8 April 2023, 20:38

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Johor Bahru – Hospital Pakar Regency memperkenalkan Sistem Angiografi Dwisatah untuk menghasilkan imej berkualiti tinggi dengan jumlah radiasi paling rendah yang digunakan dalam situasi kecemasan atau prosedur pembedahan.

Angiografi ialah sejenis X-ray yang digunakan untuk memeriksa saluran darah bagi membolehkan doktor meninjau sebarang masalah yang dilengkapi dengan teknologi untuk memberikan ketepatan dalam proses diagnosis dan membimbing profesional penjagaan kesihatan dalam prosedur intervensi kardiologi dan radiologi.

“Sistem angiografi dwisatah direka bentuk berasaskan teknologi yang memberikan hasil diagnostik intraoperasi jitu serta mampu menghasilkan imej yang tepat semasa pembedahan,” kata Perunding Radiologi Klinikal dan Radiologi Intervensi, Hospital Pakar Regency, YBrs. Dr. Yeow Kee Min.

Sistem yang mempunyai kelebihan berbanding dengan angiogram dan prosedur lazim ini menggunakan kombinasi dua pengesan berbeza yang terletak di dua kawasan berbeza yang memberikan panduan yang lebih baik semasa rawatan. Dengan adanya resolusi kontras tinggi, alat ini boleh digunakan tanpa mengira saiz pesakit. Jelasnya lagi,

Angiografi ini menggunakan radiasi pengionan dengan dos radiasi yang boleh menimbulkan bahaya jika dosnya terlalu tinggi. Dengan Sistem Angiografi Dwisatah, profesional penjagaan kesihatan boleh mendapatkan imej yang berkualiti tinggi menggunakan pengimejan tiga dimensi (3D) termaju dan visualisasi butiran seperti salur darah, peranti, tisu dan tulang tanpa memerlukan dos radiasi yang lebih tinggi.

Selain itu, Angiografi Dwisatah menyediakan teknologi untuk melakukan angiografi invasif minimum yang lebih pantas dan pada dos radiasi yang rendah kepada doktor dan pesakit berbanding dengan alat angiografi konvensional. Sistem ini juga mampu menambah baik diagnosis dan rawatan kes yang sukar seperti penyakit jantung koronari yang menjadi punca sekundar kematian dalam kalangan rakyat Malaysia. Teknologi ini juga berkeupayaan untuk menambah baik hasil klinikal bukan sahaja untuk penyakit arteri koronari tetapi juga untuk rawatan strok dan tumor.

Menurut Perunding Kardiologi dan Perubatan Dalaman, Hospital Pakar Regency, Dr. Paul Ling Kah Hing, beliau menyatakan bahawa teknologi Angiografi Dwisatah dapat mengesan dan menghasilkan imej tajam bagi objek yang bergerak dan resolusi kontras tinggi walaupun pada sudut curam.

Sementara itu, Perunding Radiologi Klinikal dan Radiologi Intervensi, Hospital Pakar Regency, Dr. Ganesan Arthimulam pula berkata,

Teknologi Angiografi Dwisatah dengan tiub X-ray menyediakan tahap keterlihatan yang lebih tinggi bagi salur darah halus yang berada di dalam tengkorak dan otak.

Pada masa yang sama, Ketua Pegawai Eksekutif, Hospital Pakar Regency, Puan Serena Yong menyatakan bahawa pihak hospital mengutamakan usaha dalam mencari cara baharu bagi meningkatkan kualiti penjagaan kepada pesakit termasuklah melabur dalam bidang teknologi. Ujarnya,

Sistem Angiografi Dwisatah ini menghasilkan imej berkualiti tinggi sambil mengeluarkan jumlah radiasi yang paling kecil dan membolehkan profesional penjagaan kesihatan memberikan penjagaan yang sebaik mungkin kepada pesakit tidak kira sama ada kes yang dihidapi oleh pesakit itu mudah ataupun rumit.

Sebagai rekod, Hospital Pakar Regency ialah sebuah hospital pakar swasta yang sedang berkembang maju di Iskandar Malaysia dengan memiliki tenaga pakar sebanyak 82 orang dalam pelbagai disiplin perubatan dan pembedahan.

Dengan kapasiti 218 buah katil, Hospital Pakar Regency menerima lebih daripada 173 000 orang pesakit pada setiap tahun dan menyediakan perkhidmatan Kemalangan dan Kecemasan selama 24 jam yang dikendalikan oleh pakar kecemasan.

Untuk mendapatkan maklumat lanjut berkaitan dengan hospital ini, sila layari laman sesawang Hospital Pakar Regency.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.