10 Mei 2023, 17:56

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

PutrajayaGaris Panduan Mencegah dan Menangani Kekerasan terhadap Warga Kerja Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di Fasiliti Kesihatan Edisi Kedua telah dilancarkan bersempena dengan Sambutan Hari Sedunia bagi Keselamatan dan Kesihatan di Tempat Kerja 2023 Peringkat Kebangsaan, hari ini.

Sambutan tersebut bertujuan meningkatkan kesedaran antarabangsa tentang keselamatan dan kesihatan dalam kalangan pekerja dan majikan menerusi penerapan budaya kerja selamat dan sihat, memupuk tanggungjawab setiap individu untuk mencegah kemalangan, penyebaran penyakit ataupun kematian pekerja di tempat kerja serta bagi mencapai sasaran Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 8.8, iaitu persekitaran kerja yang selamat dan terjamin bagi semua pekerja menjelang tahun 2030.

“Kekerasan dalam apa-apa jua bentuk, sama ada serangan fizikal, verbal, seksual ataupun bertulis adalah antara kekerasan di tempat kerja yang dikenal pasti sebagai satu daripada cabaran utama kepada warga KKM yang boleh mengganggu produktiviti kerja mereka,” kata Ketua Pengarah Kesihatan, YBhg. Datuk Dr. Muhammad Radzi Abu Hassan dalam satu kenyataan.

Ketika pasca pelancaran garis panduan ini (edisi pertama) pada tahun 2017, sebanyak 167 kes kekerasan telah dilaporkan, sebanyak 442 kes pada tahun 2018 dan terus meningkat pada tahun 2019, iaitu sebanyak 494 kes.

Pada tahun 2020 pula, sebanyak 321 kes telah dilaporkan, manakala pada tahun 2021, sebanyak 260 kes diadukan semasa fasa pandemik COVID-19.

Kekerasan tersebut memberikan kesan negatif terhadap kualiti penjagaan perubatan dan menyebabkan kerugian dari aspek perbelanjaan dalam sektor kesihatan, sekali gus menjejaskan keselamatan, kesihatan psikologi dan fizikal serta prestasi kerja warga KKM.

Dengan adanya garis panduan berkenaan, kekerasan terhadap warga KKM dapat ditangani dengan lebih berkesan dan keselamatan serta kesejahteraan di tempat kerja terus terpelihara.

Garis panduan tersebut juga menunjukkan komitmen yang diberikan oleh pihak pengurusan KKM dalam menjaga kebajikan dan kesejahteraan warga kerja KKM bagi memastikan mutu penyampaian perkhidmatan yang berkualiti dan terbaik dapat disampaikan kepada pelanggan sekiranya gangguan seumpama ini terhadap warga KKM dapat dikurangkan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.