Oleh Normah Awang
11 April 2023, 15:33

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Pendedahan kepada bunyi bising yang terlalu lama dan berlebihan boleh menyebabkan kerosakan kepada deria pendengaran manusia, malah menyebabkan gangguan pendengaran seperti kehilangan pendengaran disebabkan bunyi bising (NIHL).

Pada tahun 2009, Pertubuhan Keselamatan Sosial telah mengeluarkan laporan bahawa kes NIHL telah meningkat secara mendadak bermula tahun 1995. Statistik yang dikeluarkan oleh SOHELP pada tahun 2016 juga menunjukkan bahawa jumlah keseluruhan kes penyakit pekerjaan yang dilaporkan pada tahun 2015 ialah 5960 dan 5366 kes daripadanya ialah NIHL.

Bunyi bising dalam bidang kesihatan industri ditakrifkan sebagai bunyi yang boleh menyebabkan kehilangan pendengaran jika pekerja terdedah semasa melakukan tugas mereka. Bunyi boleh diukur keamatannya melalui aras tekanan bunyi dan keamatan sesuatu bunyi itu diukur dalam unit desibel (dB). Skala desibel adalah bersifat logaritma berbanding dengan linear. Hal ini bermakna perbezaan sebenar tahap tekanan bunyi dari satu dB ke tahap tekanan seterusnya meningkat apabila paras dB juga meningkat.

Bunyi bising mampu menyumbang kepada masalah pendengaran. Menurut Baguley dan Mcferran (2015), punca masalah pendengaran selain pendedahan kepada bunyi bising di tempat kerja dapat dikelaskan kepada tiga iaitu, punca sebelum kelahiran, ketika kelahiran, dan selepas kelahiran. Baka atau keturunan, pengambilan dadah yang berlebihan dan jangkitan penyakit dapat dikelaskan sebagai punca masalah pendengaran sebelum kelahiran.

Selain itu, satu kajian yang telah dijalankan oleh Kurmis dan Apps (2007) yang menunjukkan bahawa bahan kimia yang berbahaya seperti racun serangga atau perosak mampu menyebabkan masalah pendengaran NIHL kepada individu yang terdedah kepadanya. Bagi mengatasi permasalahan ini, pengukuran paras pendedahan kebisingan adalah penting untuk menentukan tahap pendedahan kebisingan pekerja.

Terdapat tiga alat yang digunakan untuk mengukur paras kebisingan, iaitu meter aras bunyi yang digunakan untuk mengukur intensiti bunyi di sesuatu tempat seperti bunyi bising di persekitaran, penganalisis jalur oktaf dan dosimeter untuk mengukur paras bunyi impuls.

Seterusnya, kawalan secara perundangan juga memainkan peranan yang penting. Berdasarkan Peraturan-Peraturan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Pendedahan Bising) 2019, dalam bahagian tanggungjawab, majikan mestilah melakukan pemantauan bunyi bising di tempat kerja, mengurangkan pendedahan pekerja terhadap bunyi bising melalui kejuruteraan, pentadbiran dan penggunaan alat perlindungan diri, melakukan program ujian audiometri, mengendalikan latihan dan pendidikan kepada pekerja dan akhir sekali, penyimpanan rekod untuk rujukan pada masa hadapan.

Tambahan lagi, mengikut Peraturan 5 dan 6 dalam peraturan yang sama, tiada seorang pun pekerja dibenarkan terdedah kepada tahap bunyi yang melebihi aras bunyi berterusan setara (Leq) dengan 85 dB (A) atau melebihi had yang ditetapkan dalam Jadual Pertama atau melebihi dos bunyi harian.

McAlexander et al. (2015) mengatakan bahawa kehilangan pendengaran yang disebabkan oleh bunyi bising di tempat kerja dapat dicegah sekiranya majikan dan pekerja memainkan peranan masing-masing. Sebagai contohnya, bunyi bising di tapak bina sememangnya tidak dapat dielakkan kerana proses kerja melibatkan penggunaaan mesin, alatan dan jentera yang besar.

Satu kajian telah dijalankan yang melibatkan pekerja di satu daripada tapak bina di Shah Alam, Selangor secara keratan rentas untuk melihat kesan pendedahan bunyi bising individu terhadap pekerja di tapak bina. Persampelan yang dijalankan melibatkan dua pengukuran utama, iaitu tahap pendedahan bunyi bising individu yang diukur menggunakan dosimeter dan status pendengaran pekerja dengan penentuan ujian audiometri dan otoskopi yang dijalankan melalui kajian borang soal selidik.

Dosimeter.

 

Pemasangan dosimeter kepada pekerja tapak bina.

Hasil kajian menunjukkan bahawa tiada pekerja yang melebihi had pendedahan yang dibenarkan, iaitu 85 dBA dan paras bertindak, iaitu 83 dBA. Oleh itu, pendedahan bunyi bising individu di tapak bina mematuhi nilai piawai yang telah ditetapkan dalam Peraturan-Peraturan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Pendedahan Bising) 2019. Jika pendedahan bunyi bising individu melebihi had pendedahan yang dibenarkan atau paras bertindak, majikan perlu mengambil beberapa langkah untuk mengatasinya seperti mewajibkan penggunaan alat perlindungan pendengaran dan penilaian risiko kesihatan terhadap pekerja.

Bagi ujian otoskopi pula, kajian tersebut menunjukkan bahawa pekerja yang terdedah kepada bunyi bising yang berlebihan berpotensi mengalami tahi telinga terimpak (impacted ear wax), manakala pekerja yang tidak terdedah kepada bunyi bising secara terus mempunyai struktur fizikal telinga dalam yang normal. Oleh itu, penggunaan alat perlindungan pendengaran seperti pengedap bunyi dan penyumbat telinga perlu diwajibkan ketika bekerja.

Otoskop.
Ujian otoskopi yang dilakukan terhadap pekerja tapak bina.

Sementara itu, hasil ujian audiometri mendapati bahawa pekerja yang terdedah kepada bunyi bising di tapak bina mempunyai peratusan hilang pendengaran tahap ringan yang agak tinggi, iaitu sebanyak 64.7 peratus berbanding dengan pekerja yang tidak terdedah dengan bunyi bising. Kehilangan pendengaran tahap ringan yang dihadapi oleh pekerja ialah masalah pendengaran jenis konduktif. Oleh itu, ujian audiometri perlu dijalankan secara berkala untuk mengetahui status pendengaran pekerja dari semasa ke semasa.

Ujian audiometrik dengan pelibatan pekerja tapak bina.

Sebagai kesimpulannya, pekerja yang terdedah kepada bunyi bising berisiko tinggi untuk mengalami masalah pendengaran tahap ringan. Majikan dan pekerja perlu memandang serius terhadap masalah pendengaran yang dihadapi oleh sebahagian pekerja yang telah terdedah secara berterusan terhadap bunyi bising di tempat kerja. Terdapat pelbagai aktiviti atau program yang boleh dijalankan oleh pihak majikan dalam menangani masalah ini seperti melaksanakan program pemuliharaan pendengaran, sekurang-kurangnya sekali dalam tempoh setahun kepada pekerja yang bekerja dalam persekitaran yang bising.

 

Artikel ini ditulis bersama-sama Siti Nor Nabilah Syasya Ismail, Mohd Fitri Takri dan Dr. Nurul Farahana Kamaludin, Program Kesihatan Persekitaran dan Keselamatan Industri, Pusat Kajian Toksikologi dan Risiko Kesihatan, Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Kebangsaan Malaysia, Kampus Kuala Lumpur.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.