14 April 2023, 12:03

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Makanan punca kanser? Telahan atau persoalan ini sebenarnya sudah lama bermain dalam minda masyarakat. Kanser merupakan satu daripada penyakit tidak berjangkit yang semakin tinggi di Malaysia. Peningkatan insiden kanser saban tahun lazimnya dikaitkan dengan gaya hidup yang semakin menjurus kepada cara hidup Barat selain makanan tinggi kalori yang banyak dihasilkan daripada percambahan makanan silang budaya.

Kanser boleh dikaitkan dengan pelbagai faktor seperti genetik, persekitaran dan gaya hidup termasuk amalan diet dan senaman. Selain itu, stres di tempat kerja, pendedahan kepada bahan yang boleh meningkatkan risiko kanser (karsinogen) boleh mencetuskan proses inisiasi sel kanser itu sendiri.

Asbab kanser biasanya dikaitkan dengan genetik, namun kajian terkini menunjukkan punca perubahan genetik itu ialah pemakanan dan persekitaran. Perubahan genetik, makanan dan persekitaran juga dikaitkan dengan satu daripada bidang ilmu yang dikenali sebagai toksikologi.

Ahli kimia, Paracelsus selaku perintis dalam dunia toksikologi telah menyatakan bahawa semua bahan ialah racun dan tiada bahan yang bukan racun. Selain itu, yang membezakan bahan racun dan bukan racun ialah dos. Penyataan ini menerangkan konsep asal dos dan respons yang merujuk dos tertentu boleh menyebabkan sesuatu bahan boleh bertindak sebagai racun.

Bidang toksikologi merupakan satu daripada bidang kajian yang berkaitan dengan sebarang bahan yang boleh menyebabkan kemudaratan kepada semua organisma hidup, termasuklah manusia. Bermula dari tahun 1960 hingga kini, bidang toksikologi telah mengalami perkembangan pesat dengan pelbagai teknik analisis telah dibangunkan dan undang-undang terhadap penggunaan bahan toksik telah dikuatkuasakan.

Antara sumber pendedahan bahan toksik kepada manusia termasuklah melalui makanan yang lazimnya dimakan secara langsung. Pendedahan ini boleh disebabkan oleh bahan makanan itu sendiri atau daripada bahan tambahan kepada makanan tersebut.

Bahan toksik yang terkandung dalam makanan boleh terbahagi kepada dua, iaitu bahan aditif makanan seperti pengawet dan bahan yang terbentuk secara semula jadi seperti miktoksin, fitotoksin dan mineral inorganik. Pengawet seperti asid benzoik, natrium benzoat dan natrium klorida (garam) juga biasa digunakan bagi memastikan produk makanan tersebut dapat bertahan lama dengan bertindak sebagai antimikrob.

Terdapat juga bahan dalam diet manusia yang dapat bertindak sebagai karsinogen dan mutagen secara semula jadi seperti aflatoksin yang boleh terbentuk dalam kekacang yang mempunyai kulat dan pelbagai lagi contoh ketoksikan alami.

Mutagen dan karsinogen merupakan istilah asing untuk masyarakat. Dua istilah ini lazim digunakan dalam bidang toksikologi bagi melihat kesan buruk sesuatu bahan. Secara ringkasnya, mutagen ialah sebarang agen yang boleh menyebabkan mutasi atau kerosakan kepada asid deoksiribonukleik (DNA). Mutasi pula merujuk sebarang perubahan walaupun kecil yang berlaku pada jujukan DNA dan kromosom. Karsinogen pula secara ringkasnya merujuk bahan yang boleh menjadi pemula untuk proses kanser berlaku.

Kanser yang bersifat berbilang faktor biasanya bermula dengan proses inisiasi dan di sinilah karsinogen memainkan peranan. Selain inisiasi, karsinogen juga terlibat dalam proses promosi dan pergerakan kanser.

Kerosakan DNA dan mutasi dalam jangka masa panjang boleh menyebabkan pelbagai penyakit degeneratif. Tingkah laku biasa setiap sel dalam tubuh manusia dikawal oleh bahan genetiknya. Bahan genetik terdiri daripada rantaian unit DNA yang diatur dalam suatu susunan tertentu di dalam nukleus sel. Perubahan dalam urutan DNA yang disebut sebagai mutasi boleh mengganggu fungsi biasa sesuatu protein.

Bahan Toksik dalam Makanan

Kehadiran bahan toksik dalam makanan sering dianggap remeh oleh sesetengah pihak. Pelbagai telahan dilakukan dan bermacam-macam mesej tular di media sosial yang berkaitan dengan makanan dan bahan toksik tanpa memahami sains di sebalik setiap mesej berikut.

Antara contoh isu tular tentang bahan toksik dalam makanan termasuklah kehadiran karsinogen dalam biskut dan penggunaan penggoreng kering serta ketuhar gelombang mikro yang boleh menyebabkan kanser. Kajian yang dijalankan oleh Kementerian Keselamatan dari Hong Kong yang telah menilai isu ketoksikan biskut keluaran Malaysia mendapati bahawa biskut keluaran Malaysia tinggi dengan akrilamid.

Akrilamid ialah satu daripada karsinogen utama yang turut dikaitkan dengan perubahan genetik. Selain itu, makanan tradisi seperti sate turut dikaitkan dengan kanser. Banyak lagi telahan dan mitos yang mungkin ada kebenarannya atau kekal sebagai mitos seperti perkaitan antara mi segera dan ramen dengan kanser, antara makanan pedas dengan kanser, prebiotik dan penggunaan arang dalam masakan seperti roti arang, kuih kuba guling dan sebagainya.

Kajian yang dilakukan oleh penulis melihat tentang risiko kesihatan dan kaitannya dengan akrilamid. Hasil kajian mendapati bahawa pengambilan makanan yang kaya dengan akrilamid ini tinggi dalam kalangan populasi Malaysia, terutamanya dalam makanan seperti ayam goreng, keropok lekor dan pisang goreng.

Akrilamid biasanya terdapat dalam makanan kegemaran masyarakat Malaysia seperti kerepek ubi, kerepek pisang, dan keropok yang bahan asasnya ialah bahan yang tinggi kanji atau karbohidrat dan dimasak dengan suhu tinggi.

Pengambilan makanan tinggi akrilamid juga tidak terhad kepada makanan sahaja kerana akrilamid juga boleh didapati dalam kopi dan teh. Namun begitu, berdasarkan kajian yang telah dijalankan dalam kalangan pekerja pejabat, masyarakat Malaysia lebih gemar meminum air kopi segera. Kandungan akrilamid dalam air kopi segera adalah sangat rendah berbanding dalam kopi espreso.

Jika anda penggemar kopi segera, maka anda tidak perlu risau dengan pendedahan kepada akrilamid. Walau bagaimanapuan, jika anda penggemar kopi Americano dan espreso, maka anda perlu menilai semula dedahan anda terhadap akrilamid.

Jenis biskut yang dikatakan mengandungi akrilamid yang tinggi.

Di Malaysia, penyelidikan berkaitan dengan makanan yang dimakan setiap hari masih tidak luas dikaji. Di negara Barat, penyelidikan terhadap makanan menjadi komponen penting dan pelbagai pertubuhan berminat untuk mengkaji bahan makanan yang mampu menyebabkan kemudaratan kepada manusia.

Hasil kajian tersebut telah digunakan oleh pihak berwajib seperti International Agency for Research on Cancer untuk mewartakan pengambilan daging terproses sebagai karsinogen kelas pertama. Hal ini jelas menunjukkan bahawa makanan yang dimakan kini turut bertindak dalam peningkatan risiko penyakit kronik.

Sebagai contohnya, pengambilan makanan dengan kandungan lemak tepu yang tinggi akan menyebabkan peningkatan risiko penyakit jantung. Pengambilan lemak pula dikaitkan dengan insiden kanser payudara dan kanser kolon. Selain itu, pengambilan garam yang tinggi pula dihubungkan dengan darah tinggi dan insiden kanser perut.

Kanser dan Makanan

Secara umumnya, kanser ialah proses yang merujuk populasi sel melepasi kawalan tumbesaran normal untuk menjadi satu tumor yang malignan. Kanser merupakan penyakit yang berkaitrapat dengan diet dan gaya hidup seharian. Kajian oleh Doll dan Peto pada tahun 1981 dilihat sebagai kajian perintis yang menyatakan hubung kait antara kanser dengan diet.

Pengambilan sayuran dan buah-buahan yang kaya dengan serat dikatakan mampu menurunkan risiko kanser. Sebaliknya, pengambilan makanan yang tinggi dengan kandungan lemak dan mempunyai kandungan bahan kimia yang tinggi mampu meningkatkan insiden kanser.

Selain itu, amaun bahan kimia dalam diet seharian yang boleh dikategorikan sebagai bahan karsinogen juga kian meningkat. Kehadiran bahan tambahan makanan, pengawet makanan dan residu pestisid dalam sayur dan buah dilihat menjadi antara bahan karsinogen yang berpunca daripada makanan.

Karsinogen juga boleh diperoleh daripada makanan secara langsung. Karsinogen semula jadi daripada makanan menyebabkan risiko penyakit yang lebih tinggi berbanding dengan sumber lain.

Karsinogen yang lazimnya terdapat dalam diet seharian ialah mikotoksin (roti yang berkulat, kacang tanah dan tempeh), sebatian n-nitroso (bahan yang digunakan dalam penyediaan jeruk dan makanan yang diawet) dan polisiklik aromatik hidrokarbon (makanan yang telah dimasak dengan cara gorengan dan panggang atau salai, terutama sehingga garing dan hangus).

Secara keseluruhannya, faktor pemakanan juga menyumbang kepada peningkatan kes kanser. Makanan dan minuman yang diambil sehari-hari akan membentuk diet anda. Mesej yang paling penting dalam hal ini ialah akses kepada jumlah makanan yang selamat dan berkhasiat yang mencukupi ialah kunci untuk mengekalkan kehidupan dan menggalakkan kesihatan yang baik.

 

Profesor Madya Dr. Razinah Sharif @ Mohd Sharif, Pensyarah, Pusat Kajian Penuaan Sihat & Kesejahteraan (H-CARE), Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Kebangsaan Malaysia.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.