4 April 2023, 12:50

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Mati pucuk atau erectile dysfunction (ED) ialah keadaan perubatan bagi lelaki yang mengalami masalah ketidakupayaan memperoleh atau mengekalkan ereksi semasa aktiviti seksual.

Berdasarkan rekod daripada Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2019, tiga daripada 10 orang lelaki di negara ini mengalami ED. Satu kajian lain yang dijalankan di Malaysia pada tahun 2013 pula mendapati bahawa sebanyak 69.5 peratus lelaki yang mengalami masalah mati pucuk berusia dalam lingkungan 40 tahun hingga 79 tahun.

Pelbagai faktor boleh mengakibatkan ED termasuklah diabetes, tabiat merokok, kecederaan saraf tunjang, amalan gaya hidup tidak sihat dan pengambilan ubat tanpa arahan dan nasihat daripada  doktor atau ahli farmasi. Masalah ini boleh menyebabkan seseorang yang mengalaminya kekurangan keyakinan diri dan emosi turut terganggu.

Rawatan Mati Pucuk

Terdapat lebih daripada 55 jenis ubat yang berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) digunakan bagi rawatan ED. Pesakit dinasihatkan untuk segera berjumpa dengan doktor bagi mendapatkan rawatan seawal mungkin. Sildenafil, Tadalafil dan Vardenafil merupakan antara ubat dalam rawatan ED yang tergolong dalam kumpulan ubat phosphodiesterase inhibitors (PDE).

Ubat ini meningkatkan pengaliran darah ke zakar dengan kehadiran rangsangan seksual bagi membantu lelaki mendapatkan dan mengekalkan ereksi. Doktor akan memberikan dos yang bersesuaian dengan keadaan pesakit setelah penilaian klinikal dilakukan.

Di sebalik manfaat ubat untuk rawatan mati pucuk ini, terdapat juga kesan sampingan yang mungkin boleh berlaku kepada pesakit seperti sakit kepala, sakit dada, badan terasa panas, sukar tidur serta kebas kaki dan tangan. Kesan sampingan tersebut boleh menjadi lebih teruk sehingga menyebabkan kesukaran bernafas, pendarahan hidung, ngilu ketika membuang air kecil dan ereksi yang menyakitkan.

Oleh sebab itu, adalah penting bagi pesakit untuk mematuhi dos yang dipreskripsikan dan arahan pengambilan yang diberikan oleh doktor. Pesakit juga perlu memaklumkan kepada doktor atau ahli farmasi jika terdapat sebarang masalah berkenaan dengan pengambilan ubat tersebut.

Produk Dicemari Racun

Banyak individu yang mengalami masalah ED belum bersedia untuk mendapatkan rawatan daripada doktor dan lebih cenderung untuk menggunakan kaedah alternatif seperti menggunakan produk minuman, produk sapuan, suplemen tradisional dan rawatan herba yang sering diiklankan secara dalam talian.

Lazimnya, pengguna mudah terpengaruh dengan iklan produk peningkat tenaga batin yang menggunakan tuntutan melampau seperti mujarab, ajaib, pasti berkesan dan tiada kesan sampingan. Mereka yang tidak mempunyai sebarang masalah seksual juga terjebak dalam menggunakan produk yang dicampurkan dengan bahan terlarang ekoran terpedaya dengan tuntutan menambah tenaga dan meningkatkan prestasi ketika melakukan hubungan intim dengan pasangan.

KKM melalui Cawangan Penguatkuasaan Farmasi sentiasa melakukan risikan dan serbuan terancang bagi merampas produk yang disyaki dicemarkan dan dipalsukan dengan ubat terkawal Sildenafil dan Tadalafil. Produk terlarang yang dirampas ini biasanya dijual dalam bentuk gula-gula, minuman kopi pracampuran dan makanan tambahan.

Selain itu, penyalahgunaan ubat terkawal tanpa pengawasan boleh mengakibatkan pelbagai komplikasi yang boleh memudaratkan kesihatan pengguna kerana jumlah dos ubat yang dicampurkan tidak diketahui. Pengguna yang menggunakan produk yang mengandungi bahan terlarang ini berisiko untuk mengalami masalah kehilangan penglihatan dan pendengaran, penurunan tekanan darah secara mendadak dan mendapat serangan jantung. Oleh itu, jadilah pengguna yang bijak dengan mendapatkan rawatan dan ubat daripada sumber yang betul.

Panduan Umum Pembelian Produk Berdaftar

Semua ubat dan suplemen perlu berdaftar dengan KKM bagi menjamin kualiti dan keselamatan produk. Produk yang berdaftar dengan KKM perlu memaparkan nombor pendaftaran dan label keselamatan hologram pada kotak pembungkusan ubat sebagai rujukan kepada pengguna.

Nombor pendaftaran dimulakan dengan MAL, diikuti dengan lapan digit dan huruf A, X, T atau N. Nombor pendaftaran ubat terkawal diakhiri dengan huruf A, manakala bagi ubat  am, nombor pendaftarannya diakhiri dengan huruf X. Sementara itu, nombor pendaftaran ubat tradisional berakhir dengan huruf T, manakala huruf N mengakhiri nombor pendaftaran suplemen kesihatan.

Semakan kesahihan nombor pendaftaran produk boleh dilakukan melalui laman web Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) atau melalui aplikasi NPRA Product Status yang boleh dimuat turun dalam telefon pintar. Label keselamatan hologram pula boleh disemak dengan menggunakan pengimbas FarmaTagTM yang terdapat di farmasi komuniti terpilih atau menggunakan aplikasi FarmaChecker. Elakkan pembelian ubat secara dalam talian bagi masalah kesihatan yang memerlukan penilaian oleh doktor. Pengguna dinasihatkan untuk menggunakan ubat yang berdaftar bagi mengelakkan sebarang kemudaratan.

Sekiranya terdapat pertanyaan lanjut tentang penggunaan ubat-ubatan, pesakit atau orang awam boleh menghubungi Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (NPCC) melalui talian 1800-88-6722. Talian dibuka pada setiap Isnin hingga Jumaat, bermula pukul 8.00 pagi hingga 5.00 petang (kecuali pada cuti umum).

 

Ahmad Najib Ahmad Afandi, Pegawai Farmasi di Bahagian Perkhidmatan Farmasi, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.