3 April 2023, 14:38

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Pemeteraian memorandum persefahaman antara Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dengan Institut Sukan Negara (ISN) Malaysia pada hari ini menjadi pemangkin kepada peningkatan kualiti kepakaran perubatan sukan negara setaraf dengan kepakaran di luar negara.

Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, YBhg. Tan Sri Datuk Seri Dr. Noor Hisham Abdullah dan Ketua Pegawai Eksekutif, Institut Sukan Negara, Encik Ahmad Faedzal Md. Ramli.

Berdasarkan kenyataan media bersama KKM dan ISN, usaha yang dilakukan ini dijangkakan lebih memperkasakan kerjasama antara kedua-dua belah pihak, terutamanya dari aspek perkhidmatan, latihan, penyelidikan dan penerbitan dalam bidang perubatan sukan negara.

Pemerkasaan kepakaran perubatan sukan ini bukan sahaja mampu mengurangkan kos rawatan perubatan penyakit berjangkit dan tidak berjangkit, malah dapat meningkatkan kualiti kehidupan rakyat dan produktiviti negara serta memajukan sukan negara.

Perkhidmatan klinikal sains sukan dan rujukan para pelanggan yang dikenal pasti antara KKM dengan ISN berdasarkan kesesuaian lokaliti, fasiliti dan keberadaan pakar perubatan sukan semasa termasuklah mengukuhkan pelibatan dan peranan ISN dan KKM sebagai sumber rujukan utama dalam bidang perubatan sukan dalam pelbagai aktiviti, acara, pertandingan atau kejohanan sukan yang diadakan ialah satu daripada aspek kerjasama yang diberikan tumpuan.

Selain meningkatkan kemahiran dan pengalaman para pakar perubatan sukan, kerjasama ini juga dapat mengurangkan kos rawatan melalui perkongsian peralatan perubatan dan teknologi serta memudahkan rujukan pesakit yang memerlukan perkhidmatan bidang kepakaran perubatan dan sains sukan tertentu.

Melalui memorandum persefahaman ini juga, aspek latihan dengan program latihan berstruktur dan terselia turut dibangunkan serta disesuaikan dalam bidang perubatan dan sains sukan kepada kakitangan kedua-dua belah pihak.

Selaras dengan tujuan untuk membangunkan bidang perubatan dan sains sukan, KKM dan ISN akan mempergiatkan perkongsian kepakaran penyelidikan yang meliputi segala penyelidikan dalam bidang perubatan dan sains sukan, akses kepada data, kepentingan dalam hak harta intelek serta penerbitan hasil kajian atau pembentangan pada peringkat antarabangsa dengan persetujuan bersama.

Dengan adanya pengukuhan perubatan sukan di negara ini, masyarakat berpeluang terlibat dalam pelbagai aktiviti sukan dan fizikal secara kerap dan konsisten, membudayakan amalan hidup sihat dan seterusnya merealisasikan aspirasi negara untuk meningkatkan taraf kesihatan rakyat Malaysia.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.