Oleh Wong Shuen Nie
6 Mei 2023, 12:34

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Jerawat terjadi akibat liang roma pada kulit tersumbat, sama ada dengan sel kulit mati atau minyak (sebum) yang dihasilkan secara berlebihan oleh kelenjar minyak. Pembiakan bakteria pada liang roma yang tersumbat akan mengakibatkan keradangan dan pembentukan jerawat. Antara faktor penyebab jerawat termasuklah perubahan hormon badan, tekanan perasaan serta penggunaan produk kulit atau kosmetik yang tidak sesuai.

Ubat-ubatan yang lazim digunakan untuk merawat jerawat termasuklah benzoil peroksida, asid salisilik, antibiotik dan isotretinoin. Benzoil peroksida bertindak dengan merencatkan pertumbuhan bakteria dan mengurangkan keradangan kulit muka.

Sediaan topikal asid salisilik pula membantu mengurangkan sumbatan liang roma, manakala ubat ubat antibiotik, sama ada sediaan oral atau topikal dapat menghalang pembentukan koloni bakteria. Sebelum memulakan pesakit dengan rawatan, doktor akan menilai keadaan jerawat yang dialami dan memberikan pilihan rawatan yang bersesuaian.

Ubat Isotretinoin

Ubat isotretinoin adalah antara ubat yang lazim diberikan kepasa pesakit, terutamanya mereka yang mengalami jerawat batu (nodules) dan sista (cysts). Isotretinoin yang merupakan derivatif vitamin A berkesan merawat jerawat dengan mengurangkan penghasilan sebum di permukaan kulit bagi mengelakkan liang roma tersumbat. Selain itu, isotretinoin juga mengurangkan penghasilan keratin yang menyebabkan permukaan kulit menjadi kasar.

Dos isotretinoin bergantung pada berat badan pesakit. Dos permulaan yang diberikan ialah sekitar 0.5 miligram per kilogram(mg/kg) sehari dan dos boleh dinaikkan secara berkala hingga satu mg/kg sehari. Sebagai contohnya, jika berat pesakit ialah 60 kilogram, kebiasaannya dos rawatan yang diberikan adalah antara 30 miligram hingga 60 miligram sehari.

Pesakit dinasihatkan agar mengambil ubat isotretinoin dengan makanan yang tinggi kandungan lemak bagi membantu meningkatkan penyerapan ubat ini. Pesakit juga perlu melengkapkan tempoh rawatan selama 16 minggu hingga 24 minggu untuk mendapatkan kesan yang optimum. Kesan ubat ini juga dapat dilihat seawal lapan minggu selepas rawatan dimulakan.

Namun begitu, penggunaan isotretinoin boleh memberikan kesan sampingan yang tidak diingini seperti kekeringan kulit pada mata dan bibir, jangkitan mata (konjunktivitis), kulit terlalu sensitif terhadap cahaya matahari, perubahan emosi, sakit otot dan sendi.

Ubat Kategori Teratogenik

Isotretinoin dikategorikan sebagai ubat teratogenik. Penggunaan ubat ini oleh wanita hamil boleh menyebabkan kecacatan atau keguguran janin. Oleh sebab itu, pesakit wanita yang berpotensi untuk mengandung perlu diberikan kaunseling supaya mereka jelas akan risiko kesan sampingan ubat ini.

Sehubungan dengan itu, bagi mengurangkan peluang untuk hamil, pesakit disarankan menggunakan kaedah kontraseptif sebulan sebelum memulakan rawatan isotretinoin, sepanjang tempoh pengambilan ubat tersebut dan sekurang-kurangnya sebulan selepas rawatan tamat.

Selain itu, bagi memastikan ubat ini digunakan secara terkawal, ubat ini hanya boleh dipreskripsikan kepada pesakit oleh pakar kulit. Pesakit juga perlu menjalani ujian darah dan dipantau secara berkala bagi memastikan rawatan dengan ubat isotretinoin adalah sesuai dan selamat untuk diteruskan.

Pembelian Ubat Jerawat secara Dalam Talian

Terdapat produk tidak berdaftar yang mengandungi ubat isotretinoin dan dijual secara berleluasa melalui platform media sosial oleh individu yang tidak bertanggungjawab.

Bahkan, produk ini dipromosi sebagai ubat terbaik untuk merawat jerawat melalui testimoni atau iklan tidak sah yang dipaparkan oleh penjual produk kulit. Pada kebiasaannya, iklan seperti ini tidak memperoleh kelulusan daripada pihak berkuasa, iaitu Lembaga Iklan Ubat.

Oleh sebab itu, orang ramai disarankan supaya lebih berwaspada dan mengelakkan diri daripada membeli ubat jerawat secara dalam talian. Bagi menyelesaikan masalah jerawat, orang ramai digesa supaya mendapatkan nasihat daripada doktor atau ahli farmasi untuk rawatan yang lebih berkesan dan selamat.

Sekiranya terdapat pertanyaan lanjut tentang penggunaan ubat-ubatan, pesakit atau orang awam boleh menghubungi Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (NPCC) melalui talian 1800-88-6722. Talian dibuka pada setiap Isnin hingga Jumaat, bermula pukul 8.00 pagi hingga 5.00 petang (kecuali pada cuti umum).

 

Rencana ini disediakan oleh Wong Shuen Nie, Pegawai Farmasi UF48, Hospital Port Dickson dan disemak oleh Dr. Preamala a/p Gunabalasingam, Ketua Jabatan dan Pakar Perunding Dermatologi, Hospital Tuanku Jaafar Seremban.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.