4 Mei 2023, 09:29

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Dalam kalangan penggemar hidangan tradisional, daun lerek yang dijadikan alas atau lapik yang fungsinya sama seperti daun pisang yang digunakan untuk membungkus nasi atau pulut yang diletakkan dalam buluh mempunyai kelompok peminatnya yang tersendiri. Walaupun begitu, daun ini agak susah untuk diperoleh kerana lazimnya, tumbuhan ini tumbuh di dalam hutan.

Antara hidangan tradisional yang menggunakan daun lerek dalam wadah seumpama buluh termasuklah lemang. Hal ini menjadikan lemang yang menggunakan daun lerek mendapat sambutan yang hangat berikutan status hidangan tersebut yang disifatkan sebagai langka berikutan tidak semua tempat menggunakannya.

Penggunaan daun lerek dapat menambahkan rasa yang enak terhadap lemang yang dibakar di samping menghasilkan aroma atau bau wangi yang menyenangkan. Penggunaan daun ini juga mempunyai kelebihan tersendiri. Buluh yang menjadi bekasnya itu tidak perlu dibelah, sebaliknya daun lerek yang mempunyai tangkai itu boleh terus ditarik keluar dari buluh.

Sifat fizikalnya yang lebar dan mudah lentur menjadi satu daripada faktor daun ini dipilih sebagai pembungkus makanan yang baik. Selain itu, daun ini dapat menghasilkan kandungan lemang yang lembut dan tidak berkerak. Disebabkan rasanya yang enak terutamanya ketika panas, masyarakat orang Asli kebiasaannya memakan lemang begitu sahaja tanpa memerlukan tambahan rendang daging atau ayam seperti tradisi makanan orang Melayu.

Namun begitu, dalam kalangan sesetengah pembuat lemang, penggunaan daun pisang, khususnya daun pisang hutan lebih disukai berbanding dengan daun lerek kerana daun lerek lebih kuat menyerap santan. Oleh sebab itu, penggunaan daun pisang dianggap lebih efektif kerana tidak memerlukan santan yang banyak di samping dapat menghasilkan lemang yang lebih berlemak.

Sungguhpun begitu, lemang yang menggunakan daun lerek telah memberikan kelegaan besar kepada peminat lemang yang menghadapi masalah kesihatan atau berat badan yang bertambah. Hal ini dikatakan demikian kerana penggunaannya yang  dapat menyerap santan mampu menurunkan kolesterol kepada sesiapa yang memakannya.

Dari segi ketahanannya pula, lemang yang menggunakan daun lerek lebih tahan lama kerana teksturnya yang kering boleh mengelakkan kandungan lemang menjadi basi dalam tempoh yang singkat. Tekstur daun pisang yang agak lembap memberikan kesan negatif terhadap kandungan lemang yang boleh menjadi basi lebih cepat. Dikatakan bahawa lemang yang menggunakan daun lerek boleh bertahan antara dua hari hingga tiga hari.

Namun begitu, dalam proses pembuatan lemang, bahagian pangkal daun lerek perlu sentiasa direndamkan dalam air bagi mengelakkan daun tersebut layu. Pulut dan santan perlu segera diisi ke dalam batang buluh sebelum daun tersebut mula melayu.

Dari segi saintifik, daun lerek yang dikenali sebagai Phrynium Pubinerve Blume dikategorikan dalam famili Marantaceae. Tumbuhan ini tergolong dalam kategori tumbuhan herba yang boleh membesar setinggi dua meter dan membentuk kelompok yang padat dengan daun yang panjang.

Tumbuhan ini mengeluarkan bunga berwarna putih kemerahan dan buah merah yang mengandungi biji berwarna kelabu. Dari segi habitat, daun lerek boleh ditemukan di kawasan selatan Indo-China, India, Sri Lanka dan kawasan barat Malaysia. Tumbuhan ini juga dikatakan boleh didapati sehingga ke Papua New Guinea, selain tumbuh dengan baik di kawasan kepulauan seperti Filipina dan Indonesia yang meliputi beberapa pulau utama seperti Jawa, Kalimantan dan Sumatera.

Tumbuhan ini membiak dan hidup subur di kawasan tanah rendah. Pokok daun lerek ini juga mudah tumbuh meliar di tempat redup di kawasan tanah rendah dan berbukit yang lembap. Tumbuhan ini mempunyai akar rizom yang mudah merayap dan tumbuh secara berumpun.

Selain digunakan untuk membungkus atau mengalas makanan, daun lerek juga mempunyai khasiat tertentu dalam perubatan tradisional yang boleh digunakan untuk merawat bisul dan bengkak pada badan. Di Indonesia, daun lerek digunakan dalam kaedah rawatan tradisional untuk mengubati benjolan dan jerawat yang bernanah. Masyarakat di Sulawesi Utara pula menggunakan jus daunnya sebagai penyembuh luka dan keradangan atau jangkitan pada mata.

Rawatan tradisional lain yang menggunakan daun lerek adalah seperti mengubati penyakit buasir dan sakit telinga. Untuk merawat buasir, daun lerek dicuci, direbus dan dibiarkan suam sebelum diminum.

Proses tersebut melibatkan tiga peringkat rebusan. Rebusan pertama menggunakan 10 cawan air, rebusan kedua sebanyak lapan cawan air dan rebusan ketiga melibatkan enam cawan air. Secawan air rebusan perlu diminum bagi setiap kali rebusan.

Untuk sakit telinga pula, kesemua bahagian pokok perlu dibersihkan dan dihangatkan di atas api. Air (wap) yang keluar daripada pokok kemudiannya dikumpulkan. Air tersebut boleh digunakan dengan cara menitisnya antara dua titik atau tiga titik ke dalam telinga pada waktu pagi.

Secara teknikalnya, daun lerek mengandungi fitol, 2-metoksi-4-vinilfenol dan eugenol yang berfungsi sebagai antioksidan. Eugenol pula mempunyai fungsi tambahan yang bersifat bakteriastatik terhadap kulat dan bakteria. Lazimnya, eugenol digunakan untuk pembuatan minyak wangi dan pati terapi yang boleh dimanfaatkan untuk penjagaan kesihatan fizijal dan emosi. Kandungan fenol yang terdapat pada daun lerek ini mempunyai fungsi istimewa, iaitu bersifat toksik terhadap bakteria.

Oleh sebab sifat atau karakternya yang tahan lasak, daun ini berupaya merencat pembiakan bakteria seperti Staphylococcus Aureus yang boleh mendatangkan mudarat atau memberikan masalah kepada kesihatan badan.

Dengan menggunakan kaedah eksperimen makmal secara in vitro, didapati bahawa 27.1 miligram ekstrak etanol daun lerek adalah setara dengan satu miligram vankomisin yang merupakan ubat antibiotik glikopeptida yang digunakan untuk merawat beberapa jangkitan kuman atau bakteria. Secara asasnya, ekstrak etanol daun lerek mengandungi senyawa aktif berupa flavonoid, steroid, triterpenoid dan fenol.

Flavonoid memiliki sifat antibakteria kerana mengandungi zat antibakteria yang membentuk senyawa kompleks dengan protein ekstraselular dan terlarut sehingga berupaya merencatkan membran sel bakteria. Flavonoid juga dapat merencatkan metabolisme tenaga dengan cara merencat penggunaan oksigen yang diperlukan bakteria untuk biosintesis makromolekul.

Begitu juga dengan kandungan fenol yang bersifat antibakteria dengan mekanisme antibakteria senyawa fenol dapat membunuh mikroorganisma dengan cara mendenaturasi protein sel. Dengan bahasa yang lebih mudah, ikatan hidrogen yang terbentuk antara fenol dengan protein akan mengakibatkan struktur protein rosak.

Mekanisme steroid sebagai anti bakteria adalah berhubungan dengan membran lipid, yakni apabila steroid dapat berinteraksi dengan membran fosfolipid sel, maka integriti membran akan menurun dan morfologi membran akan berubah sehingga menyebabkan sel menjadi rapuh dan lisis.

Mekanisme terpenoid sebagai antibakteria adalah dengan menerusi reaksi terhadap porin yang terletak pada membran luar dinding sel bakteria. Reaksi ini akan membentuk ikatan polimer yang kuat sehingga merosakkan porin. Apabila porin yang menjadi pintu kepada keluar atau masuknya senyawa protein rosak, maka sel bakteria akan mengalami kekurangan nutrisi.

Eksperimen tersebut menunjukkan bahawa ekstrak etanol daun lerek memiliki keberkesanan yang sama dengan vankomisin yang digunakan sebagai pengawal positif dalam menghambat pertumbuhan Staphylococcus Aureus secara in vitro.

Menurut laman web PS Herbs pula, terpenoid yang terdapat pada daun lerek mempunyai kesan kandungan yang sama seperti alkaloid bagi merawat penyakit diabetis. Fungsi alkaloid adalah dengan cara menurunkan kandungan glukosa darah menerusi penggalakan penghasilan hormon insulin. Alkaloid juga turut meningkatkan pengambilan glukosa oleh tisu otot dan tisu adipos.

Disebabkan permintaannya yang agak tinggi, maka perusahaan daun ini dijadikan sumber rezeki kepada sesetengah orang untuk menambahkan pendapatan. Terdapat pengusaha kedai makanan yang menggunakan daun lerek sebagai pembungkus makanan kerana keharuman baunya yang menarik perhatian pengunjung. Satu daripada restoran terkemuka yang dikatakan menggunakan daun lerek adalah seperti Nasi Bamboo Sungai Klah.

Lemang yang menggunakan daun lerek pula tidak hanya mendapat sambutan dalam kalangan orang Melayu, malah daripada bangsa lain termasuklah dari luar negara. Sebagai contohnya, lemang daun lerek yang sebelumnya dijual pada musim perayaan Aidilfitri turut dijual pada Tahun Baru Cina dan mendapat sambutan hangat.

Kini, daun lerek boleh didapati dengan mudah tanpa perlu bersusah-payah masuk ke hutan kerana terdapat sebilangan pengusaha yang telah menawarkan bekalan daun tersebut dengan harga yang berpatutan. Sebagai contohnya, anak pokok daun lerek boleh dibeli secara dalam talian dengan harga antara RM20 hingga RM35 sepokok. Daun lerek yang telah siap dipotong pula boleh dibeli dengan harga antara RM1 hingga RM1.20 sehelai.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.