17 Mei 2023, 17:32

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Yang Berhormat (YB) Datuk Seri Mohamad Sabu mengetuai delegasi Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dalam lawatan kerja ke Rusia bermula pada 15 Mei 2023 hingga 23 Mei 2023 bagi memberikan gambaran dan menyatakan wawasan sektor pertanian dan keterjaminan makanan Malaysia menerusi KazanForum.

KazanForum ialah acara antarabangsa yang dianjurkan oleh Kerajaan Rusia melalui Kerajaan Republik Tatarstan sejak tahun 2009 sebagai platform untuk memperkukuh kerjasama antara Rusia dengan negara Islam.

Pada tahun 2022, Presiden Rusia telah menaik taraf KazanForum sebagai acara tahunan utama peringkat antarabangsa yang dianjurkan oleh Rusia dengan melibatkan anggota negara Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

Ekspo Halal Rusia adalah antara program utama di bawah KazanForum 2023 yang melibatkan pameran dan promosi produk makanan halal di Rusia sekali gus membolehkan Malaysia meneroka potensi dan peluang bagi mempromosikan buah-buahan tropika yang sedia dieksport serta memperkenalkan produk makanan halal bukan sahaja kepada Rusia, malah kepada negara OIC yang turut menyertai KazanForum 2023 tersebut.

Selain menyampaikan ucapan pada sesi meja bulat Malaysia dan Rusia bagi membincangkan wawasan sektor pertanian di Malaysia, YB Datuk Seri Mohamad Sabu juga akan menyampaikan ucaptama pada sesi forum tersebut dengan tema, Teras Ekonomi: Kerjasama antara Rusia dengan Negara OIC.

Beliau juga telah dijadualkan untuk mengadakan mesyuarat dua hala dengan rakan sejawat beliau, iaitu Menteri Pertanian Rusia di Moscow, TYT Dmitry N. Patrushev dan mesyuarat dua hala bersama-sama Menteri Pertanian dan Makanan Republik Tatarstan di Kazan, TYT Marat Zyabbarov bagi membincangkan kerjasama pertanian antara Malaysia dengan Rusia, terutamanya bagi akses pasaran produk pertanian Malaysia ke Rusia.

Turut hadir dalam sesI lawatan kerja tersebut ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) KPKM, pegawai kanan KPKM dan pegawai kanan Jabatan Perkhidmatan Veterinar.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.