7 Mei 2023, 22:27

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Gelang Patah – Operasi Khidmat Masyarakat Optometri (OPKOM) yang merupakan program tahunan Persatuan Mahasiswa Optometri Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah diadakan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan penjagaan mata dan membolehkan mahasiswa mengaplikasikan amalan nilai kemasyarakatan dan pengetahuan klinikal kepada penduduk kampung.

OPKOM yang dianjurkan dengan kerjasama Ahli Dewan Undangan Negeri Kota Iskandar, Yang Berhormat Datuk Haji Pandak Ahmad dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Sungai Melayu serta dijayakan oleh 67 orang mahasiswa Program Optometri dan Sains Penglihatan di bawah seliaan 15 orang pensyarah, penyelia klinikal dan kakitangan Program Optometri dan Sains Penglihatan, Fakulti Sains Kesihatan (FSK), UKM telah mendapat sambutan yang baik dalam kalangan penduduk kampung.

“Program ini merupakaninisiatif yang baik kerana bukan sahaja mampu memeriksa tahap kesihatan mata penduduk kampung, malah dapat memperbetulkan salah faham dan mitos mengenai kesihatan mata,” kata Datuk Bandar Majlis Bandaraya Iskandar Puteri, Yang Berhormat Dato’ Haji Mohd Haffiz Haji Ahmad ketika merasmikan program OPKOM tersebut.

Program OPKOM dirasmikan oleh Datuk Bandar Majlis Bandaraya Iskandar Puteri, Yang Berhormat Dato’ Haji Mohd Haffiz Haji Ahmad.

Pada masa yang sama, Naib Canselor UKM, YBhg. Profesor Dato’ Gs. Ts. Dr. Mohd Ekhwan Haji Toriman turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pemimpin setempat yang telah memberikan ruang dan peluang kepada mahasiswa UKM untuk menyumbang kebitaraan mereka dalam bidang kesihatan kepada pihak yang memerlukan.

Pelbagai acara diadakan dalam program tersebut, misalnya pameran pemeriksaan mata percuma, pameran klinikal, penganjuran aktiviti bersama-sama murid Sekolah Kebangsaan Kampung Sungai Melayu dan pemberian 200 pasang cermin mata percuma kepada individu yang layak.

Pemeriksaan mata oleh pelajar Program Optometri dan Sains Penglihatan, FSK, UKM.

Lions Group International dengan kerjasama Universiti Konan, Kobe, Jepun yang diwakili oleh pensyarahnya, Shari Yamamoto juga menyumbang 98 pasang cermin mata kitar semula dalam program berkenaan.

Pemberian cermin mata percuma kepada penduduk Kampung Sungai Melayu, Johor Bahru yang memerlukan.

Program tersebut turut melibatkan rakan kolaborasi strategi seperti Hoya Vision Care (HOYA) sebagai penaja utama, Hanizah Optometry, Prisma Optometrist, Ar Rayyan Optometry dan Millennium Vision.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.