11 April 2023, 16:46

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Status bekalan makanan berasaskan ikan di negara ini adalah mencukupi bagi menampung permintaan pengguna sepanjang tempoh perayaan Aidilfitri.

Selaras dengan Dasar Agromakanan Negara 2.0 dan Dasar Sekuriti Makanan, Jabatan Perikanan Malaysia yang merupakan peneraju utama kepada pembangunan dan pemodenan sektor perikanan negara akan memastikan jaminan bekalan makanan sentiasa mencukupi kepada para pengguna.

“Sektor perikanan tangkapan masih kekal menyumbang dengan jumlah pengeluaran menunjukkan jumlah pendaratan perikanan tangkapan hingga Mac 2023 adalah stabil, iaitu sebanyak 295 169 tan metrik,” kata Ketua Pengarah Perikanan, YBhg. Dato’ Adnan Hussain dalam satu kenyataan.

Sektor pengeluaran akuakultur bagi tempoh Januari 2023 hingga Mac 2023 telah menyumbang sebanyak 111 320 tan metrik daripada 24 352 hektar merangkumi sektor akuakultur air tawar, air payau dan rumpai laut sekali gus membuktikan bahawa pendaratan ikan sepanjang tempoh perayaan Aidilfitri adalah mencukupi dan terjamin.

YBhg. Dato’ Adnan Hussain berkata, “Bekalan makanan berasaskan ikan bagi penggunaan ikan per kapita adalah sebanyak 43.38 kilogram per orang dengan tahap sara diri mencecah 93 peratus.

Pengurusan sumber perikanan negara perlu diurus dengan sebaik-baiknya agar sektor ini kekal menyumbang secara mampan kerana pengeksploitasian yang berlebihan akan menyebabkan penurunan sumbangan kepada pengeluaran ikan negara.

Pengurusan makanan perlu dilaksanakan melalui pelesenan dan pemuliharaan habitat penting seperti Zon Konservasi 0-1 batu nautika bagi memastikan bekalan ikan mencukupi dan menyumbang kepada jaminan sumber perikanan untuk membangunkan industri perikanan serta meningkatkan ekonomi nelayan dan pengguna.

Jelas beliau lagi, bilangan vesel penangkapan ikan yang berlesen di Malaysia adalah sebanyak 48 493, yakni hampir 84 peratus daripadanya ialah vesel yang beroperasi di Zon A, manakala selebihnya beroperasi di Zon B (4857), Zon C (2273), Zon C2 dan C3 (548) dengan menggunakan peralatan pukat jerut, pukat tunda dan rawai tuna.

Orang ramai dinasihatkan agar tidak perlu berasa khuatir dengan isu ketiadaan bekalan ikan seperti yang digembar-gemburkan kerana pilihan ikan tidak terhad kepada ikan laut sahaja, malah pengguna juga boleh memilih ikan air tawar sebagai menu pilihan untuk dipelbagaikan sepanjang Aidilfitri nanti.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.