Oleh Abd Razak Osman
18 April 2023, 15:25

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Alor Setar – Yayasan Sultanah Bahiyah (YSB) memberikan sumbangan bersempena dengan Aidilfitri kepada pesakit buah pinggang yang menjalani rawatan dialisis di Pusat Rawatan Hemodialisis Tunku Sarina Alor Setar, Kedah, hari ini.
Sumbangan berjumlah RM4200.00 itu disampaikan oleh Tunku Temenggong Kedah, Yang Teramat Mulia (YTM) Dato’ Seri DiRaja Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Almarhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah, selaku Pengerusi YSB kepada 42 orang pesakit yang sebahagiannya terdiri daripada golongan kurang berkemampuan.
YTM Dato’ Seri DiRaja Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Almarhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah menyampaikan sumbangan kepada pesakit di Pusat Rawatan Hemodialisis Tunku Sarina Alor Setar, hari ini.
Pegawai Program Kesihatan YSB, Norhayati Ali berkata, Pusat Hemodialisis Tunku Sarina terletak di Jalan Sungai Korok, Alor Setar ini beroperasi sejak tahun 2006 dengan usaha sama YSB dan Yayasan EMKAY yang dibina di atas tanah milik Kerajaan Negeri Kedah.
YSB telah ditubuhkan pada 20 Ogos 1996 sebagai sebuah pertubuhan kebajikan. YSB juga bertindak sebagai agen perubahan sosial dalam bidang pendidikan, pembangunan masyarakat, kesihatan, warga emas dan belia. Semua program dan aktiviti YSB dijayakan dengan hasil usaha pengumpulan dana sendiri dan melalui sumbangan yang diterima daripada pihak awam.
Menurutnya, pusat rawatan itu dilengkapi dengan 12 buah unit mesin dialisis dan dikendalikan oleh Syarikat Gedung Penawar Sdn. Bhd.
Tunku Temenggong Kedah berbual-bual dengan pesakit yang menjalani dialisis di Pusat Rawatan Hemodialisis Tunku Sarina Alor Setar.
“Pada setiap hari, pusat itu mampu menampung sebanyak 12 orang pesakit buah pinggang untuk dua syif yang berbeza,manakala bayaran yang dikenakan pula adalah berdasarkan kemampuan para pesakit,” ujarnya lagi.
Di samping itu, YTM Tunku Temenggong Kedah juga berkenan menyampaikan sagu hati kuih raya kepada 17 orang petugas Pusat Rawatan Hemodialisis Tunku Sarina.
Turut hadir mengiringi YTM Tunku Temenggong Kedah ialah Ahli Lembaga Amanah YSB, Datuk Dr. Cheng Joo An dan Pengurus Besar YSB, Encik Misbah Dato’ Abdul Hamid.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.