3 Mei 2023, 15:06

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Pelaksanaan rangkaian 5G di negara ini diteruskan oleh Digital Nasional Berhad (DNB) hingga mencapai 80 peratus liputan di kawasan berpenduduk menjelang penghujung tahun 2023.

Pada masa yang sama, peralihan kepada model dwirangkaian akan dilaksanakan berdasarkan syarat yang selari dengan amalan pada peringkat global yang menawarkan pelbagai rangkaian bukan sahaja untuk rakyat, malah dapat dimanfaatkan oleh sektor perindustrian yang merupakan antara kumpulan sasar penggunaan teknologi 5G.

“Hal ini adalah selaras dengan prinsip utama yang digariskan dalam ucapan Belanjawan 2023 oleh Perdana Menteri, Yang Amat berhormat Dato’ Seri Anwar Ibrahim bahawa peralihan kepada model dwirangkaian dapat memanifestasikan keterangkuman melalui penyertaan penuh penyedia perkhidmatan tanpa menjejaskan langganan 5G yang sedia ada pada kadar yang berpatutan untuk rakyat,” kata Menteri Komunikasi dan Digital, Yang Berhormat Tuan Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil dalam satu kenyataan.

Selain itu, keputusan yang dibuat ini juga adalah berdasarkan anjakan fokus kepada elemen penerimagunaan dan inovasi berasaskan teknologi 5G secara komprehensif serta mengambil kira kemampanan ekosistem industri telekomunikasi di Malaysia sekali gus menamatkan unsur monopoli yang sering dikaitkan dengan DNB.

Oleh yang demikian, Kementerian Komunikasi dan Digital sentiasa bekerjasama dengan Kementerian Kewangan dan DNB serta pihak penyedia perkhidmatan bagi memastikan peralihan kepada model dwirangkaian ini dapat dilaksanakan dengan lancar tanpa menjejaskan kepentingan rakyat dan keyakinan pelabur.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.