24 April 2023, 17:56

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Gempa bumi kuat berukuran 7.3 magnitud telah melanda wilayah Kepulauan Kermadec pada pukul 8.41 pagi ini.

Menurut Jabatan Metereologi Malaysia, gegaran tersebut berlaku pada jarak 1037 kilometer timur laut dari Tauranga New Zealand pada kedalaman 75 kilometer pada koordinat 29.9 darjah selatan dan 177.6 darjah barat.

Walau bagaimanapun, kejadian ini tidak memberikan ancaman tsunami kepada Malaysia.

Kawasan berlakunya kejadian gempa bumi.

Terdahulu pada awal bulan ini, Kementerian Sumber Asli, Alam sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) melaporkan Malaysia berkemungkinan untuk menghadapi gempa bumi berdasarkan bukti empirikal.

Walau bagaimanapun, sebagai langkah mitigasi jangka masa panjang, Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) telah menjalankan program libat urus dengan pihak berkepentingan dalam aplikasi penggunaan peta bahaya seismik.

Untuk rekod, gegaran gempa bumi kuat berpusat di Malaysia pernah berlaku dengan kekuatan 6.0 skala Richter hingga 6.3 skala Richter di Sabah pada tahun 1923, tahun 1958, tahun 1976 dan tahun 2015.

Tsunami di Malaysia yang berlaku pada 26 Disember 2004 mengakibatkan kemusnahan yang dahsyat, terutamanya di Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor.

Di Semenanjung Malaysia juga turut pernah berlakunya beberapa gegaran gempa bumi dengan julat kekuatan antara 1.6 skala Ritcher hingga 4.6 skala Ritcher pada tahun 1984, tahun 1985, tahun 1987, tahun 2007, tahun 2009, tahun 2010 dan tahun 2013.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.