Oleh Firdaus Mul
3 Mei 2023, 20:26

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) telah memasuki fasa kedua pelaksanaannya di Malaysia bagi tahun 2023 hingga tahun 2025 yang meletakkan peningkatan taraf kesihatan rakyat Malaysia sebagai keutamaan melalui pembudayaan hidup sihat dan kelestarian persekitaran yang menyokong kesejahteraan kesihatan.

Pelaksanaan ANMS adalah selari dengan konsep Malaysia MADANI, yakni di bawah rukun kesejahteraan yang diyakini dapat mewujudkan rakyat yang mengutamakan keseimbangan dalam kehidupan dengan menjadikan amalan hidup sihat sebagai satu budaya.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sentiasa komited dalam mencari pelbagai idea baharu bagi membantu rakyat mencapai dan mengekalkan taraf kesihatan yang sihat menerusi mesej, promosi dan pendidikan kesihatan.

“Idea ini adalah selari dengan perkara yang sedang diperjuangkan dalam Kertas Putih Kesihatan yang menjadi pemangkin peralihan daripada penjagaan pesakit kepada penjagaan kesihatan,” kata Menteri Kesihatan Malaysia, Yang Berhormat Dr. Zaliha Mustafa ketika berucap dalam Majlis Pelancaran Sitkom Agenda Nasional Malaysia Sihat di Putrajaya.

Susulan itu, pelbagai kempen telah dilaksanakan di bawah teras satu ANMS itu sendiri, iaitu memantapkan promosi pembudayaan hidup sihat dengan menggunakan pelbagai pendekatan dan kaedah media seperti media sosial, media konvensional, media cetak, media luar dan media digital bagi mencapai hasrat tersebut.

Beliau turut menegaskan bahawa lembaran tahun 2023 ini menyaksikan kelainan dengan pendekatan yang digunakan oleh KKM dalam menyampaikan mesej ANMS, iaitu melalui pendekatan penerbitan sitkom yang menampilkan cerita dalam bentuk santai, menghiburkan dan persembahan yang baik menerusi suatu sitkom yang dipercayai mampu mencorakkan daya fikir masyarakat.

Sitkom ANMS yang bakal diterbitkan adalah sebanyak lapan episod dan berdurasi selama 30 minit yang menyampaikan mesej secara santai, namun meninggalkan kesan positif kepada penonton sekali gus mampu mempengaruhi kehidupan seharian.

Sitkom adalah bukan hiburan semata-mata, tetapi saya yakin bahawa dengan adanya lakonan dan penyampaian mesej secara spontan dapat mencapai objektif dan harapan KKM untuk melahirkan masyarakat yang lebih sihat.

Beliau memaklumkan bahawa sitkom berkenaan akan dibintangi oleh barisan pelakon yang hebat dan bakal ditayangkan di saluran Radio Televisyen Malaysia TV1 pada setiap hari Isnin hingga hari khamis, bermula 8 Mei 2023 hingga 18 Mei 2023 pada pukul 10.30 malam.

Sebelum mengakhiri ucapannya, beliau juga menyatakan bahawa sitkom ialah agenda utama yang akan dilanjutkan pada tahun yang berikutnya jika lapan episod sitkom yang bakal diterbitkan itu berjaya dan membolehkan episod sitkom baharu menyusul.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.