12 April 2023, 11:41

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Berdasarkan data unjuran Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV), bekalan telur di dalam negara adalah mencukupi berikutan terdapat lebihan bekalan telur pada Mac 2023 sebanyak 250.8 juta biji menyebabkan limpahan bekalan telur pada April 2023.

Susulan itu, kerajaan melalui JPV telah mengambil beberapa langkah dalam memastikan bekalan telur tempatan kekal stabil, misalnya dengan mengadakan sesi libat urus yang melibatkan Persekutuan Persatuan Penternak-penternak Malaysia pada 23 Mac 2023.

“Pengeluar telah meningkatkan pengeluaran telur mengikut permintaan sebelum dan semasa musim perayaan serta memberikan jaminan bahawa pengeluaran telur tempatan adalah mencukupi,” menurut Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dalam satu kenyataan.

KPKM melalui Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan telah mengambil inisiatif dalam penganjuran Jualan Terus Dari Ladang bagi membantu pengedaran bekalan telur di lokaliti yang memerlukan, terutamanya di kawasan yang mengalami peningkatan kos logistik.

Pada masa yang sama, penternak ayam yang menghadapi masalah modal pusingan kewangan akibat terjejas ekoran kenaikan kos pengeluaran juga boleh merebut peluang menggunakan inisiatif pinjaman mudah melalui Agrobank yang ditawarkan oleh KPKM sebanyak RM300 juta melalui Dana Pembiayaan Agromakanan.

Pada 17 Februari 2023 yang lalu, kerajaan telah memutuskan untuk meneruskan subsidi ayam dan telur hingga Jun 2023 yang melibatkan kos sebanyak RM1.28 bilion bagi membantu para penternak dalam menghadapi pelbagai cabaran semasa dalam sektor penternakan serta meringankan beban penternak berikutan peningkatan kos penternakan.

Selain itu, kerajaan juga telah membawa masuk telur dari negara luar yang sememangnya adalah bersifat sementara bagi memastikan bekalan telur tempatan tidak terputus dan menampung permintaan tempatan sehingga bekalan telur dalam pasaran kembali stabil.

Usaha yang dilaksanakan oleh kerajaan ini membuktikan bahawa kerajaan sangat prihatin terhadap keperluan rakyat, termasuklah penternak dan sentiasa komited dalam mengambil langkah proaktif bagi memastikan kebajikan rakyat terus terjamin.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.