5 April 2023, 09:50

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Sandakan – Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis bersama-sama rakan strategiknya menyumbangkan pelbagai peralatan perubatan kepada Hospital Duchess of Kent (HODK), Sandakan, Sabah.

Pada masa yang sama, Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan menyaksikan penyerahan sumbangan tersebut ketika berangkat menyempurnakan pembukaan wad pediatrik di hospital berkenaan yang dijenamakan sebagai “Wad Kanak-kanak Tuanku Syed Putra”, baru-baru ini.

Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Pengarah HODK, YBrs. Dr. Mohd Fahmie Datuk Dr. Othman.

Sebanyak dua unit monitor tanda vital daripada Mutiara Perlis Sdn. Bhd. disumbangkan oleh Encik Wan Ahmad Zaheed Wan Mohamad, manakala tiga unit oftalmoskop mudah alih disumbangkan oleh YBhg. Dato’ Mohd Redza Shah Abdul Wahid yang mewakili E.A Technique Berhad serta satu unit peti ais ubat-ubatan (315 liter) pula disumbangkan oleh KPJ Berhad.

Sumbangan peralatan perubatan oleh Encik Wan Ahmad Zaheed Wan Mohamad selaku wakil daripada Mutiara Perlis Sdn. Bhd. kepada pihak HODK.

 

Sumbangan peralatan perubatan daripada E.A Technique Berhad yang diwakili oleh YBhg. Dato’ Mohd Redza Shah Abdul Wahid kepada pihak HODK.

Selain itu, Profound Radiance Sdn. Bhd. melalui YBhg. Datuk Azlan Shah Jaffril pula menyumbangkan dua unit set otoskop dengan lampu HD, satu unit mesin sedutan dan satu unit pengusung kepada HODK.

Sumbangan peralatan perubatan daripada Profound Radiance Sdn. Bhd. melalui YBhg. Datuk Azlan Shah Jaffril kepada pihak HODK.

Tidak ketinggalan juga, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) yang diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tuan Haji Mohd Nazim Mohd Noor menyerahkan sumbangan wakaf peralatan berbentuk mesin elektrokardiogram dan kerusi roda serta wang tunai kepada pesakit di wad kanak-kanak dan wad bersalin.

DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail merangkap Pengerusi YTSP Perlis juga berkenan beramah mesra dengan para pesakit dan menitahkan bahawa baginda yakin para petugas kesihatan akan memberikan perkhidmatan yang cemerlang untuk merawat kanak-kanak di daerah Sandakan dan sekitarnya dengan adanya pembukaan wad kanak-kanak tersebut.

“Perkara yang paling penting adalah untuk memastikan perkhidmatan kepakaran perubatan, terutamanya dalam bidang kanak-kanak lebih dekat kepada komuniti bagi meningkatkan tahap kesihatan warga tempatan serta membolehkan penduduk setempat mendapat perkhidmatan perawatan dan kesihatan yang bertaraf tinggi seperti hospital pakar yang lain,” titah baginda lagi.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.