3 Mei 2023, 18:09

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Bayi dan kanak-kanak yang tidak mendapat imunisasi lengkap ialah golongan yang berisiko tinggi untuk dijangkiti pertusis atau batuk kokol, iaitu penyakit cegahan vaksin yang disebabkan oleh bakteria Bordetella yang menjangkiti mulut, hidung dan tekak serta tersebar melalui udara semasa pesakit bersin atau batuk.

Penyakit dengan gejala batuk berpanjangan dalam tempoh satu minggu hingga dua minggu serta boleh berlarutan hingga dua bulan ini bukan sahaja menjangkiti bayi dan kanak-kanak, malah mampu menjangkiti semua orang tanpa mengira usia, terutamanya golongan rentan dan rendah imuniti.

“Berdasarkan rekod hingga 28 April 2023, sebanyak 132 kes pertusis dengan dua kematian telah dilaporkan di seluruh Malaysia, iaitu berlaku penurunan sebanyak 73.3 peratus jika dibandingkan dengan tempoh yang sama pada tahun 2019 yang mencatatkan kes sebanyak 495 kes,” kata Menteri Kesihatan Malaysia, Yang Berhormat Dr. Zaliha Mustafa dalam satu kenyataan.

Daripada 132 kes yang dilaporkan, sebanyak 89 kes (67.4 peratus) melibatkan warganegara, manakala 43 kes (32.6 peratus) lagi membabitkan bukan warganegara.

Bayi berumur bawah 12 bulan ialah kumpulan yang mencatatkan bilangan kes pertusis tertinggi, iaitu 67 kes (50.8 peratus), manakala kanak-kanak antara satu tahun hingga 10 tahun mencatatkan sebanyak 47 kes (35.6 peratus) dan selebihnya melibatkan kanak-kanak berumur 11 tahun dan ke atas.

Berdasarkan situasi semasa, kebanyakan kes pertusis di negara ini adalah dalam kalangan bayi kurang daripada lima bulan yang mencapai tahap imuniti optimum kerana masih belum lengkap tiga dos primer vaksin pertusis.

Oleh yang demikian, pertusis dapat dicegah dengan memastikan liputan imunisasi pertusis sentiasa melebihi 95 peratus pada setiap masa, yakni vaksin pertusis perlu diberikan kepada kanak-kanak secara rutin pada umur dua bulan, tiga bulan, lima bulan dan 18 bulan.

Pada masa yang sama, KKM sedang meneliti pelaksanaan vaksin kombinasi tetanus-difteria-pertusis (Tdap) kepada ibu hamil bagi melindungi bayi bermula dalam kandungan hingga bayi tersebut dapat melengkapkan dos primer vaksin kombinasi enam serangkai seperti dalam Jadual Imunisasi Kebangsaan.

KKM sentiasa berusaha untuk meningkatkan kesedaran masyarakat dan ibu bapa tentang kepentingan imunisasi dengan menyediakan bahan pendidikan kesihatan berkenaan imunisasi dan kepentingan mencegah penyakit cegahan vaksin, mengadakan hebahan melalui siaran konvensional atau media sosial, menjalankan kerjasama dengan badan bukan kerajaan dan badan profesional untuk meningkatkan medium bagi mendekati masyarakat serta bekerjasama dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk meyakinkan masyarakat tentang kepentingan vaksin dari sudut agama.

Sekiranya seseorang itu mengalami gejala pertusis, amalkan etika batuk dan bersin, iaitu dengan menutup mulut diikuti dengan mencuci tangan bagi mencegah penularan jangkitan kepada orang lain serta mendapatkan rawatan dengan segera jika keadaan kesihatan bertambah teruk.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.