Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kentang angin (Dioscorea bulbifera) juga dipanggil ubi tum, ubi katak, buah barah dan buah sambung hayat. Tumbuhan monokotiledon dan diesius ini dikategorikan sebagai satu daripada spesies tumbuhan herba ubatan di Malaysia. Spesies tumbuhan liar ini berasal dari negara di kawasan tropika Afrika, Asia dan Amerika Selatan.

Kentang angin merupakan satu daripada spesies dalam famili Dioscoreaceae, order Dioscoreales dan genus Dioscorea yang mempunyai kira-kira 600 spesies di seluruh dunia. Terdapat beberapa sinonim yang pernah digunakan untuk spesies ini, iaitu Dioscorea alata var. bulbifera, Dioscorea hispida dan Dioscorea nummularia.

Kentang angin membiak secara seksual melalui biji dan secara vegetatif melalui ubi bawah tanah dan udara (bulbil) yang membolehkannya membiak dengan cepat.

Ubi atau bulbil ini berbentuk seperti ubi kentang kecil yang bujur dengan warna dan struktur yang sangat menyerupai ubi kentang. Ciri inilah yang memberikan nama tempatan kepada spesies ini. Ubi bagi spesies ini juga terkenal dengan rasa masin dan pahit.

Struktur seperti ubi kentang yang dikenali sebagai bulbil.

Spesies tumbuhan memanjat ini boleh tumbuh setinggi 20 meter. Tumbuhan ini berdaun tunggal dan tersusun secara berselang. Daunnya juga berbentuk agak bulat seperti jantung dengan panjang daun dalam julat 15 sentimeter hingga 20 sentimeter dan lebar antara tujuh sentimeter hingga 14 sentimeter. Tepi daun ini rata atau licin dengan tulang daun yang melengkung.

Daun kentang angin.

Spesies ini mempunyai potensi untuk pasaran di dalam negara dan untuk dieksport ke keluar negara termasuklah di Eropah, Amerika Utara dan Asia Tenggara. Kentang angin boleh dijual dalam bentuk segar atau diproses seperti tepung atau kerepek ubi.

Kegunaan kentang angin dalam perubatan tradisional telah lama direkodkan, malah spesies ini mempunyai potensi yang sangat besar dalam bidang ini. Pengamal perubatan tradisional Cina mengatakan D. bulbifera telah digunakan secara meluas untuk merawat beberapa penyakit seperti hemoptisis, goiter, jangkitan kulit, orkitis, faringitis dan kanser. Beberapa analisis fitokimia juga telah menunjukkan kehadiran bahan fitokimia yang dikaitkan secara langsung dengan amalan perubatan tradisional yang berbeza.

Bulbil D. bulbifera digunakan sebagai makanan. Khasiat bagi setiap 100 gram bahagian bulbil yang boleh dimakan boleh dirujuk pada Jadual 1. Kaedah penyediaan bulbil untuk dimakan adalah berbeza-beza mengikut masyarakat.

 

Jadual 1 Khasiat bagi setiap 100 gram bahagian bulbil D. bulbifera yang boleh dimakan.

Pada kebiasaannya, bulbil yang diambil daripada D. bulbifera yang tumbuh liar dikupas, dihiris, dicuci, direbus dalam tempoh lama. Kadangkala, bulbil ini masih perlu direndam dalam air yang mengalir untuk membuang bahan toksik sebelum boleh dimakan.

Di Jawa, bulbil daripada tumbuhan yang ditanam boleh dimakan selepas dikupas dan dimasak. Ubi bawah tanah yang dihasilkan melalui pokok yang ditanam boleh dimakan, namun ubi daripada pokok yang tumbuh liar beracun akan menyebabkan rasa loya.

Orang asli Semang di Semenanjung Malaysia memarut ubi kentang angin dan mengaulnya dengan kapur dalam tempurung kelapa untuk membentuk doh. Doh itu kemudiannya dibalut dengan daun pisang dan dibakar atau ditanam di dalam tanah dan dibiarkan untuk ditapai.

Pes yang ditapai akan disimpan selama seminggu. Doh yang dibakar dipanggil kleb, manakala doh yang ditapai dipanggil koyi. Bulbil dan ubi kadangkala digunakan untuk menghasilkan kanji dan tepung.

Ubi atau tuber (bulbil) D. bulbifera dipanggang dan dimasak sebagai sayuran dan mampu mengubati batuk, disentri, buasir, ulser, kencing manis, kusta dan sifilis. Selain itu, kentang angin juga dilaporkan mempunyai steroid dan diosgenin yang digunakan untuk menghasilkan hormon steroid sintetik seperti pil perancang. Kentang angin juga digunakan dalam ubat-ubatan tradisional di Asia, Afrika dan Amerika Latin untuk merawat cirit-birit, disentri, konjunktivitis, keletihan dan kemurungan.

Laporan daripada Uganda menyatakan ubi D. bulbifera direbus dan dimakan oleh penduduk tempatan untuk merawat pesakit virus imunodefisiensi manusia (HIV). Namun begitu, kajian meluas dan terperinci mengenai kegunaan ini masih belum dibuktikan sepenuhnya. Ranting dan pucuknya yang lembut juga boleh dihancurkan dan disapukan pada rambut untuk menghilangkan kelemumur.

Sementara itu, daun spesies ini digunakan dalam sistem tradisional untuk rawatan penyakit kulit selain kencing manis, darah tinggi dan batu karang.

Dalam bidang etnoperubatan, kentang angin telah digunakan dalam sistem perubatan tradisional dan untuk aktiviti kajian farmakologi. Spesies D. bulbifera juga digunakan untuk beberapa aktiviti biologi, terutamanya disebabkan oleh sebatian aktif farmakologi.

Antara bahan fitokimia dan aktiviti biologi yang terdapat dalam spesies ini termasuklah daukosterol (sebagai antikanser), mirisetin (sebagai promosi antitumor dan neuroprotective), asid vanilik (sebagai antihipertensi dan antioksidan) dan kuersetin (sebagai neuroprotective, antibakteria, antiradang, antivirus, antipenuaan dan antioksidan).

Ubi daripada bahagian akar spesies ini boleh dimakan dan diproses menjadi makanan seperti tepung ubi keledek atau tepung. Walau bagaimanapun, kajian ketoksikan semasa menunjukkan adanya had terhadap potensi terapeutik sebelum boleh digunakan bagi tujuan ubatan.

Kentang angin boleh dibiakkan melalui biji atau ubinya. Spesies ini sesuai ditanam dan hidup subur di kawasan tropika. Kaedah penanamannya boleh dilakukan dengan merendamkan biji benih dalam air selama 24 jam hingga 48 jam sebelum ditanamkan di tanah yang telah digembur.

Ubi yang digunakan sebagai benih mestilah dipilih daripada tumbuhan yang sihat dan bebas daripada penyakit. Biji benih dan ubi boleh ditanam di dalam tanah yang subur dan gembur dengan pH tanah sekitar 5.5 hingga 6.5. Biji benih juga boleh ditanam di dalam lubang sedalam 10 sentimeter hingga 15 sentimeter dengan jarak antara lubang kira-kira 60 sentimeter.

Kentang angin memerlukan sokongan untuk memastikan tumbuhan ini tumbuh tegak. Maka itu, batang kayu, besi atau buluh boleh digunakan bagi tujuan ini. Pada kebiasaannya, tumbuhan yang sihat dan kuat boleh merebak dengan cepat dan meliputi kawasan tanah yang luas.

Penanaman tumbuhan ini boleh dilakukan lebih baik pada musim hujan berbanding dengan kemarau. Kentang angin juga lebih sesuai ditanam di negara beriklim tropika yang panas dan lembap. Selain pembiakan menggunakan biji atau ubi, spesies ini juga boleh ditanam dan dibiakkan melalui keratan batang.

Fasa dorman bulbil yang paling ketara adalah sejurus selepas penuaian dan mula menurun secara berterusan dengan masa, terutamanya semasa dalam simpanan. Percambahan bulbil dirangsang oleh eksogen bagi benzil adenina atau asid asetik indola.

Semakin besar bulbil atau kepingan bulbil yang digunakan untuk penanaman, semakin teguh tumbuhan yang dihasilkan. Bulbil yang lebih tua menjadi matang apabila bulbil yang baharu muncul. Oleh sebab itu, penuaian berulang adalah perlu untuk mengeluarkan bulbil yang matang.

Penuaian ubi utama berlaku antara sembilan bulan hingga 24 bulan selepas penanaman, yakni apabila keseluruhan tumbuhan menjadi tua. Bagi spesies lain, ubi dituai daripada pokok liar atau pokok yang ditanam dengan menggunakan alat penggali manual.

Sesetengah tumbuhan mungkin sengaja dibiarkan tumbuh selama dua tahun hingga tiga tahun sebelum dituai. Sekiranya spesies ini ingin dikomersialkan dalam industri ubat-ubatan, kentang angin perlu ditanam sebagai tanaman kontan atau tanaman dalam skala yang besar bagi memastikan kecukupan bekalan bahan mentah.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.