Oleh Normah Awang
10 Mei 2023, 10:05

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Bangi – Sebanyak 32 pelajar Tahun 3, Program Kesihatan Persekitaran dan Keselamatan Industri, Fakulti Sains Kesihatan (FSK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Kampus Kuala Lumpur telah mengadakan program lawatan sambil belajar ke Makmal Analisis Higen Industri, Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kebangsaan (NIOSH), semalam untuk memberikan pendedahan terhadap peralatan atau instrumen untuk menganalisis sampel, khususnya dalam bidang amalan kesihatan industri (industrial hygiene).

Menurut penyelaras kursus amalan kesihatan industri dan wakil program dalam kerjasama dengan pihak NIOSH, Profesor Madya ChM. Dr. Normah Awang, antara kerjasama yang dilakukan antara kedua-dua pihak termasuklah dalam bidang penyelidikan, pengajaran, pembelajaran dan perkembangan ilmu.

Taklimat lawatan sedang disampaikan oleh wakil daripada pihak NIOSH, iaitu Encik Mohd Norhafsham Maghpor.

Dalam lawatan ini, wakil daripada pihak NIOSH, iaitu Encik Mohd Norhafsham Maghpor telah memberikan taklimat mengenai peralatan atau instrumen yang terdapat di makmal amalan kesihatan industri, perkhidmatan analisis yang ditawarkan oleh makmal, jenis sampel dan kadar bayaran yang dikenakan kepada pelanggan untuk setiap sampel untuk dianalisis.

“Terdapat juga beberapa makmal amalan kesihatan industri yang terlbat untuk melakukan penilaian atau ujian terhadap beberapa peralatan perlindungan diri (PPE) seperti respirator dan topeng muka, sama ada memenuhi spesifikasi yang telah ditetapkan,” jelasnya lagi.

Antara peralatan yang digunakan untuk analisis sampel dalam bidang amalan kesihatan industri.

Encik Norhafsham juga memaklumkan bahawa makmal analisis amalan kesihatan industri NIOSH telah diperakui memenuhi keperluan ISO/IEC 17025 oleh Jabatan Standard Malaysia.

Skop akreditasi termasuklah dalam bidang ujian kimia dan mikrobiologi. Makmal analisis ini telah menyediakan perkhidmatan makmal berkualiti tinggi dalam bidang amalan kesihatan industri dan mengikut keperluan di bawah Peraturan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Penggunaan dan Standard Pendedahan kepada Bahan Kimia Berbahaya kepada Kesihatan) 2000 atau USECHH 2000 dan Kod Amalan Kualiti Udara Dalaman 2005.

Menurutnya lagi, sampel yang diterima untuk dianalisis di makmal ini ialah sampel persekitaran tempat kerja yang akan dianalisis oleh Juruteknik Higen 1 (IHT1) seperti yang dikehendaki di bawah Bahagian VIII USECHH 2000 (Pemantauan Pendedahan di Tempat Kerja), sampel biokimia seperti air kencing dan darah yang akan dianalisis oleh Doktor Kesihatan Perkerjaan (OHD) mengikut keperluan di bawah Bahagian IX USECHH 2000 (Pemantauan Kesihatan) dan sampel mikrobiologi yang akan dianalisis oleh penilai kualiti udara dalaman sebagai pelengkap kepada Kod Amalan Kualiti Udara Dalaman 2005.

Encik Nor Mohd Razif sedang memberikan penjelasan tentang cara melakukan penilaian terhadap sistem ventilator di makmal simulasi ventilator.

Lawatan yang diiringi oleh pensyarah, pegawai kesihatan persekitaran dan penolong pegawai kesihatan persekitaran ini turut berpeluang melawat makmal simulasi ventilator.

Penyampaian sijil penghargaan daripada pihak UKM kepada pihak NIOSH yang disampaikan oleh Profesor Madya ChM. Dr. Normah Awang.

Sebelum lawatan berakhir, pihak UKM telah menyampaikan sijil penghargaan kepada pihak NIOSH sebagai tanda penghargaan atas persetujuan menerima lawatan tersebut.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.