7 April 2023, 12:59

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Oleh: Nurul Hidayah Md Fadzil dan Suzana Shahar

Terkini, istilah baharu telah diperkenalkan, iaitu keuzuran kognitif yang bermaksud sindrom pra-demensia dengan kehadiran keuzuran fizikal dan kemerosotan kognitif ringan dengan kelaziman 2.2 peratus atau 11 daripada 500 orang warga emas di Malaysia.

Secara umumnya, warga emas merupakan golongan yang terdedah dengan pelbagai penyakit fizikal dan mental, termasuklah mereka yang menghidapi keuzuran kognitif. Bagi individu yang mempunyai gejala bagi keuzuran tersebut, mereka disarankan untuk mendapatkan khidmat nasihat daripada pakar perubatan sebelum berpuasa bagi memastikan masalah kesihatan anda tidak terjejas.

Dari sudut kesihatan, berpuasa memberikan pelbagai manfaat kepada warga emas yang menghidapi keuzuran kognitif seperti mengurangkan tekanan oksidatif, menajamkan akal, menurunkan tekanan darah dan memanjangkan jangka hayat seseorang. Meskipun begitu, warga emas hendaklah berpuasa secara sihat dan betul untuk memastikan tidak terlalu cepat letih, kekal hidrasi dan daya tumpuan tidak terjejas.

Yang berikut ialah panduan yang boleh diamalkan oleh warga emas dengan keuzuran kognitif untuk kekal bertenaga pada bulan Ramadan.

 

1) Merancang menu sepanjang Ramadan.

Antara gejala yang boleh diperhatikan bagi penghidap keuzuran kognitif termasuklah lemah tubuh badan, pergerakan fizikal yang terbatas dan rendah daya ingatan. Oleh itu, amatlah disarankan untuk warga emas merancang menu lebih awal sepanjang bulan Ramadan.

Pes atau stok masakan boleh disediakan bagi mengelakkan pembaziran dan menjimatkan masa penyediaan masakan. Beberapa contoh pes masakan ialah pes sambal, stok sup dan pes tomyam.

Setiap pes masakan yang dilakukan hendaklah dilabel dengan nama pes dan tarikh luput, iaitu tiga bulan daripada tarikh penyediaan. Pes tersebut hendaklah disimpan dalam peti sejuk beku dan dikeluarkan sewaktu penggunaan.

2) Melewatkan bersahur.

Sahur ialah amalan yang mustahak kerana boleh membekalkan tenaga bagi menjalani aktiviti harian. Sekiranya tidak bersahur, sumber bekalan tenaga seseorang akan diperoleh daripada simpanan otot dan lemak bukan glukosa yang boleh menyebabkan individu tersebut menjadi lesu dan lemah daya tumpuan.

Bagi warga emas yang mempunyai keuzuran kognitif, mereka disarankan untuk mengamalkan hidangan yang seimbang berpandukan pinggan sihat Malaysia. Pengambilan sumber karbohidrat kompleks adalah penting kerana karbohidrat ini dihadamkan sebagai pelepasan karbohidrat perlahan (slow release carbohydrate), iaitu makanan yang sumber gulanya dibebaskan secara perlahan yang membolehkan individu berpuasa bertahan beberapa jam tanpa makanan.

Contoh serat yang terdiri daripada sayur-sayuran, ulam-ulaman, buah-buahan, kekacang dan bijirin.

Di samping membekalkan tenaga, sumber makanan ini kaya dengan serat, vitamin dan mineral. Antara contoh makanan karbohidrat kompleks termasuklah beras perang atau basmati, roti dan biskut bijirin penuh, oat, capati dan muesli.

Selain itu, warga emas dengan keuzuran kognitif juga disyorkan untuk mengambil makanan sumber protein seperti ikan, ayam, daging, telur, kekacang, susu dan produk tenusu, tempe dan tauhu serta sayur-sayuran dan ulam-ulaman.

Makan berprotein boleh meningkatkan horman glukagon yang membantu rasa kenyang dengan lebih lama di samping serat yang melambatkan pencernaan dan memberikan rasa kenyang yang lama.

Pengambilan kurma sewaktu bersahur juga amat digalakkan kerana mengandungi serat yang tinggi selain kaya dengan sumber mineral dan vitamin seperti kalium, magnesium dan selenium.

3) Mempercepatkan berbuka puasa

Sewaktu berpuasa, badan telah kehabisan sumber glukosa yang diperlukan oleh otak dan sel badan. Untuk warga emas, menyegerakan berbuka puasa adalah penting bagi menggantikan semula glukosa yang digunakan.

Mereka disarankan untuk mendahulukan berbuka puasa dengan makanan karbohidrat ringkas yang dikenali sebagai pelepasan karbohidrat cepat (fast release carbohydrate). Hal ini dikatakan demikian kerana karbohidrat jenis ini seperti kurma, buah-buahan segar, jus buah asli, minuman bercoklat malta atau susu dapat memberikan tenaga segera setelah tidak makan untuk tempoh yang lama.

Warga emas dengan keuzuran kognitif juga harus mengelakkan makanan yang tinggi dengan gula, kalori dan garam, terutamanya bagi warga emas yang mempunyai masalah kesihatan tertentu seperti kencing manis dan hipertensi.

Contoh hidangan mengikut pinggan sihat Malaysia yang boleh diamalkan oleh golongan warga emas.

4) Mengambil hidangan moreh dengan sihat

Kajian mendapati bahawa warga emas yang mempunyai masalah keuzuran kognitif akan cepat kenyang, kurang selera makan dan menghadapi malpemakanan akibat perubahan fisiologi badan tinggi di samping peranan horman leptin.

Oleh itu, warga emas disarankan untuk mengambil makanan dalam kuantiti yang kecil tetapi kerap.

Warga emas dengan keuzuran kognitif dicadangkan mengambil hidangan moreh antara satu hidangan hingga dua hidangan karbohidrat seperti bubur lambuk, capati, oat dan sandwic tuna.

5) Memastikan pengambilan air yang mencukupi

Warga emas juga terdedah dengan risiko dehidrasi atau kurang air dalam badan. Saranan keperluan pengambilan air dalam sehari untuk warga emas adalah sebanyak enam gelas hingga lapan gelas atau 1.5 liter sehari, termasuk cecair daripada makanan.

Pengambilan minuman berkafein yang berlebihan sewaktu bersahur dan berbuka tidak digalakkan kerana boleh menyebabkan individu tersebut cepat letih dan lesu. Hal ini turut membahayakan warga emas yang mempunyai penyakit jantung dan hipertensi kerana kafien boleh meningkatkan tekanan darah.

Bukan itu sahaja, minuman berkarbonat juga tidak disarankan kerana kandungan gula dan sodiumnya adalah tinggi yang boleh mendorong kepada kenaikan aras gula dalam darah.

Warga emas boleh mengekalkan hidrasi dengan menyediakan botol dengan kapasiti 1.5 liter dan minum semasa berbuka sehingga waktu sahur pada keesokan harinya. Jangan tunggu untuk berasa haus kerana sensori haus bagi warga emas adalah tidak cekap.

Selain air putih, minuman juga boleh digantikan dengan jus buah, teh lemon, susu bermalta dan laici kang. Walau bagaimanapun, tindakan ini perlu diberikan perhatian, terutamanya bagi warga emas yang mempunyai kencing manis.

6) Memastikan keselamatan makanan

Secara umumnya, keselamatan makanan pada bulan Ramadan adalah amat penting bagi mengelakkan daripada keracunan makanan. Terdapat beberapa cara untuk memastikan makanan yang disediakan oleh warga emas adalah selamat untuk dimakan.

Pertama, sebaik-baiknya warga emas dinasihatkan menyediakan makanan sendiri di rumah daripada membeli makanan di luar. Episod keracunan makanan adalah dikaitkan dengan kebersihan penyediaan makanan, tahap kebersihan individu, amalan pengedalian makanan dan tempat penjualan makanan. Sebahagian makanan pula telah disediakan terlalu awal atau tidak disimpan dalam bekas yang bersih.

Warga emas hendaklah peka dengan makanan yang rosak seperti berubah tekstur, bau yang tidak menyenangkan, melebihi tarikh luput, berbeza rasa atau basi dan berubah warna. Jika makanan disediakan di rumah, simpan semula lebihan makanan dalam peti sejuk dan panaskan semula apabila dikeluarkan. Hidangkan makanan yang dipanaskan semula dalam tempoh empat jam.

Secara keseluruhannya, warga emas khususnya yang mempunyai masalah keuzuran kognitif boleh mengamalkan gaya pemakanan yang sihat dan berkhasiat sewatu bulan Ramadan. Rebutlah peluang dalam bulan ini dengan mengamalkan gaya pemakanan yang seimbang bagi kekal bertenaga sepanjang melakukan ibadah, seterusnya kekal sihat dan cerdas pada usia yang berharga.

Jadual 1 Contoh senarai hidangan menu bersahur dan berbuka puasa untuk warga emas dengan keuzuran kognitif.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.