10 Mei 2023, 15:15

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kangar – Raja Puan Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan berangkat mengadakan lawatan ke Jabatan Obstetrik dan Ginekologi (O&G), Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar bersempena dengan Program Ziarah Rahmah Kepenggunaan anjuran Jabatan Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Negeri Perlis dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri Perlis.

Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Yang Berhormat (YB) Senator Puan Hajah Fuziah Salleh dan Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Negeri Perlis, Puan Norazah Jaafar.

Sekitar lawatan DYTM Raja Puan Muda Perlis di HTF dalam Program Ziarah Rahmah Kepenggunaan anjuran Jabatan Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Negeri Perlis dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri Perlis.

“Jabatan O&G di HTF memberikan perkhidmatan kepakaran dalam merawat ibu hamil dengan pelbagai masalah dan rawatan untuk wanita yang mempunyai masalah ginekologi,” ujar Ketua Jabatan O&G, HTF, Puan Noor Aini Harun semasa sesi lawatan DYTM Raja Puan Muda Perlis ke HTF.

Menurut beliau, Jabatan O&G di hospital berkenaan yang diterajui oleh tujuh orang pakar, 21 orang pegawai terlatih, dua orang penyelia jururawat, 11 orang ketua jururawat, 86 orang jururawat terlatih, dua orang penolong pegawai perubatan, 32 orang pembantu perawatan kesihatan dan dua orang pembantu tadbir bermatlamat untuk memberikan perkhidmatan yang cemerlang dan berkualiti kepada pesakit.

Dalam sesi lawatan tersebut, DYTM Raja Puan Muda Perlis turut berkenan beramah mesra dan mengurniakan cenderamata kepada ibu hamil yang berada di wad bersalin, HTF.

Pemberian cenderamata oleh DYTM Raja Puan Muda Perlis kepada pesakit di wad bersalin, HTF.

“Warga kerja di HTF seharusnya menjalankan tugas masing-masing dengan penuh berdedikasi dan bertanggungjawab,” titah baginda semasa sesi lawatan berkenaan.

Warga kerja HTF bergambar bersama-sama DYTM Raja Puan Muda Perlis sebagai tanda kenang-kenangan.

Turut hadir dalam program tersebut ialah Ahli Dewan Undangan Negeri Indera Kayangan, YB Gan Ay Ling, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Perlis, YBrs. Dr. Ismuni Johari dan Pengarah Hospital Tuanku Fauziah, YBrs. Dr. Nordin Mohamed.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.