2 Mei 2023, 13:50

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengingatkan masyarakat supaya berwaspada dengan cuaca panas semasa musim perayaan tahun ini.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, YBhg. Datuk Dr. Muhammad Radzi Abu Hassan, pemantauan yang dilakukan oleh kementeriannya hingga 28 April 2023 mendapati bahawa sebanyak lima kes penyakit berkaitan dengan cuaca panas telah dilaporkan.

“Tiga kes dilaporkan di negeri Sarawak melibatkan dua kes kekejangan haba dan satu kes kelesuan haba, manakala dua kes lagi dilaporkan di negeri Kelantan yang melibatkan satu kes kelesuan haba dan satu kes strok haba yang menyebabkan kematian,” jelasnya dalam satu kenyataan.

Katanya, merujuk laporan di media massa pada 27 April 2023 berkenaan dengan dua kes kematian akibat strok haba di Kelantan, hasil siasatan awal yang dilakukan oleh pihak Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan mendapati bahawa penyebab kematian kanak-kanak berusia 11 tahun tersebut ialah strok haba dengan dehidrasi teruk.

Sementara itu, kes kematian bayi berusia 19 bulan pula adalah disebabkan oleh dehidrasi teruk dengan sepsis dan bukannya disebabkan oleh strok haba.

Oleh yang demikian, beliau menyarankan agar masyarakat mengambil langkah pencegahan terhadap sebarang masalah kesihatan yang boleh terjadi akibat cuaca panas sepanjang musim perayaan.

Antara langkah pencegahan yang boleh dilakukan termasuklah merancang aktiviti ziarah-menziarahi dan elakkan keluar dari rumah pada waktu puncak cuaca panas, iaitu antara pukul 11.00 pagi hingga 4.00 petang serta banyakkan minum air kosong walaupun tidak berasa dahaga sekurang-kurangnya lapan gelas sehari bagi mengekalkan tahap hidrasi untuk mengawal atur suhu badan.

Masyarakat juga dinasihatkan agar mengurangkan minum minuman manis, berkafein dan berkarbonat kerana minuman ini tidak bagus untuk hidrasi badan serta pada masa yang sama mengehadkan tempoh berada di luar bangunan bagi mengelakkan pendedahan kepada cuaca panas.

Awasi keletihan yang dialami oleh bayi, kanak-kanak dan warga emas kerana mereka mungkin mengalami dehidrasi tanpa disedari dan memastikan golongan ini minum air yang secukupnya.

Pemakaian pakaian yang tebal, ketat dan berwarna gelap juga perlu dielakkan bagi membantu proses kehilangan haba daripada badan dan kerap mandi bagi menyejukkan badan serta mengehadkan aktiviti fizikal lasak semasa cuaca panas kerana boleh meningkatkan risiko penyakit akibat cuaca panas.

Orang awam boleh mendapatkan maklumat terkini tentang status cuaca panas di laman sesawang MetMalaysia, manakala langkah pencegahan bagi mengurangkan kesan kesihatan akibat cuaca panas di laman sesawang KKM.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.