Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Malaysia akan mengalami gerhana matahari separa pada Khamis ini, 20 April 2023 bersempena dengan fenomena gerhana matahari hibrid yang berlaku ke utara dari benua Australia.
Menurut Ketua Penolong Pengarah Planetarium Negara, Mohd Zamri Shah Mastor, orang ramai berpeluang menyaksikan fenomena itu bermula pukul 11.00 pagi hingga pukul 2.00 petang bagi pemerhati di Sabah, manakala fenomena tersebut akan tamat lebih awal, iaitu sekitar pukul 1.00 tengah hari bagi pemerhati di Semenanjung dan pukul 1.30 petang bagi pemerhati di Sarawak.
“Litupan permukaan matahari ketika maksimum adalah berbeza antara satu kawasan dengan kawasan yang lain, iaitu di Langkawi hanya pada kadar satu peratus, 8.4 peratus di Kuala Lumpur dan di Tawau, manakala Sabah pula yang paling tinggi, iaitu 43 peratus,” jelasnya ketika bersiaran dalam Rancangan Selamat Pagi Malaysia terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM), semalam.

Beliau berkata pihak Planetarium Negara akan menganjurkan Program Pencerapan Gerhana Matahari Separa 2023 di perkarangan Planetarium Negara Kuala Lumpur dan di perkarangan Perpustakaan Tawau.
Selain itu, cermin mata gerhana (eclipse glasses) percuma juga bakal diedarkan di kedua-dua lokasi tersebut bagi membolehkan pengunjung menyaksikan fenomena itu dengan selamat.
“Beberapa teleskop dengan penuras khas juga akan disediakan oleh pihak Planetarium Negara supaya para pengunjung boleh menyaksikan keadaan itu dengan lebih jelas dan selamat,” ujarnya.
Selain itu, penstriman langsung di laman Facebook dan Youtube Planetarium Negara juga akan turut disediakan untuk rakyat Malaysia.
Beliau juga mengingatkan orang ramai untuk tidak melihat matahari secara terus tanpa menggunakan penuras khas kerana boleh merosakkan retina mata dan boleh mengakibatkan buta kekal.
“Air laut mungkin akan mengalami pasang yang lebih besar dan tinggi selain cuaca akan berubah menjadi kelam seperti senja,” katanya.
Beliau berkata masyarakat juga mungkin boleh memerhatikan fenomena alam seperti burung yang akan terbang kembali ke sarang masing-masing kerana beranggapan hari sudah malam.

Gerhana matahari berlaku apabila kedudukan bulan terletak di antara bumi dan matahari.
Keadaan ini akan menyebabkan bulan menutupi cahaya matahari, sama ada sebahagian atau sepenuhnya.