17 April 2023, 18:25

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) melalui agensinya, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) bersedia menangani fenomena El Nino yang melanda Malaysia dari April 2023 hingga September 2023 yang memberikan impak negatif kepada negara ini akibat kuantiti hujan yang berkurangan berdasarkan analisis dan pemodelan cuaca daripada Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia).

Paras air sungai menurun dan empangan menjadi kering disebabkan oleh cuaca kering dan kuantiti air mentah yang boleh diolah juga berkurangan ialah satu daripada isu kritikal yang perlu diberikan perhatian yang sewajarnya.

Oleh yang demikian, NRECC dalam satu kenyataan memaklumkan akan memantau semua aras air sungai dan empangan yang membekalkan air mentah kepada loji rawatan air.

Pelan Tindak Balas Kecemasan (ERP) untuk bekalan air jika paras air sungai dan empangan menjadi terlalu rendah juga diaktifkan serta semua sumber air diteroka untuk meningkatkan ketersediaan bekalan air mentah semasa musim kemarau termasuklah mengeksploitasi air di bawah tanah ataupun tasik.

Dalam kenyataan tersebut juga menyatakan bahawa orang ramai digalakkan untuk menjimatkan penggunaan air bagi kegunaan harian, terutamanya semasa cuaca kering, manakala pihak industri dan pengguna komersial dinasihatkan agar melaksanakan langkah penjimatan air terhadap operasi yang dilakukan.

Pada masa yang sama, tindakan sekatan terhadap penggunaan air yang tidak penting boleh dilakukan jika diperlukan, terutamanya ketika berada dalam situasi kritikal; meningkatkan kecekapan operasi pengendali air; dan melakukan penghasilan awan di empangan serta kawasan tangkapan untuk meningkatkan air permukaan.

Susulan itu, NRECC juga mengambil inisiatif dengan menyediakan sokongan logistik dalam memobilisasi bekalan air seperti trak tangki dan tangki statik di kawasan yang terjejas serta pengagihan air akan dilaksanakan sekiranya sumber air tidak mencukupi untuk bekalan air normal.

Bagi memastikan bekalan air mentah sentiasa mencukupi, empangan dibina untuk menyimpan dan mengawal aliran sungai untuk membekalkan air mentah ke loji rawatan air.

Berdasarkan rekod, sebanyak 24 empangan bekalan air di seluruh Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan dipantau secara aktif setiap hari oleh SPAN dan hampir kesemua empangan tersebut telah mencapai paras penyimpanan air lebih daripada 80 peratus.

Beberapa empangan seperti empangan Teluk Bahang, Pulau Pinang, empangan Air Itam, Pulau Pinang, empangan Sungai Lebam, Johor, empangan Upper Layang, Johor, empangan Sembrong, Johor dan empangan Muda, Kedah didapati mempunyai bekalan air sekitar 60 peratus.

Sementara itu, empangan Mengkuang, Pulau Pinang dengan kapasiti sebanyak 73 juta meter padu telah dinaik taraf atau diperbesarkan di bawah pembiayaan Kerajaan Persekutuan yang telah disiapkan pada tahun 2017.

Di Johor pula, empangan Linggiu ialah empangan bekalan air yang terbesar di Semenanjung Malaysia dan kini telah mencapai penyimpanan air sebanyak 100 peratus untuk mengawal aliran Sungai Johor yang mempunyai tujuh loji rawatan air utama.

Selain itu, projek pemindahan air mentah dari Sungai Sedili Besar ke empangan Upper Layang dan empangan Sungai Lebam melalui empangan Seluyut yang telah siap pada tahun 2017 dapat memindahkan air mentah ke loji rawatan air yang membekalkan air ke selatan Johor.

Pengumuman kepada orang ramai tentang status bekalan air semasa dan bersedia untuk meminimumkannya kesan kekurangan air ketika musim kemarau yang berpanjangan akan dimaklumkan oleh operator air dari semasa ke semasa.

Agensi Pengurusan Bencana Negara dengan kerjasama Kementerian Pertahanan Malaysia dan METMalaysia turut terlibat dalam pengurusan situasi kekurangan air untuk aktiviti pembenihan awan.

Selaras dengan Malaysia MADANI yang memberikan fokus kepada kecekapan dan berhemat dalam mendorong pembangunan lestari dan penggunaan sumber daya yang bertanggungjawab, pengguna dinasihatkan agar menjimatkan air dan sentiasa menggunakan air dengan bijak.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.