16 Mei 2023, 17:58

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Hingga 15 Mei 2023, sebanyak 11 kes rabies termasuklah sembilan kes kematian telah dilaporkan di Sarawak sekali gus menjadikan jumlah kes rabies dalam kalangan manusia di Sarawak adalah sebanyak 66 kes dengan 59 kematian sejak wabak tersebut diisytiharkan pada Julai 2017.

Daripada 11 kes yang dilaporkan pada tahun ini, empat kes masing-masing daripada Sibu dan Serian, dua kes daripada Kuching dan satu kes daripada Bintulu yang melibatkan mangsa berusia dalam lingkungan enam tahun hingga 63 tahun.

“Rabies ialah penyakit sistem saraf yang disebabkan oleh jangkitan virus rabies yang terdapat di dalam air Iiur haiwan yang dijangkiti dan boleh menjangkiti manusia melalui gigitan atau semasa kontak langsung dengan air Iiur haiwan yang dijangkiti, sama ada melalui Iuka ataupun lapisan mukosa badan, termasuklah kesan cakar oleh kucing peliharaan atau kucing liar yang boleh menyebabkan kematian sekiranya jangkitan tersebut merebak ke bahagian otak,” kata Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, YBhg. Datuk Dr. Muhammad Radzi Abu Hassan dalam satu kenyataan.

Berdasarkan kenyataan tersebut juga, sebanyak lapan kes yang dilaporkan pada tahun ini mempunyai sejarah digigit oleh anjing, dua kes lain disebabkan oleh gigitan atau cakaran kucing, manakala satu kes lagi tidak diketahui oleh ahli keluarga sama ada mempunyai sejarah digigit atau dicakar oleh haiwan.

Berikutan masih terdapat haiwan yang positif rabies di Sarawak, orang awam dinasihatkan agar sentiasa mengambil langkah pencegahan bagi mengelakkan diri daripada dijangkiti virus tersebut.

Individu yang digigit, dicakar atau terkena air liur haiwan haruslah mencuci luka dengan segera menggunakan air yang mengalir dan sabun sekurang-kurangnya selama 15 minit dan mendapatkan rawatan di klinik kesihatan atau hospital terdekat.

Selain itu, orang awam juga perlu memastikan menerima vaksin antirabies yang lengkap mengikut janji temu yang diberikan oleh pengamal perubatan serta tidak mengendalikan sebarang haiwan liar, termasuklah anjing dan kucing liar sama ada yang masih hidup ataupun yang telah mati.

Di Sarawak, sebanyak 31 buah fasiliti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah menyediakan perkhidmatan rawatan gigitan haiwan termasuklah pemberian vaksin antirabies, manakala sembilan buah hospital turut memberikan perkhidmatan suntikan imunoglobulin rabies (RIG) kepada kes yang berisiko tinggi.

Fasiliti kesihatan yang menyediakan perkhidmatan rawatan luka gigitan haiwan.

Rakyat Malaysia diminta agar sentiasa mematuhi semua nasihat dan arahan yang dikeluarkan oleh KKM, pihak berkuasa dan agensi berkaitan bagi membantu KKM dan Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak serta Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak dalam usaha mencapai status Sarawak dan Malaysia bebas rabies menjelang tahun 2030.

Kredit gambar: Facebook Kementerian Kesihatan Malaysia.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.