Oleh Firdaus Mul
1 Mei 2023, 09:31

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Kamera papan pemuka yang diletakkan di kenderaan sudah menjadi keperluan orang ramai. Kamera video kecil ini bukan sekadar penting demi kepentingan keselamatan kenderaan dan penumpangnya sewaktu berada di jalan raya, malah memainkan peranan yang berguna untuk perkara lain.

Hal ini turut dijelaskan secara terperinci oleh Profesor Jabatan Kesihatan Komuniti, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia, Profesor Dr. Kulanthayan K.C Mani dalam rancangan temu bual Selamat Pagi Malaysia anjuran Radio Televisyen Malaysia, baru-baru ini.

Profesor Jabatan Kesihatan Komuniti, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia, Profesor Dr. Kulanthayan K.C Mani dalam rancangan temu bual Selamat Pagi Malaysia, baru-baru ini.

Menurut beliau, kamera papan pemuka mempunyai sistem yang merekodkan perjalanan, sama ada melalui rakaman di bahagian depan ataupun belakang kenderaan.

Terdapat juga kamera papan pemuka yang mempunyai sistem merakamkan bahagian sisi dan dalam kenderaan. Hal ini merupakan suatu sistem yang cukup baik kerana setiap perjalanan pengguna jalan raya dapat direkodkan.

Antara kepentingan menggunakan kamera papan pemuka termasuklah berupaya membantu pengguna jalan raya sekiranya berdepan dengan kemalangan jalan raya.

“Kamera papan pemuka berupaya menjadi bukti untuk menunjukkan keadaan sebenar, jika sesuatu kemalangan berlaku. Ketiadaan sistem yang merekodkan perjalanan boleh menyebabkan pengguna jalan raya yang tidak bersalah sewaktu kemalangan menjadi mangsa keadaan dan dipersalahkan,” hurainya lagi.

Dalam masa yang sama, beliau turut menegaskan bahawa penggunaan kamera papan pemuka berupaya membantu pihak berkuasa sewaktu proses siasatan kemalangan.

“Pihak berkuasa boleh melakukan rekonstruksi kemalangan dengan mudah. Sekiranya tidak terdapat sebarang rekod rakaman perjalanan, pihak berkuasa perlu melakukan rekonstruksi kemalangan secara manual dengan mengumpulkan data,  yakni dari segi lokasi kemalangan, kelajuan kenderaan dan sebagainya,” jelasnya.

Profesor Dr. Kulanthayan K.C Mani menerangkan bahawa kamera papan pemuka bukanlah alat tambahan kenderaan semata-mata, malah alat tersebut dapat mencegah daripada berlakunya jenayah seperti kes buli jalan raya.

Sementara itu, penggunaan kamera papan pemuka juga dapat membantu pengguna kenderaan dari segi keselamatan walau di mana-mana pun kenderaan pengguna diletakkan.

Sebagai contohnya, ketika kereta diletakkan di tempat letak kenderaan, kemudian berlakunya pelanggaran oleh kereta lain yang memberikan kesan kepada kenderaan pengguna, sistem yang terdapat pada kamera papan pengguna dapat membantu mengenal pasti pesalah berkenaan ataupun wujudnya niat jahat yang cuba untuk melakukan vandalisme pada kenderaan tersebut.

“Apabila sesuatu kenderaan mempunyai kamera papan pengguna, saya nampak keyakinan pemandu bertambah baik. Sebab pemandu akan berasakan isu keselamatannya terjamin,” tegas beliau lagi.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.