3 April 2023, 10:53

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Pencemaran bunyi didefinisikan sebagai penghasilan bunyi yang tidak dikehendaki. Pada kebiasaannya, bunyi yang kuat dan bising dihasilkan oleh mesin, haiwan atau manusia sehingga mengganggu aktiviti atau keseimbangan kehidupan.

Pencemaran bunyi boleh terhasil apabila bunyi tersebut melebihi 80 desibel (dB). Pada hakikatnya, punca utama berlakunya pencemaran bunyi adalah daripada kenderaan. Pencemaran bunyi yang terhasil daripada kapal terbang juga mempengaruhi kehidupan dan memberikan kesan terhadap manusia di sekitarnya seperti gangguan tidur dan tekanan.

Seterusnya, aktiviti perindustrian seperti perkilangan dan kuari juga adalah antara punca pencemaran bunyi. Tidak ketinggalan, aktiviti kejiranan dan kemasyarakatan turut menyumbang kepada pencemaran bunyi, misalnya kerja membaik pulih rumah yang dilakukan di kawasan perumahan agak menjengkelkan dan mengganggu ketenteraman jiran tetangga.

Selain itu, manusia juga berisiko kehilangan pendengaran disebabkan bunyi bising (NIHL). Keadaan ini berlaku apabila struktur di dalam telinga rosak kerana bunyi bising yang melampau yang turut menyebabkan manusia sukar untuk tidur pada waktu malam. Tidur yang tidak berkualiti dan tidak mencukupi akan menggangu fungsi badan serta memberikan tekanan kepada individu yang mengalaminya. Hal ini juga berkait rapat dengan peningkatan kadar kemurungan dan kebimbangan dalam kalangan orang ramai.

Di samping itu, pelbagai penyakit yang berkaitan dengan jantung berisiko berlaku dalam kalangan individu yang berdepan dengan pencemaran bunyi. Sebagai contohnya, penyakit aritmia jantung, iaitu masalah yang berkaitan dengan ritma atau rentak jantung yang akan berdenyut dengan lebih laju atau perlahan jika dipengaruhi oleh pencemaran bunyi. Pada masa yang sama, kegagalan jantung juga berkait rapat dengan sindrom metabolik, yakni tekanan darah, berat badan, paras kolesterol dan gula dalam darah terganggu dan meningkat lalu menyebabkan kelumpuhan sistem badan.

Selain masalah kesihatan, kesukaran pembelajaran dan pengawalan emosi turut diperhatikan dalam kalangan kanak-kanak yang terkesan akibat pencemaran bunyi. Hal ini dikatakan demikian kerana kanak-kanak akan lebih mudah terganggu dan hilang tumpuan apabila persekitaran mereka tidak tenang dan bising.

Malaysia telah menetapkan garis panduan untuk mengehadkan tahap bunyi pada 65 dB pada waktu siang dan 55 dB pada waktu malam. Antara inisiatif kerajaan dalam menangani masalah pencemaran bunyi termasuklah dengan memasang penghadang bunyi, iaitu dinding tinggi yang diperbuat daripada besi dan konkrit di sekitar lebuh raya.

Dalam konteks ini, penghadang bunyi yang semakin tinggi akan lebih berkesan mengurangkan pencemaran bunyi walaupun pencemaran itu tidak dapat dihilangkan sepenuhnya. Terdapat juga penghadang bunyi yang dipasang di kawasan perumahan.

Secara umumnya, dinding yang panjang dan luasnya sebanyak tiga meter kali tiga meter boleh mengurangkan bunyi bising. Dinding batu bata telah dipilih untuk digunakan sebagai penghadang bunyi kerana mempunyai ketumpatan yang lebih tinggi dan jauh lebih baik berbanding dengan kayu pepejal.

Pembinaan dinding tinggi konkrit yang boleh diperhatikan di kawasan perumahan di sekitar Seri Kembangan, Selangor sebagai inisiatif untuk mengurangkan pencemaran bunyi.

Pada tahap individu, hingar putih (white noise) ialah satu daripada cara untuk menangani masalah pencemaran bunyi. Hingar putih boleh diterjemahkan kepada koleksi bunyi yang mempunyai intensiti yang sama dan sesuai untuk menyamarkan bunyi bising (sound-masking effect). Hingar putih juga dikenali sebagai monoton yang berulang, bernada rendah dan seolah-olah bunyi atau dengungan.

Hingar putih merupakan kombinasi pelbagai bunyi daripada frekuensi berlainan yang mampu didengari oleh telinga manusia. Hingar putih juga merupakan gabungan semua warna spektrum yang boleh dilihat. Kesan penyamaran yang telah dicipta oleh hingar putih mampu menghalang bunyi lain, sekali gus memastikan seseorang itu mendapat tidur yang lena dan berkualiti.

Selain hingar putih, hingar merah jambu (pink noise) juga kerap digunakan bagi tujuan yang sama. Hingar merah jambu mempunyai frekuensi yang lebih rendah dan lebih menenangkan kerana bunyinya yang kurang bingit, misalnya bunyi air terjun, air sungai yang mengalir dan bunyi rintik hujan, berbeza dengan hingar putih yang lebih cenderung berbunyi seakan-akan televisyen statik.

Walau bagaimanapun, hingar putih telah dibuktikan mempunyai pelbagai kebaikan seperti digunakan sebagai alat bantuan tidur agar seseorang itu memperoleh tidur yang lebih nyenyak. Hal ini dikatakan demikian kerana telinga manusia lebih cenderung untuk mendengar bunyi hingar putih dan tidak akan mendengar bunyi bising lain yang mengganggu tidur.

Hingar putih mampu menambah baik aktiviti deria, ingatan dan fungsi kognitif, terutamanya dalam proses tumbesaran kanak-kanak. Hingar putih turut digunakan untuk merawat kanak-kanak yang mengalami gangguan hiperaktif kurang daya tumpuan (ADHD). Hingar putih terbukti dapat membantu menambah baik penggunaan bahasa, bacaan dan penulisan kanak-kanak ADHD.

Berdasarkan kajian yang dilakukan oleh Batho dan rakan sekerjanya pada tahun 2015, beberapa orang kanak-kanak telah diberikan tugasan bersama-sama tiga jenis keadaan bunyi bising yang berbeza, iaitu keadaan senyap, keadaan dengan hingar putih sebanyak 70 dB dan keadaan yang disertakan dengan perkataan rawak atau bebelan. Kajian tersebut mendapati bahawa kanak-kanak ADHD yang mendengar hingar putih mampu menulis lebih banyak perkataan dan membaca dengan laju.

Pada tahun 2016 pula, Soderlund dan rakan sekerjanya melakukan kajian yang melibatkan 20 orang kanak-kanak ADHD dan 20 orang kanak-kanak biasa yang diuji dengan rangsangan dan tanpa rangsangan hingar putih . Mereka diberikan tiga jenis tugasan yang berlainan. iaitu mengingat kembali perkataan, papan span board dan verbal 2-back. Hasil kajian menujukkan bahawa kanak-kanak ADHD memperoleh kesan positif daripada hingar putih bagi melaksanakan dua daripada tiga tugasan yang diberikan, manakala tugasan verbal 2-back tidak terpengaruh.

Secara saintifiknya, suasana yang senyap sememangnya terbukti amat membantu manusia untuk tidur, namun manusia akan lebih cepat tidur dengan bantuan  hingar putih dan hingar merah jambu. Bunyi bising daripada hingar ini ialah cara terbaik untuk menghalang bunyi bising yang lain daripada mengganggu tidur.

Hingar putih boleh diperoleh dengan mudah dan percuma di aplikasi YouTube atau aplikasi lain. Walau bagaimanapun, hingar putih atau hingar merah jambu perlu digunakan secara berhati-hati. Hal ini dikatakan demikian kerana kelantangan hingar yang terlalu kuat akan merosakkan deria pendengaran.

Bertambah teruk lagi apabila bunyi latar belakang yang berterusan berkemungkinan boleh membahayakan otak dengan merangsang korteks pendengaran secara berlebihan. Oleh sebab itu, penggunaan hingar ini perlu diawasi agar dapat faedahnya dapat menikmati dan penggunaannya tidak mencederakan pendengaran secara berlebihan.

 

Nur Izzati Farzana Ismail (Pembantu Penyelidik) dan Goh Ying Xian (Pegawai Penyelidik) di Institut Biologi Molekul Perubatan UKM (UMBI), Universiti Kebangsaan Malaysia.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.