13 April 2023, 17:42

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melalui Pusat Kajian Penuaan Sihat dan Kesejahteraan (H-CARE), Fakulti Sains Kesihatan (FSK) telah menandatangani memorandum perjanjian bersama-sama Mead Johnson Nutrition (Malaysia) Sdn. Bhd. bagi menjalinkan kerjasama strategik merangkumi bidang penyelidikan produk susu yis beta-glukan.

Jalinan kerjasama ini adalah sejajar dengan komitmen, usaha dan strategi UKM sebagai universiti penyelidikan yang berkolaborasi bersama-sama pihak industri dalam memantapkan pembudayaan penyelidikan yang berimpak tinggi.

Sesi menandatangani memorandum perjanjian antara UKM dengan Mead Johnson Nutrition (Malaysia) Sdn. Bhd. bagi menjalinkan kerjasama strategik merangkumi bidang penyelidikan produk susu yis beta-glukan.

“Warga penyelidik UKM mesti meningkatkan ilmu pengetahuan dan dikongsikan dengan cara yang jelas dan bermakna bukan sahaja kepada rakan akademik, malah industri dan masyarakat termasuklah berkongsikan kepakaran dan penemuan akademik secara strategik dengan pemain industri,” kata Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Penyelidikan dan Inovasi, UKM, YBhg. Profesor Dato’ Dr. Wan Kamal Mujani.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Penyelidikan dan Inovasi, UKM. YBhg. Profesor Dato’ Dr. Wan Kamal Mujani.

Menurut beliau, kerjasama strategik sebegini harus diperluaskan lagi bagi membantu universiti untuk berada pada landasan yang betul serta dapat mengikuti perkembangan pesat dan terkini yang berlaku dalam industri.

Pengurus Besar Malaysia, Singapura, Vietnam dan SPOC Asean Hygiene, Mead Johnson Nutrition (Malaysia) Sdn. Bhd., Encik Brian Fischel pula menyatakan bahawa kerjasama yang dilakukan ini akan memberikan impak yang positif kerana dengan adanya kepakaran saintifik melalui kerjasama kedua-dua belah pihak dapat memenuhi keperluan pemakanan orang ramai di seluruh peringkat kehidupan melalui produk yang dihasilkan.

Pengurus Besar Malaysia, Singapura, Vietnam dan SPOC Asean Hygiene, Mead Johnson Nutrition (Malaysia) Sdn. Bhd., Encik Brian Fischel.

Tambah beliau lagi, produk susu yang mengandungi tiga ramuan utama, iaitu susu yis beta-glukan, selenium dan vitamin C dapat mengatasi keletihan, meningkatkan mikrobiom di dalam badan serta membantu dalam memberikan tiga kali ganda perlindungan imuniti kepada seluruh warga Malaysia amnya dengan menyokong akses kepada pemakanan dan penjagaan kesihatan yang lebih baik.

Penyerahan replika cek sumbangan daripada Mead Johnson Nutrition (Malaysia) Sdn. Bhd. kepada UKM.

Turut hadir dalam majlis ini ialah Ketua Projek merangkap Dekan FSK, UKM, YBrs. Profesor Dr. Suzana Shahar, Timbalan Dekan FSK, Pengerusi H-CARE, UKM dan pegawai kanan Mead Johnson Nutrition (Malaysia) Sdn. Bhd.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.