Oleh Rashid Ating
10 Mei 2023, 17:43

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Semenjak lima tahun kebelakangan ini, dunia telah berubah dengan pantas. Pengenalan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), mata wang kripto, kereta elektrik, token tidak sepiawai (NFT), rancangan penjelajahan koloni manusia ke Marikh oleh Elon Musk, pengenalan ChatGPT dan lain-lain telah membawa manusia semakin maju kehadapan. Perubahan ini meliputi pelbagai aspek dan bidang penyelidikan serta pembangunan juga tidak terkecuali menerima kesan daripada limpahan kemajuan teknologi ini.

ResearchConnect ialah perisian yang berbentuk pangkalan data untuk mencari pembiayaan dana penyelidikan yang dibina dan direka oleh komuniti penyelidikan antarabangsa. Perisian ini banyak digunakan di negara Eropah seperti United Kingdom (UK), Perancis, German, Poland, India dan Amerika Syarikat. Syarikat ini berpangkalan di UK dan telah bermula sejak tahun 2000.

Laman web ResearchConnect yang menyediakan data pelbagai sumber pembiayaan penyelidikan. 

ResearchConnect diwujudkan untuk membekalkan para penyelidik dengan maklumat yang berkaitan dengan geran, tajaan, hadiah latihan persekutuan dan lain-lain yang mencari sokongan dana untuk menjalankan kajian mereka. Selain itu, ResearchConnect membekalkan pangkalan data terkini yang merangkumi pelbagai disiplin penyelidikan dan dikemas kini oleh pasukan pakar yang memantau dan melaporkan pelbagai sumber pembiayaan termasuk amanah amal, kerajaan, majlis penyelidikan, yayasan dan penaja korporat.

ResearchConnect menawarkan beberapa ciri seperti pangkalan data yang luas yang meliputi sumber dana penyelidikan, sama ada di dalam negara dan luar negara. Penyelidik boleh mencari dana penyelidikan yang sesuai mengikut bidang mereka masing-masing.

Kedua, ResearchConnect mempunyai carian intuitif yang dijana oleh AI. Fungsi ini membolehkan carian disesuaikan mengikut kehendak pemohon seperti jenis dan disiplin penyelidikan serta lokasi. Fungsi carian ini lebih kurang sama seperti yang terdapat di sisi kiri pangkalan data Scopus dan Web of Science (WoS) yang membolehkan pengguna untuk membuat tapisan mengikut kehendak mereka.

Ketiga, fungsi sinopsis yang sedia ada memberikan maklumat mengenai sesuatu program, kriteria kelayakan dan pautan kepada cara memohon. ResearchConnect juga mempunyai fungsi kemas kini dan makluman kepada tarikh akhir yang akan datang dan fungsi panggilan pembiayaan baharu. Kemudahan ini akan membantu penyelidik untuk menerima sebarang maklumat yang baharu dan mengurangkan risiko ketinggalan atau terlupa untuk memohon.

Di samping itu, ResearchConnect mempunyai kemudahan untuk perkongsian, iaitu sebarang geran atau maklumat yang ditemukan boleh dikongsikan, sama ada melalui hantaran e-mel dan dikongsikan bersama-sama ahli kumpulan dan organisasi yang disimpan dalam format dokumen mudah alih (PDF).

ResearchConnect juga mempunyai pengurus akaun yang ditugaskan. Jika pengguna mempunyai sebarang masalah sewaktu menggunakan ResearchConnect, mereka boleh terus menghubungi pegawai yang berkenaan di India (lokasi pejabat bagi wilayah Asia). Jika masalah tersebut tidak dapat diselesaikan, isu tersebut akan dipanjangkan ke ibu pejabat ResearchConnect di UK.

Buat masa ini, di sekitar Asia, ResearchConnect hanya diperkenalkan di Malaysia dan India. Di India, penggunaan ResearchConnect masih baharu, iaitu sekitar lima bulan hingga enam bulan yang lepas. Sementara itu, ResearchConnect baru memasuki pasaran Malaysia sejak tiga bulan yang lepas.

Setakat ni, hanya Universiti Malaya yang baru menggunakan perisian web ResearchConnect. Dengan menggunakan kemudahan ini, masa penyelidik untuk mencari dana penyelidikan dapat dipendekkan kerana semua maklumat mengenainya boleh ditemukan dalam satu sumber.

Kelebihan ini akan menjadikan kecekapan kerja penyelidik bertambah, penyelidik dapat merancang dan merangka strategi masing-masing tentang geran yang diingin dapatkan dan meningkatkan kebarangkalian mereka mendapatkan geran tersebut berbanding dengan mencari di beberapa laman web yang berbeza.

 

Rashid Ating, Penyelidik, Institut Penyelidikan Termaju, Jabatan Ekonomi dan Statistik Gunaan, Fakulti Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Malaya.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.