9 Mei 2023, 22:22

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Kapasiti penjanaan tenaga boleh diperbaharui (TBB) dalam sistem pembekalan elektrik akan ditingkatkan kepada 70 peratus menjelang tahun 2050 menerusi hala tuju pembangunan TBB.

Menteri Ekonomi, Yang Berhormat (YB) Rafizi Ramli menyatakan bahawa sasaran tersebut adalah untuk mewujudkan peluang ekonomi baharu kepada negara serta menarik syarikat multinasional, khususnya syarikat Renewable Energy 100 (RE100) untuk beroperasi di negara ini.

“Mesyuarat jemaah menteri pada 3 Mei 2023 yang lalu telah bersetuju untuk meningkatkan kapasiti TBB kepada 70 peratus menjelang tahun 2050 di bawah Hala Tuju Pembangunan Strategik TBB selepas meneliti memorandum mengenai Hala Tuju Pembangunan dan Dasar Perdagangan TBB yang dibentangkan,” kata beliau dalam sidang media bersama-sama Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, YB Tuan Nik Nazmi Nik Ahmad.

Tambah beliau, kabinet juga bersetuju akan pelaksanaan pembangunan TBB diperluas berdasarkan prinsip kehendak pembeli dan penjual bagi menggalakkan pembabitan syarikat korporat.

Pemasangan sistem suria di bangunan kerajaan juga akan dipercepat dan dipertingkat menerusi peruntukan pembangunan bagi memberikan manfaat terus dari segi penjimatan bil elektrik kepada kementerian dan agensi kerajaan dengan peruntukan segera sebanyak RM50 juta.

Susulan itu, beliau turut menyatakan bahawa peningkatan kapasiti TBB itu akan membolehkan lebihan kapasiti yang dijana didagangkan merentas sempadan dengan negara jiran di rantau ini menerusi mekanisme yang akan dibangunkan dan ditetapkan kerajaan melalui sistem pasaran tenaga elektrik rentas sempadan di bawah Dasar Perdagangan TBB dan seterusnya akan meletakkan Malaysia sebagai pusat TBB serantau.

Penetapan sasaran baharu kapasiti TBB dan campuran tenaga yang meningkatkan peralihan kepada TBB sebanyak 11 kali ganda dari tahun 2023 ke tahun 2050 akan meredakan kos elektrik rakyat dalam tempoh jangka masa panjang apabila penjanaan tenaga elektrik beralih kepada TBB.

Katanya lagi, usaha untuk meningkatkan kapasiti TBB dijangkakan memerlukan pelaburan baharu yang dianggarkan sebanyak RM637 bilion hingga tahun 2050 yang merangkumi pelaburan dalam sumber penjanaan TBB, pengukuhan infrastruktur grid termasuklah sambung tara, integrasi sistem penstoran tenaga dan kos operasi sistem rangkaian grid.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.