Oleh Afifah Mohamed
6 April 2023, 21:33

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Pakar Perunding Obstetrik dan Ginekologi (O&G) Universiti Malaya, YBrs. Profesor Dr. Woo Yin Ling telah berjaya mengharumkan nama Malaysia setelah dinobatkan sebagai penerima Anugerah Berprestij Rachel Pearline 2023 atas sumbangan beliau dalam meningkatkan bidang penyelidikan dan amalan kanser di negara berpendapatan rendah dan sederhana.

Pakar Perunding Obstetrik dan Ginekologi (O&G) Universiti Malaya, YBrs. Profesor Dr. Woo Yin Ling. (Sumber: Laman sesawang Institut Kanser Kebangsaan)

Beliau telah mengkonseptualisasi dan melaksanakan program removing obstacles to servical screening (ROSE), iaitu program saringan ujian serviks kendiri kepada para wanita yang mampu dilakukan dengan sangat cepat serta tidak menyakitkan.

Di Malaysia, kanser serviks ialah kanser ketiga paling umum dalam kalangan wanita dan 99 peratus kes kanser serviks adalah berpunca daripada papilomavirus manusia (HPV) berisiko tinggi.

Lebih membimbangkan, kajian yang dijalankan di negara Asia Tenggara pada tahun lalu menunjukkan bahawa jumlah kes baharu dan kadar kematian disebabkan oleh kanser serviks dianggarkan meningkat, masing-masing sebanyak 64 peratus dan 87 peratus pada tahun 2040.

Jangkaan peningkataan kes kanser serviks tersebut memberikan implikasi kewangan dan masalah kesihatan yang besar kepada Malaysia walaupun telah menjalankan program vaksinasi HPV kebangsaan dan pap smear, namun sambutan daripada orang ramai adalah kurang memberangsangkan.

Dengan adanya pelaksanaan program ROSE, ujian tindak balas rantai polimerase (PCR) HPV dapat dijalankan secara kendiri dan keputusannya akan dimaklumkan menerusi platform e-kesihatan digital melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) atau WhatsApp.

Pada masa yang sama, program ini juga membolehkan pelaksanaan saringan kanser serviks nasional dijalankan dengan skala besar, melibatkan kos yang efektif serta dapat dijalankan di seluruh Malaysia.

Dalam usaha membanteras kanser serviks di negara ini, program ROSE berjaya menyaring sebanyak lebih daripada 23 000 orang wanita sejak pelancarannya pada tahun 2019.

Untuk mendapatkan maklumat lanjut berkenaan dengan program ROSE, sila layari laman sesawang ROSE.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.