10 Mei 2023, 15:11

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Pengurusan berat badan adalah penting untuk kesihatan dan menjamin kualiti hidup yang lebih baik. Namun begitu, untuk mengekalkan berat badan yang sihat dan ideal boleh menjadi cabaran kepada sesiapa sahaja termasuklah pengguna kerusi roda yang mengalami kecederaan saraf tunjang. Hal ini terjadi terutamanya semasa musim perayaan yang melibatkan makanan yang banyak dan menyelerakan.

Terdapat beberapa petua dan panduan yang boleh membantu dalam pengurusan berat badan semasa musim perayaan bagi pengguna kerusi roda yang mengalami kecederaan saraf tunjang. Antaranya termasuklah:

  1. Tidak mengabaikan rutin pemakanan

Pengguna kerusi roda yang mengalami kecederaan saraf tunjang disarankan untuk tidak mengabaikan rutin pemakanan harian walaupun semasa musim perayaan. Sentiasa pastikan anda makan secara berkala dan teratur.

Pengambilan kalori harian yang disyorkan untuk pengguna kerusi roda yang tercedera saraf tunjang bergantung pada beberapa faktor seperti jantina, umur, berat badan, tahap aktiviti fizikal dan keperluan kalori individu.

Walau bagaimanapun, terdapat anggaran purata kalori yang boleh dirujuk berdasarkan Piramid Makanan Malaysia 2020. Untuk kumpulan sasaran yang berumur antara 18 tahun hingga 59 tahun, saranan kalori adalah antara 1500 kilokalori hingga 2000 kilokalori untuk pengambilan harian.

Individu yang tercedera saraf tunjang dan menggunakan kerusi roda biasanya mempunyai tahap aktiviti fizikal yang rendah atau sedentari. Maka, keperluan kalori harian adalah lebih rendah daripada individu yang mempunyai tahap aktiviti yang tinggi dan aktif.

Anda boleh melayari laman web Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) atau menggunakan aplikasi MyFitnessPal untuk mengetahui jumlah kalori makanan di Malaysia.

  1. Kurangkan pengambilan gula dan makanan berlemak

Sekiranya makanan yang disediakan semasa perayaan mengandungi gula dan lemak berlebihan, cuba kurangkan pengambilan saiz atau bahagian makanan tersebut. Sebaik-baiknya, perbanyakkan pengambilan buah-buahan, sayuran dan sumber protein yang rendah lemak dan rendah gula dalam diet anda.

Gula menggemukkan kerana mengandungi kalori. Kalori ialah unit pengukuran yang digunakan untuk mengukur jumlah tenaga yang terdapat di dalam makanan atau minuman. Setiap kali kita mengambil makanan atau minuman yang mengandungi gula, kita juga mengambil kalori.

Apabila kita mengambil lebih banyak kalori daripada yang digunakan atau diperlukan, lebihan kalori tersebut akan disimpan sebagai lemak di dalam badan. Jika kita mengambil terlalu banyak kalori pula, badan akan menyimpan lebih banyak lemak dan hal ini akan menyebabkan berat badan meningkat.

  1. Pilih saiz hidangan dan jenis makanan yang sihat

Cuba untuk memilih saiz hidangan yang sesuai dengan keperluan anda dan jangan terlalu banyak memilih makanan yang tinggi kalori. Sentiasa pastikan pemakanan anda seimbang dan mencukupi dengan Pinggan Sihat Malaysia yang menekankan konsep suku suku separuh. Ini membantu menjaga berat badan yang sihat dan juga kesihatan anda.

Anda boleh mendapatkan panduan pemakanan sihat sempena hari raya Aidilfitri di sini. Terdapat juga panduan dan resipi penyediaan makanan yang sihat jika anda ingin menganjurkan rumah terbuka. Anda boleh mendapatkan panduan tersebut di sini.

  1. Bergerak aktif

Jangan terlalu lama duduk di kerusi roda tanpa bergerak. Cuba untuk bergerak aktif sebanyak mungkin dengan melakukan senaman atau aktiviti fizikal selama beberapa minit setiap hari.

Ginis et al. (2017) telah mencadangkan bahawa senaman aerobik perlu dilakukan sekurang-kurangnya selam 20 minit bagi setiap sesi sebanyak dua kali seminggu. Senaman aerobik ini adalah seperti mengayuh kerusi roda, senaman tinju dengan menggunakan beg tumbuk atau melakukan senaman basikal tangan. Senaman perlu dilakukan dengan intensiti sederhana sehingga tinggi ataupun sehingga berasa sedikit mengah tetapi masih mampu untuk bercakap.

  1. Minum air yang mencukupi

Sentiasa pastikan anda minum air yang mencukupi. Tindakan ini membantu untuk mengelakkan anda daripada terlalu makan dengan banyak di samping mengekalkan badan yang sihat.

Minum air yang mencukupi pada setiap hari adalah satu daripada cara yang boleh membantu mengawal berat badan. Hal ini dikatakan demikian kerana air dapat membantu membuang toksin, memelihara fungsi badan yang baik serta memberikan rasa kenyang yang dapat membantu mengurangkan pengambilan makanan yang berlebihan.

Air juga dapat membantu meningkatkan kadar metabolisme tubuh. Apabila kita minum air yang cukup, badan kita dapat menghasilkan lebih banyak tenaga yang membantu membakar kalori dan lemak dalam badan.

Walau bagaimanapun, pesakit saraf tunjang perlu mengikut jumlah pengambilan air yang disyorkan kerana setiap pesakit mempunyai kaedah mengawal dan pembuangan air kencing yang tersendiri.

Semoga panduan ini membantu anda dalam menjaga berat badan yang sihat semasa musim perayaan. Perlu diingatkan bahawa pengurusan berat badan adalah penting untuk kesihatan umum dan kualiti hidup yang lebih baik.

Sila layari portal rasmi KKM melalui pautan ini untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai panduan pemakanan di Malaysia.

 

Dr. Noor Hafifi Noor Hisham, Pusat Kajian Rehabilitasi dan Keperluan Khas, Fakulti Sains Kesihatan (Fisioterapi), Universiti Kebangsaan Malaysia.

Profesor Madya Dr. Norazmir Md. Nor, Institut Farmakogenomiks Integratif (iPROMISE) dan Fakulti Sains Kesihatan (Pemakanan), Universiti Teknologi MARA.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.