13 Mei 2023, 09:34

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Tindakan kawal selia yang lebih ketat akan dilaksanakan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan campur tangan oleh pihak pengawal selia adalah diperlukan bagi melindungi kepentingan pengguna dan orang awam berikutan terdapat beberapa aplikasi over-the-top (OTT) dan platform media sosial yang dilihat gagal mengawal selia penggunaan platform mereka sejajar dengan kepentingan nasional dan perundangan negara.

Oleh hal yang demikian, MCMC akan mengkaji semula kerangka kawal selia sedia ada ekoran berlakunya peningkatan tahap kandungan yang dieksploitasi oleh penjenayah yang mencuba untuk menggugat keselamatan awam dan keharmonian negara ini.

“Selaku ahli dalam Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC), kami akan bertindak terhadap mereka yang melanggar undang-undang bersama-sama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bank Negara Malaysia dan Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional serta meneruskan usaha dalam memerangi aktiviti penipuan menerusi tindakan tegas terhadap pihak yang terlibat,” kata Pengerusi MCMC, YBhg. Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din dalam satu kenyataan.

MCMC juga tidak akan berkompromi dengan perbuatan menyalahgunakan platform dalam talian dan telekomunikasi, rangkaian ataupun kemudahan dalam talian untuk tujuan penipuan, aktiviti siber yang berniat jahat, memancing data (phishing), kandungan yang menggugat kestabilan dan keharmonian kaum serta penghinaan terhadap institusi Diraja.

Sejak penubuhan NSRC pada Oktober 2022, sebanyak 11 858 aduan yang berkaitan dengan penipuan telah diterima setakat April 2023.

Selain itu, perangkaan yang diperoleh daripada Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) PDRM bagi tempoh antara tahun 2021 hingga April 2023 mendedahkan sejumlah kerugian akibat penipuan dalam talian mencecah hingga RMI.2 bilion, manakala sebanyak 2125 berita palsu dilaporkan kepada MCMC bagi tempoh yang sama.

Keperluan untuk mengenakan dan menguatkuasakan kewajipan terhadap individu yang mengendalikan platform sedemikian dan pihak yang mendapat manfaat daripada digitalisasi untuk mengambil langkah tegas bagi memastikan platform atau rangkaian kendalian mereka tidak digunakan sebagai forum untuk melanggar undang-undang negara ataupun mengancam kepentingan awam adalah sangat penting untuk dilaksanakan.

Susulan itu, pengawal selia dan rakan industri di Singapura, Vietnam dan Indonesia telah bertindak menggubal undang-undang bagi mengawal selia aktiviti penipuan dalam sesetengah platform yang dimaksudkan selain mempertanggungjawabkan platform yang gagal mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh kerajaan.

Kajian semula pendekatan kawal selia untuk melaksanakan tahap pengawasan yang lebih tinggi menerusi instrumen perundangan sedia ada termasuklah kajian semula ke atas pengecualian terhadap sesetengah aktiviti selain mengenakan sekatan jenayah dan arahan punitif terhadap entiti yang enggan mengambil langkah segera bagi memastikan aktiviti jenayah yang berlaku dalam rangkaian atau platform mereka dihentikan.

Tindakan tegas dan proaktif daripada MCMC adalah penting bagi memastikan masyarakat dilindungi dan mempunyai suatu persekitaran yang selamat dalam alam digital sekali gus dapat memperkasakan perlindungan kepada pengguna terhadap kemudaratan dalam talian.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.