5 Mei 2023, 17:10

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Rakyat Malaysia berpeluang untuk melihat fenomena gerhana bulan penumbra malam ini setelah dapat menyaksikan fenomena gerhana matahari separa pada 20 April 2023 yang lalu.

Menurut Agensi Angkasa Malaysia (MYSA), fenomena itu akan berlaku 5.5 hari sebelum bulan berada pada kedudukan yang paling dekat dengan bumi, iaitu pada jarak 404 923 kilometer.

“Gerhana bulan penumbra melibatkan tempoh selama 258.3 minit dan fenomena tersebut dapat dilihat secara keseluruhan di Afrika, Australia dan Asia termasuklah di Malaysia,” menurut MYSA dalam satu kenyataan.

Berdasarkan kenyataan berkenaan juga, permulaan fasa gerhana penumbra di negara ini akan berlaku mulai pukul 11.14 malam pada 5 Mei 2023, manakala fasa gerhana maksimum, iaitu 96.55 peratus daripada bulan yang akan melintasi bayang-bayang penumbra bumi pula akan berlaku pada pukul 1.24 pagi pada keesokan harinya dan berakhir pada pukul 3.33 pagi apabila bulan keluar sepenuhnya daripada bayang-bayang penumbra bumi.

Fasa gerhana bulan penumbra yang akan berlaku mulai malam ini.

Rakyat Malaysia berpeluang untuk menyaksikan keseluruhan fenomena tersebut di mana-mana sahaja kerana bulan berada di atas ufuk ketika fenomena itu berlaku, namun bergantung pada cuaca semasa.

Walau bagaimanapun, kenampakan gerhana bulan penumbra adalah amat sukar jika dilihat dengan menggunakan mata kasar kerana bayang-bayang penumbra bumi adalah lebih samar jika dibandingkan dengan bayang-bayang umbra bumi yang lebih gelap sekali gus menyebabkan gerhana bulan penumbra kelihatan hanya sedikit lebih gelap dan hampir sama dengan bulan penuh biasa.

Peluang untuk melihat kesan gerhana penumbra mungkin menjadi lebih baik jika rakyat melihat fenomena tersebut dengan menggunakan peralatan bantuan seperti binokular, teleskop dan kamera serta membuat perbandingan kecerahan bulan sebelum, semasa dan selepas gerhana berlaku.

Orang awam juga boleh mengikuti siaran langsung fenomena tersebut melalui Facebook rasmi Planetarium Negara bermula pukul 11.15 malam ini.

Kredit gambar: Facebook Agensi Angkasa Malaysia 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.