4 April 2023, 08:41

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) bersama-sama Pertubuhan Pemuda GEMA Malaysia telah melancarkan Kit Buku Malaysia Save Food (MYSaveFood) Ramadan dan disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pengarah MARDI, YBrs. Dr. Asfaliza Ramli, baru-baru ini.

Pelancaran Kit Buku MYSaveFood Ramadan adalah untuk melaksanakan program MYSaveFood di bazar Ramadan dengan lebih sistematik mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.

Dalam satu kenyataan daripada media sosial rasmi MARDI, buku panduan tersebut dibahagikan kepada beberapa bahagian yang memaparkan SOP bagi menjalankan aktiviti di bazar Ramadan seperti aliran kerja sukarelawan di tapak projek, skop tugasan sukarelawan berdasarkan aliran kerja, skop tugasan ketua bazar, SOP bagi setiap proses dan cara penggunaan aplikasi projek.

“Projek MYSaveFood Ramadan ialah satu daripada inisiatif pengurusan sisa makanan di bazar Ramadan secara berstrategi dalam usaha menyelamatkan lebihan makanan dan minuman yang tidak berjaya dijual oleh peniaga bazar,” jelas MARDI dalam kenyataan tersebut.

Oleh yang demikian, buku panduan tersebut ialah satu hab informasi lengkap yang sesuai untuk dijadikan rujukan kepada penganjur, ketua bazar dan para sukarelawan.

Objektif program tersebut adalah untuk membudayakan satu sistem pengurusan sisa makanan efektif di bazar Ramadan dalam usaha mengurangkan pembaziran sisa makanan yang berlaku dalam kalangan peniaga bazar Ramadan serta membantu mengurangkan penghasilan gas metana yang memberikan kesan kepada pemanasan global.

Cetusan idea projek MYSaveFood Ramadan bermula di Kampung Baru pada tahun 2016 melalui inisiatif belia tempatan, iaitu Encik Mohamad Rahimi Adnan dengan disokong dan dibantu oleh Pemuda GEMA.

Projek ini kemudiannya telah dijadikan sebagai satu daripada inisiatif utama di bawah program MYSaveFood oleh MARDI dan telah berkembang dari tahun 2016 hingga kini di bawah kelolaan Pemuda GEMA.

Kredit gambar: Facebook rasmi MARDI

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.