10 April 2023, 17:48

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Fakulti Sains Kesihatan (FSK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Kampus Kuala Lumpur perlu melakukan Penaksiran Risiko Bahan Kimia Berbahaya (CHRA) bagi memastikan keadaan makmal adalah selamat digunakan oleh pelajar, kakitangan dan penyelidik berikutan terdapat pelbagai makmal pengajaran dan penyelidikan yang kebanyakannya menggunakan bahan kimia berbahaya.

Oleh yang demikian, satu sesi perkongsian “Kepentingan Penaksiran Risiko Bahan Kimia Berbahaya kepada Kesihatan” telah dianjurkan oleh Pusat Kajian Toksikologi dan Risiko Kesihatan, FSK, UKM Kampus Kuala Lumpur dengan kerjasama Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) bagi membincangkan hal ini dengan lebih terperinci secara bersemuka di Bilik Mesyuarat Saidatina Khadijah, Tingkat Empat, Blok H, FSK, UKM, Kampus Kuala Lumpur.

“CHRA merupakan keperluan kepada pematuhan perundangan Peraturan-peraturan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Penggunaan dan Standard Pendedahan Bahan Kimia Berbahaya kepada Kesihatan) 2000 atau lebih dikenali sebagai USECHH 2000 di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994,” kata YBrs. Profesor Madya ChM. Dr. Normah Awang selaku Pengerusi Sesi Perkongsian Kepentingan Penaksiran Risiko Bahan Kimia Berbahaya kepada Kesihatan.

Jelas beliau, di bawah peraturan USECHH 2000, majikan dikehendaki untuk mengenal pasti, mendaftarkan dan merekodkan semua bahan kimia berbahaya yang digunakan di tempat kerja.

Sesi perkongsian tersebut telah disampaikan oleh Pakar Teknikal III daripada Jabatan Perundingan, Penyelidikan dan Pembangunan, NIOSH, Ts. Nor Mohd Razif Noraini yang berpengalaman bekerja selama 15 tahun dalam bidang Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) serta banyak terlibat sebagai penceramah dan pengajar dalam pelbagai program serta aktiviti yang berkaitan dengan bidang KKP sama ada yang dianjurkan oleh NIOSH atau agensi luar.

Pakar Teknikal III daripada Jabatan Perundingan, Penyelidikan dan Pembangunan, NIOSH, Ts. Nor Mohd Razif Noraini.

Peserta yang menghadiri sesi perkongsian ini didedahkan dengan maklumat mengenai CHRA seperti takrifannya di bawah Peraturan USECHH sebagai bahan kimia yang (a) disenaraikan dalam Jadual I atau II Peraturan USECHH; (b) dikelaskan dalam mana-mana kelas bahaya yang dinyatakan di bawah Bahaya Kesihatan Jadual Pertama Peraturan KELAS; (c) racun makhluk perosak seperti yang ditakrifkan di bawah Akta Racun Perosak 1974; dan (d) sisa terjadual yang disenaraikan dalam Jadual Pertama Kualiti Alam Sekitar (Buangan Terjadual) Peraturan 2005.

Melalui sesi perkongsian ini juga, peserta dapat mengenal pasti bahayanya penggunaan bahan kimia berbahaya kepada kesihatan di tempat kerja; dapat menilai tahap pendedahan pekerja kepada bahan kimia berbahaya sama ada melalui penyedutan, kulit atau pengingesan; dapat memastikan kecukupan langkah kawalan yang sedia ada; serta mengesyorkan langkah kawalan selanjutnya yang sesuai dan mengutamakan tindakan yang perlu diambil untuk mencegah atau mengurangkan risiko yang bakal dihadapi.

Antara peserta yang menghadiri sesi perkongsian “Kepentingan Penaksiran Risiko Bahan Kimia Berbahaya kepada Kesihatan”.

Menurut Ts. Nor Mohd Razif Noraini, tujuan CHRA ini dijalankan adalah untuk membolehkan keputusan dibuat berkaitan dengan langkah kawalan yang sesuai dilakukan, latihan yang sewajarnya diberikan kepada pekerja, keperluan program pemantauan pendedahan dan pengawasan perubatan yang diperlukan untuk melindungi kesihatan pekerja yang terdedah kepada bahan kimia berbahaya di tempat kerja.

Penaksiran ini perlu dijalankan lima tahun sekali bagi setiap bahan kimia yang digunakan oleh seorang pengapit CHRA kompeten yang berdaftar dengan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Malaysia dan biasanya melibatkan kos konsultan yang agak tinggi.

Sesi penyampaian cenderamata kepada penceramah, Ts. Nor Mohd Razif Noraini sebagai tanda penghargaan kepada pihak NIOSH.

Turut hadir dalam sesi perkongsian berkenaan ialah ahli jawatankuasa JKKP, kakitangan makmal dan penyelidik daripada FSK, UKM yang merupakan pengguna berisiko tinggi untuk terdedah kepada bahan kimia berbahaya sepanjang mereka menjalankan aktiviti penyelidikan di stesen kerja masing-masing.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.