Oleh Firdaus Mul
12 Mei 2023, 12:51

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Sistem kesihatan negara yang dibebani dengan pelbagai isu selepas kemelut pandemik COVID-19 telah mendorong negara melakukan reformasi dan penambahbaikan sistem kesihatan secara lebih menyeluruh dan berstruktur agar kesihatan rakyat terus terjaga melalui Kertas Putih Kesihatan yang sedang dibangunkan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat (YB) Dr. Zaliha Mustafa.

Kertas Putih Kesihatan ialah dokumen pelan reformasi kesihatan yang menggariskan cabaran utama yang dihadapi oleh sistem kesihatan dan cadangan penyelesaian bagi memastikan kesihatan yang lebih berkualiti, mampan dan berdaya tahan serta dapat menempuhi pelbagai cabaran yang sedia ada dan akan datang.

“Kertas Putih Kesihatan yang sedang dibangunkan merupakan satu hala tuju untuk membentuk sistem kesihatan yang lebih adil dan saksama, berkualiti tinggi, mudah dicapai, melibatkan kos yang berpatutan serta mampan untuk jangka masa yang panjang,” kata Penasihat Khas kepada YB Menteri Kesihatan, YB Dr. Kelvin Yii Lee Wuen ketika ditemu bual secara langsung dalam program Jendela Fikir anjuran Bernama Radio.

Penasihat Khas kepada YB Menteri Kesihatan, YB Dr. Kelvin Yii Lee Wuen (kanan) ketika ditemu bual secara langsung dalam program Jendela Fikir anjuran Bernama Radio.

Menurut beliau, pembangunan Kertas Putih Kesihatan tersebut adalah untuk berkongsikan maklumat tentang reformasi kesihatan negara, menguar-uarkan usaha dalam menjadikan sistem kesihatan lebih mampan dan mampu memberikan perkhidmatan yang melangkaui semua peringkat kehidupan rakyat.

Dokumen berkenaan juga mencadangkan tonggak utama reformasi kesihatan seperti penyampaian kesihatan, pembiayaan kesihatan dan pengukuhan teras sistem kesihatan dan tadbir urus untuk jangka masa 15 tahun serta mencadangkan penubuhan Suruhanjaya Reformasi Kesihatan yang bebas dan berkecuali untuk memantau dan memastikan segala reformasi kesihatan adalah efektif dalam jangka masa panjang.

Beliau turut menjelaskan bahawa Kertas Putih Kesihatan bukanlah sesuatu yang baharu kerana telah dibangunkan dalamjangka masa yang agak panjang dan berasaskan input yang diperoleh secara inklusif daripada semua pihak yang berkepentingan, sama ada golongan dalaman ataupun di luar Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Tambah beliau lagi, KKM juga telah terlibat dalam sesi libat urus yang telah dan masih dilaksanakan, yakni bukan sahaja menjalankan sesi town hall, malah pihak luar yang berkepentingan juga boleh memberikan cadangan secara dalam talian.

Baru-baru ini, YB Dr. Zaliha Mustafa telah melancarkan sebuah laman web yang membolehkan orang ramai mengaksesnya untuk mengemukakan pelbagai cadangan yang bersesuaian.

KKM juga mendapat nasihat kepakaran dan maklumat teknikal daripada Majlis Penasihat Kertas Putih Kesihatan dan barisan pakar perunding daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia.

Beliau turut menegaskan bahawa sokongan daripada semua pihak amat penting dalam menjayakan agenda reformasi kesihatan serta membolehkan Kertas Putih Kesihatan tersebut dapat dibentangkan dan diterima pakai di Parlimen seperti yang diharapkan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.