanya tidak banyak membantu kerana air tidak mengandungi elektrolit. Oleh sebab itu, menggantikan elektrolit dengan minuman elektrolit merupakan pilihan yang terbaik.

2. Menggantikan bendalir

Antara kelebihan minuman elektrolit ialah dapat menggantikan cecair yang hilang. Sesetengah orang tidak suka minum air kosong semasa bersenam dan lebih cenderung memilih minuman berperisa seperti minuman elektrolit. Keperluan minuman elektrolit juga bergantung pada intensiti senaman dan jumlah seseorang itu berpeluh.

3. Meningkatkan kandungan glukosa

Kandungan karbohidrat yang terdapat di dalam minuman elektrolit dapat meningkatkan jumlah glukosa di dalam darah, namun masih bergantung pada jenis, intensiti dan tempoh senaman. Secara umumnya, minuman elektrolit tidak disyorkan kepada mereka yang tidak melakukan aktiviti fizikal atau senaman kerana risiko penambahan berat badan dan diabetes.

4. Mudah untuk dibawa

Minuman elektrolit adalah lebih mudah untuk dibawa. Jika seseorang itu sedang mengikuti acara sukan, lebih mudah untuk membawa botol minuman elektrolit yang sedia untuk diminum semasa acara sukan berlangsung atau sejurus selepas acara sukan. Minuman elektrolit juga mudah didapati di kedai, stesen minyak atau secara dalam talian.

Minuman Elektrolit dan Penghidratan

Apabila seseorang itu melakukan senaman dengan intensiti yang tinggi dalam tempoh lebih daripada sejam, keadaan tersebutlah yang boleh dipertimbangkan untuk mengambil minuman elektrolit, terutamanya jika senaman dilakukan di luar rumah pada hari yang panas dan lembap.

Sebagai contohnya, jika seseorang itu berpeluh dalam kuantiti yang banyak, pengambilan minuman elektrolit bukan sahaja menggantikan semula air dan glukosa, malah menggantikan semula elektrolit di dalam badan.

Atlet seperti pelari maraton boleh mempertimbangkan untuk mengambil minuman elektrolit sebagai sumber tenaga yang lebih baik untuk membantu mengekalkan paras gula dan tenaga dalam jangka masa panjang.

Selain itu, jika seseorang itu kehilangan sejumlah besar cecair badan semasa sakit, sama ada disebabkan oleh muntah atau cirit-birit, mengambil minuman elektrolit boleh membantu menambahkan air dan elektrolit yang hilang dengan cepat.

Minuman Elektrolit Tidak Sihat?

Minuman elektrolit dicipta untuk individu yang melakukan aktiviti fizikal atau senaman dengan intensiti yang tinggi dan tempoh yang lama, yakni melebihi 60 minit. Jika seseorang itu bersenam dalam tempoh kurang daripada satu jam, tidak menjadi keperluan untuk individu tersebut mengambil minuman elektrolit kerana pengambilan air kosong adalah mencukupi.

Minuman elektrolit yang terawal dicipta, iaitu Gatorade telah dicipta untuk membantu menambahkan karbohidrat dan elektrolit dalan kalangan atlet yang melakukan senaman berintensiti tinggi di Universiti Florida pada tahun 1965.

Minuman ini tidak dicipta untuk diminum oleh orang awam, namun malangnya, jenama minuman ini telah dipasarkan kepada orang ramai dengan mesej yang berbeza. Hal ini menjadikan kebanyakan orang awam yang mengambil minuman elektrolit tetapi tidak melakukan aktiviti fizikal atau senaman. Hal ini hanya akan menyebabkan penambahan berat badan peminumnya akibat kandungan gula yang tinggi di dalam minuman elektrolit.

Minuman elektrolit atau sebarang minuman manis seperti jus, limau atau soda tidak boleh menggantikan air. Minuman manis ini selalunya menyebabkan pengambilan kalori yang berlebihan dan dengan ketara meningkatkan risiko obesiti dalam kalangan kanak-kanak dan orang dewasa.

Minum terlalu banyak minuman elektrolit bergula juga boleh menyebabkan hakisan enamel gigi. Hal ini dikatakan demikian kerana kebanyakan minuman elektrolit mempunyai skala pH antara tiga hingga empat yang dikaitkan dengan penyahmineralan enamel.

Selain itu, minuman elektrolit juga tidak mengandungi sebarang nutrien seperti serat dan protein yang diperlukan untuk menyokong kesihatan manusia secara keseluruhan.

Sebagai kesimpulannya, air kosong seharusnya menjadi sumber penghidratan utama untuk kanak-kanak dan orang dewasa. Minuman elektrolit pula hanya boleh diambil semasa dan selepas melakukan aktiviti fizikal atau senaman berintensiti tinggi pada waktu yang berpanjangan.

 

Dr. Nursyuhada Mohd Sukri, Ketua Jabatan Sukan Prestasi Tinggi, Akademi Kecergasan Pertahanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.